Ulasan Eternals – Konsep Menarik Yang Gagal Disampaikan

Apa sahaja yang Marvel tiada? Semua ada sahaja bukan? Filem di dunia angkasa bertemakan makhluk asing dan makhluk seakan hibrid alien+dewa, filem dengan tema perisik, musuh robot/kecerdasan buatan, dan terkini satu lagi yang seakan sama tapi berbeza Eternals.

Satu konsep di mana makhluk paling hebat alam semesta Celestials mencipta Eternals iaitu individu dengan kuasa berbeza dengan skil dan tanggungjawab tersendiri perlu setia dan menurut perintah. Makhluk kuat gila dengan kuasa hebat gila yang tidak membantu langsung peristiwa-peristiwa duka dunia MCU kerana diarahkan untuk tidak campur tangan selagi tidak berkait dengan Deviants – makhluk asing pemburu yang membunuh ahli Eternals.

Filem ini satu filem yang gagal untuk dunia MCU, ini kenapa;


Pengenalan watak yang lemah

Ini adalah satu lagi filem adiwira di mana satu demi satu mencari ahli lain selepas sekian lama berpisah dan kini ingin kembali bersatu. Untuk filem dengan durasi 2 jam 30 minit lebih ini, filem ini gagal menggunakan masa yang baik. Filem Dune yang slow pace itu rasa lebih seronok dan “laju” berbanding filem Eternals dengan jalan cerita yang ringkas ini. Watak yang banyak gagal diperkenalkan dengan baik, membuatkan sukar untuk penonton pilih watak kegemaran. Kemudian watak yang dilihat ada potensi tinggi peranan dalam filem hanya singkat seakan cameo sahaja adalah tidak begitu menarik dan seakan filem ini hanya satu gimik untuk membawa pelakon kelas hebat dalam dunia MCU.

Filem ini dilihat dibawakan oleh Sersi lakonan Gemma Chan. Beliau diberikan penekanan yang lebih seperti daripada emosi, sifat ketua, jati diri wirawati semuanya jelas. Dengan kuasa boleh mengubah apa jua benda menjadi elemen seperti logam, ais, air, batu – watak ini antara yang berjaya disampaikan dengan baik.

Kumail Nanjiani yang melakonkan watak Kingo, iaitu kuasa menembak sejenis tenaga terus dari tangan juga merupakan selebriti Bollywood adalah watak yang meredakan keadaan sedikit kerana lucu. Wataknya seperti kita kenal itu Kumail, tapi dia cuba cover macho untuk nampak lebih cool dan gagah agar tidak kelihatan seperti diri sendiri. Tapi watak ini tidak diberi masa skrin yang baik untuk lihat beliau beraksi dengan lebih banyak.

Sprite lakonan Lia McHugh sama usia dengan ahli Eternals lain, tetapi berada dalam tubuh seorang kanak-kanak kecil. Mempunyai kuasa magis atau ilusi seakan Loki, dan mempunyai perwatakan yang matang tetapi menyedihkan. Watak ini sukar menangkap hati penonton agak hambar. Druig lakonan Barry Keoghan pula boleh mengawal minda manusia pada tahap satu negara atau mungkin satu bumi? Bersifat tegas dan berlagak, yang pada awal perwatakan yang menjengkelkan tetapi dengan pantas dan sekelip mata berubah menjadi watak yang cuba jadi baik – sedikit aneh.

Gilgamesh lakonan Don Lee dan Thena lakonan Angelina Jolie adalah antara watak yang nampak hebat dan berkuasa. Emosi setiap watak ini, prestasi lakonan masing-masing yang memuaskan serta cuba sedaya upaya untuk beri orang ramai minat kelihatan mungkin boleh berjaya. Seorang dengan kuasa adi-kuat dan seorang boleh seru apa jua senjata adalah pasangan menarik. Tetapi perkembangan watak yang terlampau ringkas membuatkan dua watak ini mudah dilupakan.

Phastos lakonan Brian Tyree Henry dan Makkari lakonan Lauren Ridloff, seorang adalah pencipta genius dan seorang lagi adalah seorang yang adi-pantas. Phastos ini disampaikan dalam cerita yang seakan tidak sesuai dengan tema filem satu kekeluargaan dan satu aksi di angkasa. Makkari pula konsep speedster yang baik, dengan pelakon OKU sebenar membawakan watak ini dengan penuh emosi tetapi walaupun filem yang 2 jam setengah – cerita beliau masih tidak puas untuk diterima.

Akhir sekali Ikaris lakonan Richard Madden yang boleh dikatakan adalah Superman versi MCU, dan Ajak lakonan Salma Hayek ketua kepada pasukan Eternals ini di mana mereka semua di bawah jagaan Celestial yang digelar Arishem. Ikaris adalah satu watak yang amat mudah untuk dibaca dan ramal, manakala Salma Hayek hanya seakan Nick Fury dalam filem Iron Man pertama.

Susunan jalan cerita yang mengelirukan

Eternals ini akhirnya “bangkit” selepas beribu tahun hidup bersama manusia, kini akhirnya ingin cuba bersatu kerana ancaman Deviants sudah datang. Tugas mereka adalah menghapuskan Deviants dan tidak boleh campur tangan dengan apa yang manusia lakukan.

Ceritanya ringkas dan boleh faham. Tetapi ia disusun dengan keadaan caca marba menjadi penceritaan yang udah mengelirukan dan memeningkan. Kejap masa silam jauh beribu tahun, kejap baru beberapa hati lepas dan kejap entah tahun bila yang tidak tentu arah.

Satu cubaan yang benar berbeza, tetapi ia tidak berjaya apabila elemen MCU itu dikekalkan. Format klise MCU itu masih acah sembunyi sedangkan ingin acah-acah yang mereka jelas di dalam. Kalau filem ini disusun dengan cara yang baik seperti ada susun atur mengikut garis masa, kemudian dengan peralihan di antara adegan yang sedikit dramatik – filem ini ada potensi untuk lihat sesuatu yang lain dan lebih berani.

MCU kena ada satu filem yang masih berkait dengan dunia sendiri, tetapi nak ada gaya Joker yang memang berlainan.

Visual yang cantik tapi audio yang mengantuk

Filem ini seperti biasalah, nama pun MCU – visual dari segi CGI agak menarik dan mendebarkan. Tetapi aku yakin yang Marvel boleh lakukan dengan lebih baik. Apabila mata sudah dicuci dengan Dune, Eternals ini dilihat mempunyai visual yang cuba realistik yang masih nampak ianya adalah satu tipu daya.

Tetapi sinematografi dari segi lokasi, memang cantik dan boleh nampak dengan jelas penggunaan cahaya semula jadi dan cahaya lampu studio adalah berbeza.

Muzik latar atau OST bagi filem ini sedikit mengantuk untuk aku. Ia tidak ada saat yang membuatkan aku terkejut atau rasa mendebarkan ketika babak aksi, saat genting dan menarik mula dimainkan. Ia rasa biasa je.

Konsep menarik yang boleh diperbaiki

Filem ini ada dua adegan pasca-kredit, satu mengenai Eternals akan kembali dan satu lagi filem solo baharu atau mungkin siri TV Disney+. Harapnya sekuel nanti ia boleh diperbaiki dengan lebih menarik. Filem ini perlukan satu sequence penceritaan yang lebih seimbang. Konsep dengan dewa yang mencipta Eternals yang lebih berkuasa daripada mana-mana hero dan heroin MCU adalah satu konsep yang menarik dan segar.

Filem ini gagal menarik perhatian orang dan gagal sampaikan apa yang sepatutnya ringkas dan boleh menjadi WOW, tetapi berakhir dengan satu hasil yang hanya boleh mengeluh HMMMMM!!!!

Kesimpulan

Untuk filem yang pacingny okay sahaja dan durasi 2 jam 36 minit, ia rasa lebih perlahan daripada filem Dune yang pacing jenis slow-slow denagn durasi 2 jam 37 minit. Dune rasa lebih mudah untuk hadam, daripada Eternals yang ada konsep menarik tetapi apabila terlampau kekal dengan tema dan elemen MCU atau mungkin pengarah Chloé Zhao yang menangi anugerah Oscar masih tidak mahir dengan filem besar MCU – tiada siapa akan tahu.

Aku cuba untuk minat filem ini, tetapi aku rasa ia tidak berjaya. Filem ini Hype lebih sahaja. Tapi kalau korang masih nak tengok, tiket sudah boleh dibeli kerana ia sudah berada di pawagam 4 November.

Eternals
Eternals, filem mengisahkan makhluk seakan dewa yang dicipta oleh Celestials yang kononnya dalam dunia MCU ini ia adalah makhluk paling berkuasa. Pasukan Eternals ini adalah di bawah "jagaan" Arishem. Ahlinya adalah Ajak, Ikaris, Sersi, Kingo, Sprite, Phastos, Makkari, Thena, Gilgamesh dan Druig.
Positif
Konsep menarik yang ada potensi tinggi
Visual menarik yang nampak usaha membezakan dengan filem MCU lain
Negatif
Penceritaan yang tidak teratur
Tidak menggunakan banyak masa untuk perkembangan watak
Rasa bosan dan tidak menarik
5
Skor Ulasan

Sohor Kini