Berapa banyak filem Resident Evil diperlukan oleh tamadun manusia? Jika jawapan anda adalah sebanyak yang mungkin anda bernasib baik kerana Resident Evil: Welcome to Raccoon City ialah sebuah lagi filem yang sudah habis pembikinannya dengan ia akan ke layar perak pada bulan November ini.

Resident Evil: Welcome to Raccoon City bukan filem olahan semula dari siri yang dilakonkan oleh Milla Jovovich. Sebaliknya ia adalah filem yang diadpatasi dari dua permainan video Resident Evil yang asal. Pengarah dan penulis filem ini ialah Johannes Roberts yang sebelum ini menghasilkan filem suspen 47 meter Down. Menurut Roberts, filem kali ini akan kembali kepada genre seram dan bukannya fiksyen sains futuristik.

Menerusi gambar eksklusif yang dikongsi ke laman IGN semalam, dapat dilihat bagaimana rupa watak kali ini lebih menyerupai versi permainan video. Kaya Scodelario (Maze Runner) memakai jaket merah Claire Redfield sementara Ava Jogia pula memakai uniform polis Leon S Kennedy yang sama dari permainan Resident Evil 2.

Turut diperlihatkan ialah Tom Hopper (Doom Patrol) sebegai Albert Wesker, Chad Rook sebagai Richard Aiken, Hannah John-Kamen (Killjoys) sebagai Jill Valentine dan Robbie Amell (The Flash) sebagai and Chris Redfield. Filem ini menggabungkan jalan cerita dua permainan video pertama Resident Evil menjadi satu.

Johannes Roberts turut menambah filem ini akan lebih mirip filem seram The Exorcist dan The Shining dengan atmosfera bandar Racoon City pula mirip bandar dari filem The Deer Hunter. Dengan Resident Evil sedang mengalami zaman renaissance sejak RE : Village dilancarkan, kami hanya berharap filem adaptasi permainan video yang senonoh akhirnya dapat dihasilkan.

Sohor Kini