DokuRabu – Found : Jejak Kasih Versi Netflix

Rancangan yang hangat lebih dua dekad yang lalu di TV Malaysia ialah Jejak Kasih di TV3. Bagi yang tak pernah menontonnya, setiap pagi dalam rancangan Malaysia Hari Ini, arwah Aziz Desa akan mempunyai segmen Jejak Kasih yang cuba membantu penonton mencari ahli keluarga yang hilang. Mungkin ingin jumpa ayah kandung untuk bernikah, mencari mak kandung yang melepaskan anak kerana 13 Mei atau terputus hubungan kerana penceraian.

Bila dilihat Jejak Kasih menggunakan lensa moraliti 2021, ia mungkin rancangan yang sedikit eksploitif kerana berapa tinggi rating adalah berkadar terus dengan jumlah titisan air mata yang bercucuran. Selepas beberapa tahun Jejak Kasih dihentikan dan aku tak tahu sama ada stesen TV tempatan ada melakukan percubaan untuk menghasilkan kandungan sepertinya lagi.

Found ialah dokumentari mengenai tiga remaja perempuan yang diambil sebagai anak angkat oleh keluarga dari Amerika Syarikat. Ketiga-tiganya adalah bayi yang dibuang di China atas sebab kewangan dan keluarga tidak mahu didenda kerana undang-undang menghalang keluarga mempunyai lebih daripada satu anak. Walaupun diambil oleh tiga keluarga berbeza, ujian DNA menunjukkan mereka sebenarnya mempunyai pertalian darah. Dokumentari mengikuti kehidupan harian Sadie, Lily dan Chloe sebelum pergi ke China untuk mencari keluarga kandung.

Ketiga-tiga gadis berbangsa cina ini ditunjukkan cuba mencari identiti sendiri selepas dibesarkan oleh keluarga berkulit putih. Ada yang ingin lebih hampir kepada budaya asal selepas dibesarkan sebagai seorang Yahudi. Ada yang selesa dengan identiti sebagai seorang banana, kuning di luar tetapi putih di dalam. Perjalanan ke China untuk mencari keluarga adalah cara untuk mereka mencari identiti asal yang sekian lama dilupakan.

Aku cukup suka dengan Found kerana tidak menggunakan formula dokumentari Netflix. Biasanya kalau dokumentari jejak kasih seperti ini diterbitkan, kita hanya melihat dari sudut anak angkat yang mencari keluarga dan kemudian menutup rancangan dengan mencari sebab kenapa bayi dibuang. Pengarah Amanda Lipitz turut menemuramah penjaga-penjaga dari rumah anak yatim yang menceritakan kesukaran menjaga puluhan bayi yang dibuang dengan wang yang sedikit.

Malahan Liu Hao, insan yang ditugaskan pergi ke seluruh pelosok China mencari ibu bapa kandung turut diberikan ruang untuk menceritakan mengapa beliau melakukan kerja yang aneh ini walaupun beliau mempunyai kelulusan dalam bidang perniagaan antarabangsa. Kisah hidup Liu Hao adalah paling tidak disangka kerana motivasi beliau membuang aku berlinang air mata.

Adakah Sadie, Lily dan Chloe berjaya bertemu dengan ibu apa kandung? Apakah yang berlaku selepas kembali ke China? Untuk jawapan ini sila tonton Found di Netflix sekarang.

Tonton dokumentari Found di Netflix

Found
Ditayangkan di Netflix
Dokumentari Jejak Kasih yang menyentuh jiwa mendedahkan bagaimana polisi Satu Keluarga Satu Anak China memusnahkan keluarga dan menghasilkan generasi yang kehilangan asal-usul.
Positif
Topik yang menyentuh jiwa
Tidak klise seperti dokumentari Netflix yang lain
Menarik perhatian dari awal hingga akhir.
Negatif
Tiada Aziz Desa
8

Sohor Kini