Skip to main content

Menjadikan siri permainan video sebagai satu filem ataupun siri TV bukanlah sesuatu yang biasa, akan tetapi ia adalah sesuatu yang sering dilakukan dengan keputusan yang sangat mengecewakan. Hanya ada beberapa sahaja filem berdasarkan permainan video boleh dikatakan berjaya. Manakala melalui Free Guy, arahan Shawn Levy dan ditulis oleh Matt Lieberman, ia tidak mengambil mana-mana permainan video secara terus, sebaliknya menghasilkan satu filem mengenai permainan video itu sendiri.

Di dalam Free Guy, ia memfokuskan kepada watak bernama Guy lakonan Ryan Reynolds yang merupakan seorang NPC di dalam permainan MMORPG berjudul Free City. Sebagai seorang NPC, dia akan melakukan tugasan harian seperti yang telah diprogramkan setiap hari. Sehinggalah dia ternampak satu watak iaitu Molotov Girl yang merupakan watak di dalam permainan dan di kawal oleh Millie Rusk lakonan Jodie Comer, yang terus mengubah Guy untuk melakukan sesuatu yang diluar dari yang diprogramkan.

Mula mendapat “kesadaran diri”, Guy mula cuba untuk berhubung dengan Molotov Girl tanpa menyedari yang dirinya adalah sekadar NPC, manakala Molotov Girl adalah satu persona sahaja. Selain seorang pemain, Millie Rusk juga mempunyai misi tersendiri, di mana dia ingin mencari bukti yang Free City dibina berdasarkan permainan yang dibangunkan olehnya bersama dengan Walter McKeys lakonan Joe Keery yang juga bekerja dengan pembangun studio yang memiliki Free City, Soonami Games.

Watak jahat utama bagi filem ini adalah Antwan lakonan Taika Waititi iaitu CEO untuk Soonami Games yang dikatakan mencuri kod sumber daripada Millie dan Keys untuk menghasilkan Free City tanpa kebenaran dan juga kredit.

Kejayaan utama filem ini adalah menghasilkan dunia permainan video yang boleh dipercayai, secara jelas ia mengambil inspirasi daripada permainan seperti GTA Online dan juga Fortnite dengan hadirnya metaverse tersendiri. Free Guy berjaya meniru perkara tersebut dan menghasilkan satu dunia yang menarik untuk dilihat. Penglibatan pelbagai watak NPC lain juga menghidupkan lagi dunia ini.

Lakonan Ryan Reynolds sebagai Guy pula adalah sesuatu yang kita sudah boleh jangkakan, ia adalah satu lagi watak di mana beliau memainkan watak dirinya sendiri. Seperti Dwayne Johnson, jika ia adalah efektif, mengapa ingin ditukar? – dan Ryan Reynolds berjaya membawa watak Guy dengan sangat baik.

Free Guy juga menyertakan banyak easter egg yang akan membawa gelak tawa, serta yang biasa dengan sesuatu permainan video akan mengetahui daripada ia diambil. Filem ini juga boleh dikatakan sebagai satu filem aksi, walaupun aksi di dalamnya dilakukan dengan secara terlampau (disengajakan), ia juga adalah lebih kepada yang ingin membawa kesan komedi berbanding cemas.

Dengan filem seperti ini, sudah tidak dapat dielakkan yang ia akan menyertakan banyak CGI akan tetapi ia dilakukan dengan baik, tidak sempurna tetapi sudah cukup memuaskan untuk menjadikan ia boleh dipercayai. Tambahan, ia masih lagi berlaku di dalam satu permainan video oleh kerana premis tersebut, walaupun nampak pelik, boleh dianggap sahaja ‘ia adalah satu permainan video’.

Ironinya, apa yang filem ini gagal lakukan adalah menghasilkan dunia nyata yang boleh dipercayai. Terdapat banyak perkara yang berlaku di luar permainan terasa sangat janggal menjadikan ia lebih artificial berbanding dunia di dalam Free City. Permasalahan berkait dengan Millie dan Keys melawan dengan Soonami Games dan Antwan adalah sesuatu yang bukan perkara mustahil tetapi cara disampaikan membuatkan ia sedikit aneh, bukan sahaja dari segi pembangunan permainan video dan juga dari segi kontrak dan hak.

Sebagai satu permainan video, filem ini juga telah menggunakan beberapa strimer popular untuk bercakap mengenai apa yang berlaku, akan tetapi saya merasakan yang ia dilakukan dengan kurang kemas dan terlalu kerap menjadikan ia sesuatu yang sukar untuk dipercayai. Buat kali pertama ia mungkin menarik untuk melihat wajah-wajah yang kita kenali tetapi selepas itu, saya hanya boleh tersenyum sinis sahaja.

Watak Antwan juga tidak membantu, tingkah lakunya yang terlalu pelik membuatkan ia lebih kepada watak permainan video berbanding watak dunia sebenar. Lakonan yang baik daripada Jodie Comer dan Joe Keery sekurang-kurangnya membantu untuk masih memberikan satu drama yang baik. Ini terutamanya perhubungan di antara watak dilakukan dengan baik terutama di antara Guy dan Millie serta Millie dengan Keys.

Satu lagi masalah, mengenai filem ini adalah ia sering menerangkan sesuatu misteri yang berlaku. Walaupun perkara tersebut sudah boleh dijangkakan dengan mudah, tetapi filem ini masih lagi mengambil masa untuk memastikan setiap penonton faham apa yang berlaku. Secara peribadi saya lebih menyukai untuk bertanya di akhir filem mengenai sesuatu berbanding disuapkan begitu sahaja. Tambahan, bagi filem ini ia tidak sukar untuk dijangka oleh itu agak berlebihan jika ia diterangkan sekali lagi terutama sebagai pengakhiran. Namun, mungkin ia dilakukan kerana ini adalah filem umum dan akan ada kanak-kanak yang akan menontonnya.

Free Guy adalah satu filem ringan, dan juga satu filem komedi. Oleh kerana itu, pelbagai kekurangan filem ini boleh tutup mata sebelah sahaja dan masih lagi satu filem yang baik dan menyeronokkan. Lakonan yang baik daripada semua watak, walaupun ada watak yang terlalu dibuat-buat, menyerikan lagi keseluruhan penceritaan. Ia satu filem yang baik untuk ditonton, akan tetapi jika anda ingin menantikan untuk ia tiba di perkhidmatan penstriman anda tidak akan rugi apa-apa.

Penafian: Tontonan awal untuk Free Guy disediakan oleh Disney untuk tujuan ulasan ini. Free Guy akan disiarkan di pawagam pada 14 Oktober 2021.

Free Guy
Free Guy adalah filem aksi komedi yang ringan, berjaya membawa dunia permainan video yang realistik akan tetapi gagal untuk melakukan perkara yang sama bagi penceritaan dunia nyata.
Positif
Lakonan Baik Oleh Semua Watak
Rekaan Dunia Permainan Video Yang Menarik
Negatif
Penceritaan Yang Kurang Kemas
7

Leave a Reply