Big Hero 6, The Mitchells vs. the Machines dan kini Ron’s Gone Wrong adalah filem animasi mengisarkan hubungan di antara manusia dan mesin, atau lebih tepat – teknologi. Ada banyak lagi sebenarnya filem animasi seperti ini, semuanya menggunakan konsep dan format yang sama – teknologi membawa padah, persahabatan, ada kemaskini atau alami proses baik-pulih dan teknologi kembali membawa kepada kebaikan manusia.
Adakah Ron’s Gone Wrong ini mempunyai keunikan tersendiri daripada 20th Century Studio atau ha nya satu lagi konsep filem yang sama yang tipikal. Jawapannya berada di penghujung artikel ini, tetapi jika ingin tahu kenapa kesimpulannya begitu – ayuh baca ulasan ini terlebih dahulu.
Dalam dunia realiti kita ada Facebook, Google, Apple dan banyak lagi sebagai syarikat teknologi gergasi. Tetapi dalam dunia filem animasi ini, syarikat teknologi gergasi adalah Bubble. Mereka ada platform media sosial, ada pelbagai gajet, ada telefon pintar, ada platform kecerdasan buatan dan fokus filem ini adalah produk robotik B-bot.
B-bot adalah pengganti telefon pintar dan merupakan pembantu peribadi atau butler. Robot inilah yang akan melakukan segalanya daripada tugasan ringkas, panggilan telefon, mainkan muzik, kemaskini status media sosial dab boleh dikatakan hampir kehidupan seseorang diuruskan oleh B-bot. Dunia filem ini semua orang ada sebuah robot comel ini, kecuali Barney.
Terdiri daripada keluarga sederhana, Barney tidak memiliki robot ini sehinggalah suatu hari beliau menerima hadiah hari jadi. Tanpa disedari robot ini adalah set yang sudah bermasalah dan ada mungkin rosak.
Disebabkan rosak ini, robot ini menjadi unik sehingga mencetuskan pelbagai masalah sambil turut mempelajari erti persahabatan sebenar yang tidak diprogramkan tetapi hasil usaha bersama Barney yang mendidik kecerdasan buatan untuk mempunyai emosi sebenar.
Perkara klise, Bubble sedar isu ini dan mulalah curi data dan akses privasi pengguna lain untuk pemantauan hanya untuk menjejak B-bot digelar Ron’s yang kini adalah sahabat karib Barney. Mereka rasa terancam kerana mengganggu jualan.
10 minit pertama menonton aku tak terkata apa-apa. Ia bosan, mudah diramal dan sudah boleh agak dan baca apa akan berlaku sepanjang filem. Ia tidak mempunyai penceritaan yang unik dan tiada satu pun yang membuatkan aku ingin terus tonton sehingga habis. Perjalanan Barney yang menjadi mangsa buli kerana dipulau akibat tidak memiliki sebuah B-bot.
Tetapi apabila B-bot yang rosak ini mula muncul, dan segala masalah yang berlaku – ia begitu pantas diketahui oleh pihak Bubbles. Ia seakan satu format yang sama hanya dengan watak, muzik dan lokasi yang lain sahaja. Ya ada sedikit menekankan isu semasa mengenai dunia kita sekarang yang terdedah dengan media sosial pada usia muda, gajet sentiasa melekat di tangan, kehidupan sosial semua bergantung kepada teknologi – semua ini terlampau biasa.
Beberapa elemen lucu berjaya membuatkan aku tergelak, tetapi tidaklah terbahak-bahak dan kalau tiada elemen lucu ini aku yakin aku akan tertidur. Sinematografi seperti muzik, pergerakan animasi, rekaan lokasi dan semuanya berkualiti tinggi. Dengan 20th Century Studio di bawah Disney ada sahaja beberapa elemen seperti Star Wars, Marvel dan lain-lain menjadi tema kepada setiap robot ini yang cuba menarik hati penonton – tetapi masih tidak buatkan aku teruja.
Benar, ini adalah cerita untuk keluarga dan kanak-kanak. Tetapi aku jenis layan filem-filem seperti ini. The Mitchells vs. the Machines aku suka, aku layan aku rasa lebih syok. Big Hero 6 juga berkali-kali aku tonton kerana penceritaan yang lebib menarik walaupun konsep sama.
Perwatakan dalam filem ini juga sangat klise. Keunikan hanya ada pada keluarga Barney yang boleh dikatakan aneh dengan bapa yang kelihatan dungu dan nenek yang terlampau “kampung”. Watak Ron yang comel ini juga menarik dengan prestasi lakonan suara yang mantap.
Walaupun ia membosankan, klise – ia masih mempunyai penutup yang penuh dengan emosi yang membuatkan aku terdiam sekejap. Walaupun aku sudah tahu, tetapi mungkin kerana chemistry Ron dan Barney dengan lakonan suara oleh Jack Dylan Grazer dan Zach Galifianakis yang cukup realistik berjaya menangkap hati aku.
Tidak dinafikan yang filem ini adalah satu filem kanak-kanak dan untuk ditonton seisi keluarga. Tetapi dengan konsep yang sangat dikenali hanya satu iterasi berlainan sedikit dari 20th Century Studio yang tidak mempunyai keunikan – ia mungkin tidak akan berjaya menangkap hati orang ramai untuk menontonnya.
Aneh sekali filem ini tidak langkau tayangan di Malaysia dan memasuki ke platform penstriman, kerana pawagam hanya menerima mereka yang berusia atas 18 tahun. Sukar untuk aku sarankan filem ini kepada mereka yang sudah dewasa kalau tidak tonton bersama adik-adik atau anak-anak.
Jika tonton seorang, diri – tiket RM18 itu adalah bayaran kurang dua jam tidur di bawah dewan yang sejuk dan gelap untuk berehat.