Sejak pertengahan tahun ini, pelbagai filem telah diumumkan. Banyak yang menarik dan berbaloi untuk ditonton di pawagam. Tetapi apakan daya, Covid-19 menghalang kita, dengan pawagam ditutup, filem ditunda ataupun ada yang sepatutnya ditonton di pawagam terpaksa ditonton secara penstriman.

Dua filem baharu daripada Warner Bros. iaitu The Conjuring: The Devil Made Me Do It dan Space Jam: A New Legacy adalah di antara filem tersebut. Kedua-dua filem ini sudah ditayangkan di pawagam di luar negara dan turut sudah boleh distrim di HBO Max atau dibeli/sewa secara digital.

Terkini, HBO Go Malaysia mengumumkan yang kedua-dua filem ini tidak akan ditayangkan di pawagam. Mereka akan melangkauinya dan terus disiarkan di platform penstriman video HBO GO. Kedua-dua filem ini boleh distrim bermula 27 Ogos ini.

The Conjuring: The Devil Made Me Do It adalah filem ketiga Conjuring dan diadaptasi daripada kisah benar. Tema filem ini adalah penyiasatan dan merupakan kisah di mana suspek pembunuhan diberi hukuman ringan kerana membunuh apabila dirasuk.

Space Jam: A New Legacy pula adalah iterasi baharu Space Jam, Michael Jordan digantikan denga LeBron James. Mengisahkan hubungan bapa dan anak yang semakin tegang dan terperangkap dalam dunia IP-IP Warner Bros. Seperti filem pertama, watak utama harus memenangi perlawanan bola keranjang untuk menyelamatkan semuanya.

Bagi yang berminat dengan kedua-dua filem ini, anda boleh saksikannya bermula hari Jumaat ini.

Sohor Kini