Selalu kita dengar teguran orang dewasa ke kanak-kanak jangan tegur orang yang tidak dikenali. Bukan kerana tidak beradab, tetapi untuk elakkan pelbagai peristiwa tidak diingini berlaku.

Universal Pictures dan Blumhouse bakal hadir dengan filem seram bertemakan konsep ini. Seorang kanak-kanak tegur orang dewasa yang tidak dikenali, lalu diculik. Tetapi ada twist, ini bukan filem jenayah penculikan sebaliknya adalah filem seram. Tonton treler The Black Phone di bawah;

Ethan Hawke berlakon sebagai penculik The Grabber ini dengan topeng yang mengerikan dan menculik seorang kanak-kanak lelaki Finney Shaw lakonan Mason Thames. Kes penculikan ini sudah banyak kali berlaku dan sudah ada ramai mangsa. Di dalam bilik di mana Finney ditawan oleh The Grabber terdapat satu telefon vintaj hitam yang wayarnya sudah putus.

Aneh sekali telefon ini berdering dan mangsa-mangsa The Grabber yang sudah mati seakan membantu Finney membebaskan diri. Tetapi semakin lama semakin aneh, The Grabber seakan tahu semua ini akan berlaku, Finney juga seakan hampir gagal dan ada hantu-hantu mangsa mula mengganggu.

Filem ini dilihat mempunyai konsep yang menarik dan mungkin mampu memberikan pengalaman menonton yang seram dan mengejutkan. Ia akan ditayangkan pada Februari 2022 akan datang. Sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini