Filem Shang-Chi akan ditayangkan di pawagam tempatan bermula 30 September ini seawal 9 pagi. Semalam Disney telah memberi aku peluang tonton sedikit lebih awal untuk tujuan ulasan. Shang-Chi and the Legends of the Ten Rings adalah filem yang memfokuskan kepada watak Shang-Chi serta pertama kali dalam MCU mempunyai elemen Asia yang banyak.

Filem ini juga bercampur dengan bahasa Cina dan Inggeris untuk menjadikan rujukan asal komik kelihatan lebih realistik dan meyakinkan. Filem ini juga adalah satu konsep baharu untuk Marvel Studios, tetapi jika konsep begini adakah ia lebih menarik daripada biasa?

Cerita Menarik Dan Segar Untuk MCU

Kalau bukan konflik keluarga, bukan filem MCU namanya. Kebanyakan filem MCU setiap watak utama pasti akan ada isu keluarga atau hubungan. Untuk Shang-Chi, isu beliau adalah bersama bapa dan juga adiknya. Selepas kematian ibunya, bapanya lakonan Tony Leung yang memainkan watak Wen Wu menjadi semakin kejam dan jahat melatih beliau menjadi pembunuh. Adik beliau Xu Xialing pula dipinggirkan kerana seorang perempuan.

Perjalanan cerita filem ini adalah ringkas dan menarik sekali. Itu adalah pada hemat aku sendiri. Apa yang aku tidak suka dengan penceritaan filem ini adalah banyak watak yang bercakap menceritakan jalan cerita. Ia bukannya bosan atau tidak boleh lakukan penceritaan begitu. Tetapi ia sedikit pantas menjadikan aku rasa tidak puas apa yang mereka cuba sampaikan.

Filem ini juga adalah pertama kali dalam MCU organisasi Ten Rings didedahkan dengan lebih mendalam. Organisasi ini adalah dalang dalam pelbagai tragedi di zaman dahulu, kemusnahan kerajaan di sesebuah negara, mengawal politik di peringkat antarabangsa dan banyak lagi. Ketua mereka Wen Wu adalah lakonan Tony Leung, bapa kepada Shang-Chi merupakan rekaan watak baharu dicipta Marvel. Ini kerana dalam komik, watak sebenar bapa Shang-Chi tidak boleh digunakan kerana banyak elemen rasis, ketidakadilan antara kaum, agregasi sosial dan perkara lain lagi yang tidak sesuai diadaptasi ke aksi nyata.

Syukur, pilihan Marvel adalah terbaik. Prestasi lakonan beliau sungguh menakjubkan, perwatakan yang nampak cool dalam pada masa sama kejam dan jahat serta kuat memang menggerunkan. Perjalanan watak ini bersama Shang-Chi, Xu Xialing, Li, Michelle Yeoh semuanya hebat dan beliau berjaya menjayakan watak ini.

Li, ibu kepada Shang-Chi lakonan Fala Chen pula walaupun hanya seketika sahaja, beliau menjiwai watak ini dengan penuh emosi. Gandingan beliau dan Tony Leung cukup secocok, penuh emosi dan adalah pasangan yang menarik. boleh nampak walaupun Wen Wu seorang protagonis kejam, dalam hati beliau masih ada taman.

Beralih ke watak utama, Simu Liu sendiri yang membawa Shang-Chi ke aksi nyata. Sekali lagi Marvel memilih seorang pelakon yang cukup berbakat, bijak membawa elemen komedi, pergerakan aksi yang gila hebat serta mempunyai perwatakan yang tidak disangka boleh wujud dalam dunia MCU.

Cara beliau bawakan watak seorang anak yang rindukan bapa beliau, seorang yang sedih kerana terpaksa menurut perintah cukup memuaskan. Kalau aku cakap lebih mengenai watak beliau, akan jadi beberan pula – korang WAJIB tonton sendiri filem ini untuk memahami apa yang aku cuba sampaikan.

Gandingan beliau bersama Awkwafina juga sebagai kawan baik yang jelas sekali akan jatuh cinta juga merupakan pasangan terbaik dalam filem ini. Awkwafina menjadi diri sendiri, siapa yang mengikuti kerjaya lakonan beliau akan kenali beliau dengan perwatakan yang lucu, suara nyaring yang menjengkelkan yang membuatkan orang lain ketawa. Walaupun nampak usaha beliau membawa watak Katy cuba menjadi lebih serius itu ada, tetapi tidak cukup lagi.

Lakonan Meng’er Zhang sebagai Xialing juga akan membuatkan anda semua teruja. Seorang gadis ganas yang ada potensi menjadi watak utama dalam projek masa hadapan Marvel jelas kelihatan. Beliau adalah wanita yang tampak kuat, berani, ganas, tetapi dalam hati masih sedih kerana keluarga tidak memberi kasih sayang yang penuh. Raut wajahnya jelas inginkan perhatian keluarga.

Beliau juga hebat beraksi dan mempunyai kekuatan yang cukup setanding dengan Shang-Chi. Walaupun sedikit aneh bagaimana beliau boleh menjadi hebat tanpa bantuan kerana dipinggirkan, tetapi usaha dan semangat tidak akan mengalah beliau membuatkan kita menerima watak ini dengan seadanya.

Filem ini walaupun adalah drama keluarga yang ada aksi gempak, hebat – elemen komedi masih berjaya diselitkan. Kisah yang serius banyak berlaku di masa silam, di mana kita boleh lihat drama dan rasa sedih terhadap keluarga Shang-Chi. Walaupun perkara serius ini masih ada dalam plot utama, cara komedi diselitkan bagi menenangkan keadaan yang rumit adalah memadai.

Kalau filem ini lebih panjang dengan cerita yang lebih mendalam, aku mungkin boleh bagi skor yang lebih tinggi. Aku hanya tidak berpuas hati dengan kisah mereka diceritakan kerana banyak elemen aksi dimampatkan.

Aksi Gempak Ala Jackie Chan

Bercakap pasal aksi, sudah tentu seni mempertahankan diri Asia menjadi elemen penting seperti Kung Fu. Karate ke Taekwando ke aku yakin semua ada. Koreografi aksi dalam filem ini adalah cukup menarik dan mendebarkan. Setiap aksi dalam filem ini mempunyai pergerakan yang dicipta khusus untuk filem dengan inspirasi daripada banyak aksi Jackie-Chan.

Contoh aksi perlawanan dalam bas yang berlaku di awal filem ini ada menggunakan jaket Shang-Chi sebagai alat bantuan. Ia mirip dengan pergerakan Jackie Chan dalam filem Rumble in the Bronx.

Bukan itu sahaja, perlawanan di bangunan yang dipenuhi dengan buluh juga jelas diambil inspirasi daripada filem Rush Hour 2. Cuma pada skala yang lebih besar dan musuh yang dilatih oleh Wen Wu, yang lebih mencabar. Marvel bawakan aksi ini dengan jayanya yang membuatkan aku rasa gembira dan tidak boleh duduk diam dalam panggung.

Aksi perlawanan di antara Wen Wu dan Li serta antara aksi berlatih Shang-Chi dan Ying Nan lakonan Michelle Yeoh juga penuh dengan pergerakan yang kreatif, lancar, seronok untuk ditonton. Kamera juga tidak menghala ke sudut yang menghalang pergerakan aksi.

Aku kena juga sebut aksi Wen Wu vs Shang-Chi, yang mana adalah musuh vs hero yang gila hebat. Orang kata kalau musuh tidak sehebat hero, baik jangan jadi musuh. Marvel buktikan yang musuh boleh menjadi sekuat seorang hero dan mempunyai persaingan sengit.

Memberi Peluang Watak Baharu

Macam biasa, filem-filem dan siri-siri TV MCU fasa keempat adalah di mana Marvel Studios membuka peluang kepada pelbagai watak baharu untuk terus mainkan peranan penting dalam projek akan datang. Pengakhiran filem ini mengesahkan yang organisasi Ten Rings akan kembali. Bagaimana? Tidak pasti lagi dan dalam filem atau siri TV apa juga tidak didedahkan.

Apa yang aku nampak dalam filem ini adalah, watak Xu Xialing adik kepada Shang-Chi dan konconya Jon Jon lakonan Ronny Chieng akan ada penampilan dalam filem atau mungkin siri Disney+. Jon Jon adalah Katy kepada Xu Xialing, watak lucu yang acah-acah hebat seperti mana Awkwafina dan Simu Liu.

Cahaya Tenaga Klise, Tapi Masih Cool?

Sinematografi filem ini sudah semestinya gempak gila. Aku ternganga tonton setiap aksi perlawanan, setiap makhluk yang muncul, pemandangan lokasi yang indah sekali. Tidak sah kalau filem MCU tiada cahaya tenaga yang menyala-nyala? Roh disedut atau gegelung Ten Rings ketika sedang beraksi semuanya ada cahaya menyala-menyala.

Tetapi entah bagaimana, Marvel mampu membuatkan aku rasa puas hati dengan kesan visual sebegini. Dia nampak lebih kurang sama, tetapi masih ada kelainan tersendiri.

Set penggambaran lokasi yang menakjubkan, elemen baharu dalam filem MCU memang memberikan satu pengalaman menonton yang berbeza. Elemen-elemen bertemakan Asia seperti makhluk daripada mitos China, alam semula jadi yang indah, elemen magis yang berlainan memang buatkan bulu roma meremang.

Audio juga mendebarkan dengan muzik yang menarik adegan demi adegan, gubahan muzik yang sesuai dengan memberi peringatan kepada Black Widow serta pengenalan kepada seorang lagi Black Widow.

Kesimpulan

Filem ini memberi pengalaman menonton seakan aku pertama kali menonton filem Dr. Strange. Berbeza dengan filem MCU lain, rasa segar dan mata akan terlekat pada skrin sepanjang filem. Ia juga adalah filem yang wajib ditonton di pawagam untuk pengalaman yang lebih imersif. Audio, muzik, visual semuanya gempak jika tonton pada skrin besar dan pembesar suara surround.

Filem ini juga bersiap sedia untuk sekuel kepada filem MCU lain, yang mana korang perlu tonton sendiri. Ini kerana petanda ini diberikan semasa kredit pertengahan dan juga di pasca-kredit. Jadi jangan lepas tonton terus balik, tunggu sehingga habis untuk saksikan apa yang Marvel Studios cuba tawarkan.

Filem ini akan ditayangkan kepada umum di pawagam TGV dan GSC yang telah dibuka bermula 30 September. Pastikan jika anda ingin tonton sudah lengkap vaksin dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Shang-Chi and the Legends of the Ten Rings
Ditayangkan Bermula 30 September
Shang-Chi and the Legends of the Ten Rings adalah filem kedua MCU fas keempat. Ia memfokuskan kepada watak Shang-Chi yang mempunyai konflik keluarga dan buat pertama kalinya dalam sejarah filem MCU, organisasi penjahat Ten Rings didedahkan dengan lebih jelas. Filem ini menggunakan banyak elemen Asia dengan pelbagai aksi menarik, visual gempak serta elemen komedi yang menggelikan hati.
Positif
Perjalan cerita yang ringkas dan menarik
Konsep berbeza untuk sebuah filem MCU
Padat dengan aksi dan visual gempak
Negatif
Banyak "exposition" di mana watak menceritakan jalan cerita
Ada beberapa bahagian yang terasa dipercepatkan dan tidak memuaskan
8.5
Skor Ulasan

Sohor Kini