Disney+ Hotstar hari ini telah mengumumkan Project APAC iaitu usaha mereka untuk membawa kandungan originals dari negara-negara asia pasifik termasuk juga Malaysia. Mereka juga telah berkongsi senarai kandungan filem dan siri TV dari APAC yang akan tiba di perkhidmatan penstriman tersebut.

Antara yang diumumkan adalah Ejen Ali Musim 3 yang akan dihasilkan dengan kerjasama bersama Primeworks Studios dan Wau Animation. Ia dijangka akan tiba pada tahun depan dan tidak disahkan lagi sama ada ia juga akan ditawarkan di platform-platform lain.

Semasa pelancaran Disney+ Hotstar sebelum ini, mereka telah mengumumkan yang akan menyiarkan Ejen Ali the Movie 2 selepas ia ditayangkan di pawagam. Ejen Ali Musim 1 dan Musim 2 juga boleh ditonton di Disney+ Hotstar dan juga di beberapa platform lain termasuk juga Netflix.

Selain itu, berikut adalah kandungan-kandungan lain yang akan tiba;

  • Filem thriller aksi, Moving merupakan filem dari Korea yang berdasarkan kartun web (webtoon) oleh Kang Full, yang mengisahkan bagaimana tiga wira remaja menemui kekuatan luar biasa mereka.
  • Snowdrop, siri melodrama romantik yang dibintangi pelakon Korea terkenal, Jung Hae-in dan Jisoo dari kumpulan BLACKPINK. Diilhamkan oleh penerbit di sebalik K-drama hebat 2019 “SKY Castle”.
  • Grid, siri baru bergenre misteri oleh pemenang anugerah, penulis Lee Su-yeon.
  • Eksklusif di Disney+ Hotstar dan di pawagam, BLACKPINK: The Movie merupakan sebuah dokumentari tentang kumpulan K-pop yang popular, bagi meraikan ulang tahun kelima mereka.
  • Rookies, drama siri romantik yang menelusuri kisah di akademi polis elit Korea, merupakan drama sulung idola K-pop Kang Daniel.
  • Drama Tokyo MER (Mobile Emergency Room) merupakan kolaborasi istimewa TBS yang bertemakan perubatan, dan dibintangi Ryohei Suzuki dan Kento Kaku yang mengungguli pelbagai anugerah.
  • BLACK ROCK SHOOTER DAWN FALL merupakan olahan semula untuk animasi Jepun untuk BLACK★ROCK SHOOTER, suatu watak popular dengan peminat global yang telah membawa muzik, tokoh aksi, permainan dan animasi.
  • Summer Time Rendering adalah animasi Jepun yang berdasarkan manga berjudul sama.
  • YOJOHAN TIME MACHINE BLUES (tajuk awal) adalah siri animasi Jepun baru dan merupakan susulan kepada THE TATAMI GALAXY.
  • Twisted Wonderland yang merupakan permainan mudah alih Disney yang sangat popular oleh Aniplex.
  • Adapatasi daripada filem berjudul sama, drama bersiri komedi Susah Sinyal (atau Bad Signal) mengisahkan sekumpulan pekerja hotel yang menguruskan sebuah hotel resort mewah di Jawa Barat.
  • Di bawah visi kreatif pengarah yang memenangi anugerah Joko Anwar, dan dihasilkan oleh Screenplay Bumilangit, Bumilangit bakal melancarkan drama bersiri pertamanya.
  • Memaparkan Chen Bo-Lin yang berbakat tinggi, “Small & Mighty” yang bertemakan penemuan diri, merupakan penampilan beliau dalam drama Taiwan sejak drama “In Time With You”.
  • “Delicacies Destiny” merupakan drama zaman Cina dan komedi romantik baharu yang bertemakan makanan, yang diilhamkan oleh penerbit veteran Yu Zheng susulan kejayaan “Story of YanXi Palace.”
  • “Shipwreck Hunters” merupakan dokumentari Australia pertama Disney+ Hotstar yang bertumpu pada misteri kapal karam ikonik di garis pantai Australia Barat yang luas.

Disney juga telah mengumumkan “Program Pengalaman Kreatif APAC” sebagai inisiatif pertama yang khusus bagi menyatukan ratusan pencipta terkemuka dari APAC dengan para pembuat filem dan pencipta filem Disney yang bertaraf dunia.

Menerusi kelas pakar kreatif, forum diskusi dan aktiviti-aktiviti lain, Disney akan menjemput pencipta-pencipta terkemuka dari seluruh APAC untuk bertemu dengan para eksekutif dan pengamal kreatif terkemuka dari beberapa jenama dan studio utama syarikat.

Disney+ Hotstar sudah dilancarkan di Malaysia dengan harga langganan RM54.90 untuk tiga bulan, ia juga ditawarkan untuk pelanggan Astro.

Sohor Kini