Dalam belanjawan negara beberapa tahun yang lalu, kerajaan menjanjikan dana untuk penerbitan kandungan dokumentari berkualiti untuk ditayangkan di televisyen. Selepas dua kali kerajaan bertukar tangan kerana governing is like a musical chair di negara kita ini, tiada dokumentari baharu diterbitkan mungkin kerana penangan Covid-19 menghalang produksi serta kekontangan idea yang menarik.

Ramai mungkin tidak menyedari dokumentari berkualiti sebenarnya telah diterbitkan oleh Malayan Film Unit sejak sebelum merdeka dan kemudian Filem Negara Malaysia meneruskan penerbitan dokumentari yang merakam kehidupan lampau datuk nenek kita. Banyak kandungan ini telah dimuat naik secara percuma ke saluran YouTube Finas. Oleh itu aku kumpulkan lima yang aku rasakan mampu membelikan pengalaman seperti kembali ke zaman silam.

1. Seruan Suchi (1965)

Semasa aku membesar dahulu datuk dan nenek kerap bercerita bagaimana ibu dan bapa mereka pergi menunaikan haji menaiki kapal. Perjalanan mengambil masa sekitar dua minggu. Tiada gambar dikongsi oleh arwah atuk dan nenek membuatkan aku terbayang-bayang bagaimana suasana menghantar ahli keluarga ke tanah suci lebih enam dekad yang lalu.

Seruan Suchi yang diterbitkan pada tahun 1965 membuatkan aku tak perlu terbayang-bayang lagi kerana dipenuhi visual berwarna yang mantap. Dalam dilihat bagaimana ahli keluarga menghantar saudara menaiki kapal di Pelabuhan Kelang dan juga perjalanan Yang Dipertuan Agong menunaikan haji pada tahun yang sama menaiki kapal terbang turboprop. Menarik melihat makcik pergi haji tak pakai tudung, saudara yang menghantar mereka pula memakai skirt dan jumlah manusia berbadan gempal boleh dikira dengan sebelah tangan. Ini ialah kapsul masa yang cukup berharga.

2.Kejohanan Piala THOMAS (1992)

Kali terakhir negara kita menjuarai Piala Thomas ialah pada tahun 1992. Aku masih boleh ingat lagi seluruh kampung bertempik sorak apabila pasukan badminton negara menang pada tahun tersebut menentang Indonesia di pusingan akhir. Setiap lompatan Rashid, pukulan smash Foo Kok Keong dan jeritan Cheah Soon Kit serta Soo Beng Kiang masih terngiang-ngiang di kepala.

Dokumentari pendek ini membuatkan aku terasa seperti kembali berusia 13 tahun menonton acara akhir dengan 15 ahli keluarga yang lain di rumah nenek menerusi TV hanya sebesar 14-inci. Pejam celik sudah hampir 30 tahun Piala Thomas tidak kembali ke Malaysia. Kerinduan ini sedikit terubat dengan dokumentari Kejohanan Piala THOMAS ini.

3. Safar (1962)

Amalan mandi Safar kini sudahpun hampir pupus dengan pelbagai fatwa menjatuhkan hukum ia haram dilakukan kerana khurafat. Sebagai generasi yang tidak sempat melihat sendiri apakah amalan mandi Safar, dokumentari ini ialah portal ke masa lampau menunjukkan bagaimana orang Melayu Islam dahulu cuba menolak bala. Ada bonus Pak Haji menulis azimat yang dimasukkan ke dalam kolam air dan diletakkan pada hujung pancing untuk direndam ke dalam sungai. Ada visual bonus anak dara sunti berkebaya mandi berkemban dalam sungai dan datuk nenek berjoget lambak di tengah kota sempena hari Safar.

4. Timeless Temiar (1956)

Suku orang asli Temiar mendapat perhatian orang ramai apabila mereka menghalang pencerobohan kerajaan negeri Kelantan memasuki tanah adat mereka. Halangan jalan raya diadakan dengan aktivis Orang Asal ditahan kerana didakwa mengganggu urusan pegawai kerajaan. Aku akui aku hanya mula cakna mengenai suku Temiar kerana isu pencabulan hak asasi mereka beberapa tahun kebelakangan ini, jadi kewujudan dokumentari Timeless Temiar dari tahun 1956 adalah mengejutkan. Mengejutkan kerana ia berwarna dan telah menjalani proses restorasi digital yang membuatkan ia kelihatan dirakam pada deka 80an dan bukan 50an.

Dapat dilihat bagaimana komuniti orang asal ini menjalankan kehidupan harian dan juga upacara pengebumian yang aku yakin ramai tidak pernah lihat dengan mata sendiri. Pakaian, alat memasak, bakul anyaman dan keperluan harian ditanam bersama si mati supaya roh tidak kembali menghantui keluarga yang masih hidup. Budaya-budaya ini semakin pupus selepas semakin ramai tidak lagi mengamalkan ajaran animisme.

5. Berkhidmat Memimpin Umat (1966)

Serve To Lead ialah moto Maktab Tentera Diraja yang juga dikongsi dengan Royal Military Academy Sandhurst di United Kingdom. Maka tidaklah mengejutkan MTD menerima nama jolokan Sandhurst TImur sehingga sekarang. Sebagai sekolah berasrama penuh yang berprestij, pelajar MTD kemudiannya diserap masuk ke dalam Tentera Diraja Malaysia dan juga menjadi pegawai kerajaan. Apakah agaknya yang membezakan MTD dengan sekolah-sekolah lain? Dokumentari Berkhidmat Memimpin Umat memberikan orang awam peluang melihatnya sendiri pada tahun 1966.

6. Dari Kampung Ke Kampus (1987)

Apa yang korang bawa ke kampus semasa pergi ke universiti? Aku bawa komputer desktop 25 kilogram, koleksi CD dua beg, dua beg pakaian, kipas, sistem audio dan buku. Semuanya agak mudah kerana adanya kereta sendiri yang diberikan oleh bapa bagi melancarkan pembelajaran. Aku yakin senarai barang yang aku bawa ini dianggap kuno. Tetapi macam mana pula kehidupan siswazah tahun 1987? Dokumentari Dari Kampung Ke Kampus menunjukkan perjalanan menaiki kereta api di kelas tiga, pakaian siswazah dan juga rambut mereka yang panjang pada waktu tersebut sebelum kesemua mahasiswa Malaysia dilayan seperti budak-budak dengan kod pemakaian seakan sekolah rendah sekarang. What a shame!

7. Malaya (1961)

Bagaimanakah Malaya diiklankan kepada orang luar bagi tujuan pelancongan? Ini caranya. Lihat bagaimana pelancong disambut di Pulau Pinang, rupa Kuala Lumpur sebelum pembangunan pesat dan cara yang betul untuk menari Ronggeng di kelab malam.

8.Lembaran Baru (1962)

Beberapa tahun yang lalu ada siri TV Juvana menunjukkan kehidupan di pusat pemulihan akhlak remaja bermasalah. Lembaran Baru (Life A New) ialah dokumentari seorang remaja bermasalah dihantar ke pusat pemulihan akhlak di Sungai Besi.

9.Wayang Kulit (1956) dan Dikir Barat (1984)

Lagi kapsul masa menunjukkan budaya Melayu lama yang sudah berubah supaya lebih selari dengan kepercayaan Melayu semasa.

9.Kemerdekaan Malaya

Dan akhir sekali ialah Kemerdekaan Malaya yang merupakan dokumentari yang sebelum ini pernah diterbitkan di YouTube tetapi dalam kualiti yang rendah. Versi ini adalah yang terbaik pernah kami tengok dengan banyak visual Hari Kemerdekaan dapat ditonton dalam resolusi HD penuh.

Sohor Kini