Beberapa tahun yang lalu, Netflix telah mengumumkan bahawa mereka akan membangunkan siri televisyen aksi nyata berdasarkan anime popular lewat 90an Cowboy Bebop. Sepanjang beberapa tahun ini, kami telah mengikuti perkara ini dengan rapat dan melaporkan mengenai pelbagai aspek tentang siri aksi nyata ini, termasuklah pilihan pelakon, kembalinya Yoko Kanno sebagai komposer runut bunyi siri aksi nyata ini dan juga tarikh pelancaran siri televisyen tersebut.

Terkini, sewaktu acara Tudum oleh Netflix, mereka telah memperlihatkan video pembukaan siri aksi nyata ini, yang sedikit sebanyak mengesahkan beberapa perkara. Pertama ialah ia akan menggunakan lagu tema Tank!, iaitu lagu tema asal anime Cowboy Bebop yang ditulis oleh Yoko Kanno sendiri.

Kedua ialah walaupun jalan cerita Cowboy Bebop ini tidak akan mengikuti siri anime, beberapa watak seperti Pierrot dan Vicious diperlihatkan juga, yang memberitahu kita bahawa Cowboy Bebop ini berkemungkinan akan hadir dengan adegan-adegan yang bukan sahaja santai, tetapi juga serius.

Siri aksi nyata Cowboy Bebop ini akan tiba di Netflix pada 19 November ini.

Sohor Kini