Ada perdebatan di antara peminat filem semasa pandemik sama ada panggung wayang masih relevan? Netflix membuktikan panggung wayang adalah peninggalan zaman lama dengan kesemua kandungan mereka ditawarkan terus ke televisyen pelanggan secara serentak. Disney juga berjinak-jinak dengan model yang sama apabila filem asli ditayangkan di panggung dan platform penstriman menerusi ciri pembayaran tambahan.

Seperti pandemik mengubah bagaimana kita bekerja, ia juga mendatangkan kesan yang besar kepada masa depan panggung wayang. Christopher Nolan dan Denis Villeneuve merasakan filem mereka perlu ditonton di panggung dahulu sebelum distrim di rumah. Aku antara yang tidak bersetuju dengan dua nama besar dunia perfileman ini. Tetapi selepas menonton Dune di layar IMAX minggu ini aku mulai faham apa yang cuba disampaikan oleh Nolan dan Villeneuve.

Dune ialah filem sains fiksyen (saifi) yang diolah dari siri buku Dune nukilan Frank Herbert. Ini ialah percubaan keempat untuk mengubah prosa-prosa Herbert yang dari tujuh buku kesemuanya menjadi sebuah filem. Percubaan awal oleh Alejandro Jodorowsky pada tahun 1974 berakhir di peringkat konsep dengan lebih 3000 lukisan dan membuahkan sebuah dokumentari Jodorowsky’s Dune yang aku sarankan ditonton jika anda mempunyai akses kepadanya. Idea filem Jodorowksy boleh dianggap gila kerana ingin mengambil Salvador Dali sebagai pelakon dan sepanjang 10 jam. Visi beliau ialah menghasilkan pengalaman mengambil dadah LSD tanpa perlu mengambil dadah LSD.

Kemudian filem Dune oleh David Lynch dihasilkan pada tahun 1984 yang dihentam kerana sukar difahami oleh mereka yang tidak pernah membaca buku asal dan dihentam lebih teruk oleh peminat kerana perubahan plot yang dilakukan oleh Lynch. Sebuah siri TV juga dihasilkan yang mendapat sambutan yang baik.

Jadi apabila Dennis Villeneuve menghasilkan semua karya Herbert yang dikatakan tidak boleh difilemkan ini, ramai agak skeptik. Adalah dunia memerlukan satu lagi adaptasi dan bolehkah Villeneuve mengikut telunjuk studio. Menerusi Blade Runner 2049 dan Arrival, beliau membuktikan beliau boleh menjadi the next Ridley Scott. Jawapan pendek yang boleh aku berikan sekarang ialah YA.

Bagi yang tidak begitu arif dengan Dune ceritanya agak mudah. Planet Arrakis adalah kontang dengan keseluruhan permukaannya dilitupi oleh padang pasir dan menjadi ekosistem kepada cacing padang pasir gergasi Shai-hulud. Walaupun kering kontang, padang pasir yang sama mengandungi spice – rempah yang diperlukan untuk mengembara menggunakan kapal angkasa.

Perlombongan di Arrakis ditentang oleh kaum Fremen – penduduk pasir-putera yang hidup di dalam gua bawah tanah bagi melindungi dari kepanasan permukaan planet. Walaupun mereka adalah orang asal planet Arrakis, Fremen telah ditindas oleh golongan pendatang House Harkonnen dari planet Geidi Prime selama 80 tahun yang melombong rempah tanpa kebenaran. Kehadiran Harkonnen tidak disenangi Fremen kerana spice ialah sebatian suci yang sepatutnya digunakan untuk amalan keagamaan mereka.

Hak istimewa Harkonnen ini kemudiannya ditarik oleh Maharaja Shaddam IV dengan hak perlombongan dipindahkan pula kepada keluarga House Atreides dari planet Caladan. Perpindahan hak melombong sumber yang berharga ini menyebabkan pertelingkahan antara House Harkonnen dan House Atreidis dalam saga Dune.

Plot filem ini ada elemen-elemen klise drama slot Samarinda Melayu. Perasaan dengki antara dua keluarga, tikam belakang, anak yang sepatutnya mengambil alih perniagaan keluarga, pembunuhan, peperangan dan cinta yang terlarang semuanya ada dalam Dune. Yang membezakan Dune dengan slot Samarinda ialah elemen saifi Dune yang kini menjadi ikutan SEMUA cerita saifi yang lain dan tiadanya Mustapha Kamal melakonkan watak papa.

Sebaliknya beliau digantikan oleh Oscar Isaac sebagai Duke Atreidis I dengan Timothee Chalamet, Zendaya, Rebecca Ferguson, Stellan Skarsgard, Dave Bautista, Josh Brolin, Javier Bardam, Jason Mamoa dan Charlotte Rampling melengkapi ensemble cast yang cukup pada. Kaliber pelakon yang mantap ini ialah sebab utama filem yang agak heavy with exposition ini tidak gagal walaupun filem ini sepanjang 2 jam 35 minit.

Masalah utama filem saifi ianya memperkenalkan dunia, watak dan budaya baharu kepada penonton. Dengan lore yang lebih tebal dari buku teks sejarah SPM tingkatan 5, Dune 2021 boleh musnah seperti Dune 1984. Tetapi skrip serta lakon layar Denis Villeneuve, Jon Spaihts dan Eric Roth digarap dengan cukup sempurna dengan lakonan yang hampir kesemuanya tidak mengecewakan. Rebecca Ferguson, Oscar Isaac dan Timothee Chalamet berjaya menunjukkan mengapa mereka adalah pelakon yang sedang hangat di Hollywood.

Tetapi MVP sebenar filem ini ialah pengarah Denis Villeneuve, yang aku katakan di awal ulasan ini ialah Ridley Scott 2.0 dan pengarah fotografi Greig Fraser yang mungkin ialah Roger Deakins 2.0. Setiap bingkai filem Dune aku rasakan boleh diambil tangkap layarnya dan kemudian dijadikan gambar latar belakang telefon atau diletakkan sebagai hiasan di ruang tamu. Ia menyebabkan aku berharap saluran Every Frame a Painting di YouTube kembali wujud untuk melakukan selam mendalam sinematografi Dune.

Babak kapal angkasa gergasi mendarat secara berkumpulan sebelum memuntahkan ribuan askar di planet Arrakis, dan kemunculan pertama cacing gergasi padang pasir misalnya perlu ditonton di skrin gergasi panggung (lebih afdal IMAX) kerana ianya sangatlah cantik sehingga satu panggung yang dipenuhi pengulas serentak mengatakan WOW. Pengalamannya tak akan sama seperti menonton di rumah apabila ia ditawarkan di HBO GO kelak. Apabila cacing gergasi menelan mangsa di skrin, ia pada skala yang sebenarnya jika anda sendiri sedang ditelan. Dua babak ini sahaja aku rasakan membuatkan sudah berbaloi untuk membayar tiket RM28 menonton dunia di panggung IMAX.

Lakonan mantap, arahan yang baik dan sinematografi tahap dewa ini kemudiannya ditambah garam yang secukupnya oleh runut bunyi oleh Hanz Zimmer. Tak perlu menulis panjang kerana ini ialah Hanz Zimmer yang menghasilkan runut bunyi Inception, Gladiator, Dunkirk, Interstellar, Pirates of the Caribbean, trilogi Batman dan banyak lagi. Zimmer ialah peminat buku Dune sehingga menolak menghasilkan runut bunyi filem Tenet tahun lalu walaupun beliau kerap bekerjasama dengan Christopher Nolan.

Kekurangan filem hanyalah ini ialah bahagian pertama dan kini aku perlu menanti dua lagi filem yang belum disahkan tarikh penggambarannya untuk melengkapkan trilogi. Tontonlah Dune di wayang sekiranya berkesempatan kerana ia mungkin filem yang paling cantik pernah aku tonton sejak lebih empat dekad hidup di muka bumi.

Apa yang aku cuba katakan adalah Dune ialah filem yang akan membuatkan orang kembali ke panggung. Walaupun anda tak pernah membaca satu muka surat novel asal atau menonton filem David Lynch, ia masih boleh difahami dengan baik kerana Denis Villeneuve ialah sifu sinema moden. Dune ialah filem pencuci mata, halwa telinga dan sempurna campuran rempah ratusnya seperti resipi rahsia Colonel Sanders.

Dune (2021)
Ditayangkan bermula 12 Oktober 2021
Filem yang perlu ditonton di panggung wayang bagi menebus dosa menonton filem-filem blokbuster di rumah sahaja sepanjang pandemik.
Positif
Lakonan yang mantap dari semua krew.
Sinematografi yang selayaknya ditonton di pangung.
Filem panjang yang masih terasa pendek.
Negatif
Ini hanya bahagian pertama dengan tiada tarikh lagi untuk bahagian kedua
10

Sohor Kini