Siri TV Money Heist adalah siri daripada Sepanyol yang memfokuskan sekumpulan perompak, merompak bank-bank dengan sistem sekuriti yang gila ketat. Sejak aku mula tonton siri TV ini, ia membuatkan aku layan lebih banyak kandungan berbahasa Sepanyol di Netflix. Mula disiarkan di negara asal pada tahun 2017 dan tiba ke Netflix sejak 2019.
Kini sudah ada lima musim, atau tiga? Ya, susunan siri TV Money Heist sedikit berbeza. Part 1 ada dua bahagian, Part 2 juga ada dua dan yang terkini adalah Part 3 atau Musim ketiga? Apa-apa pun, lima episod terbaru telah pun disiarkan sejak minggu lalu dan ia adalah satu permulaan ke arah penamat yang ramai nanti-nantikan.
Kalau anda ikuti siri TV ini sejak musim lalu, musim terkini yang baru disiarkan ini bersambung secara terus. Lokasi adalah di Bank of Spain dan pasukan La Banda sudah berada di dalam bank ini lebih daripada 100 jam. Pihak berkuasa telah mula mengarahkan askar untuk ambil alih dan segala yang mereka rancang sudah menjadi tidak terurus.
Dengan Professor telah ditemui oleh Alicia, setiap ahli menjadi semakin buntu kerana tidak mempunyai rancangan lain untuk membebaskan diri serta membawa lari emas-emas yang sedang mereka leburkan. Rancangan yang kelihatan mudah, tetapi sebenarnya rumit ini sepatutnya hanyalah untuk rompakan. Tetapi kini sudah semakin ramai yang mati, ada yang diculik, pihak berkuasa mula memperlihatkan korupsi dan banyak lagi perkara yang tidak diingini berlaku.
Premis musim baharu ini kelihatan cukup menarik. Tetapi bukan menarik kerana cerita ini gempak gila. Ia menarik kerana penamat yang sepatutnya boleh berakhir pada musim lepas sudah semakin tiba. Tidak dinafikan, dengan satu musim yang ada lima episod sahaja – cerita ini menjadi semakin meleret. Malah satu episod pun rasa amat lama untuk tonton. Ia syok untuk sambung tonton jika sudah ikuti sejak awal dan akan rasa bosan jika baru ingin mula tonton.
Musim kali ini tidak mempunyai saat yang mendebarkan yang sama seperti musim-musim lalu, kecuali pada beberapa adegan imbau kembali. Ia lebih kepada drama dan aksi, berbanding perancangan dan kerja rompakan yang membuatkan kita rasa Eh boleh ke dia lepas tu? Eh, alamak-alamak habislah..
Penceritaan memfokuskan bagaimana La Banda ingin elakkan pihak berkuasa hantar askar ke dalam bank dan memulakan peperangan yang akan menyebabkan lebih ramai mati – bukan sahaja para perompak tetapi turut mangsa tebusan. Pasukan askar yang dihantar ini adalah seakan Black Ops yang melakukan kerja-kerja kejam yang tidak mengikut peraturan.
Apabila sudah banyak musim dan format sama masih digunakan, iaitu campuran kisah imbau kembali, kisah sampingan di masa silam, serta suara latar yang menceritakan jalan cerita – tidak begitu menarik kerana tidak mempunyai satu elemen yang memberikan perasaan Wow.
Pada masa sama, drama cinta antara Denver dan Stolkholm, drama Tokyo dan Rio, Coloel Luis Tamayo yang semakin tertekan, perjalanan kisah Alicia dan Professor – semuanya mudah dijangka. Format yang klise ini patut dikurangkan dan fokus pada penceritaan penuh.
Walaupun begitu, ada beberapa elemen lucu yang meredakan sedikit rasa bosan dan mengurangkan sedikit rasa suspen (walaupun tidak banyak seperti dulu) masih ada. Watak ini tidak lain dan tidak bukan adalah Arturito, yang mana watak yang membuatkan semua orang bencinya amat menjadi.
Dalam pada masa sama, musim ini turut menceritakan kisah sampingan Berlin dan anak beliau Rafael. Kisah ini sedikit menarik, kerana mereka tidak merompak bank dan hanya merompak arkib harta karun. Kisah mereka ini layak menerima satu kisah sampingan tersendiri, kerana mempunyai penceritaan yang sedikit segar. Walaupun ia di masa silam, ia memberi petanda yang akan ada penglibatan anak beliau bersama La Banda.
Kisah sampingan lain adalah kisah cinta sejati Tokyo dan René. Ia adalah sambungan kisah Tokyo daripada musim pertama yang kita lihat beliau sedang lari daripada pihak berkuasa selepas merompak dan kehilangan kekasih beliau. Ia juga mempunyai adegan tambahan bagaimana beliau bertemu dengan Professor – yang menjadi ahli pertama yang direkrut. Kisah sampingan ini juga menarik. Tetapi disebabkan ia diceritakan oleh Tokyo, kisah ini disampaikan dengan kadar yang pantas. Mungkin itu perkara baik, kerana siapa sahaja ingin tonton drama cinta dalam drama rompakan?
Beberapa watak lain turut ada pendedahan asal-usul, seperti Manila. Kalau penceritaan ini disusun dengan lebih baik, diasingkan satu demi satu, ia mungkin ada peluang memberikan satu pengalaman menonton yang jauh lebih baik.
Kemudian, turut ada watak askar baharu diperkenalkan. Kumpulan askar kejam ini adalah pasukan Black Ops tadi, yang mana diketuai oleh Sagasta. Ini juga satu cerita yang menarik kerana kita diberi peluang melihat penglibatan pasukan askar gila yang mana boleh dikatakan tambahan menarik daripada musim lepas selepas pengenalan kepada watak César Gandía. Pasukan inilah yang “memulakan” peperangan di antara La Banda.
Dengan ada kisah berlainan yang lebih banyak serta pengenalan watak baharu yang lebih menyegarkan, ia membantu pengikut siri TV ini untuk alami sedikit pengalaman menonton yang lebih menarik. Masih tidak cukup, kerana ia mempunyai penyampaian yang ringkas dan kurang memuaskan.
Prestasi lakonan masing-masing semuanya hebat. Cuma penulisan skrip kali ini dilihat rasa sedikit tidak enak. Garamnya tidak cukup dalam resipi kali ini. Mungkin Netflix ingin simpan untuk bahagian terakhir kelak?
La Casa De Papel musim kelima bahagian pertama ini dilihat mempunyai permulaan kepada penamat yang baik. Ia membuatkan penonton lebih mengenali mendalam setiap watak-watak penting, memberi kenangan kepada watak Berlin dengan kisah sampingan beliau di masa silam, pengenalan watak baru yang dilihat ada peluang untuk mempunyai spotlight pada bahagian kedua akan datang serta tidak mempunyai episod akhir yang tergantung sehingga berada di tahap menjengkelkan.
Penamat bahagian pertama ini masih boleh diterima, berbanding episod akhir musim-musim lalu. Bahagian kedua hanya akan disiarkan pada 3 Disember kelak. Jika anda jenis gemar maratonton, aku sarankan tunggu Disember nanti dan tonton terus kesemuanya. Harapnya tidak akan ada lagi plot twist dan siri TV ini akan benar-benar tamat tidak lama lagi.