Free Guy adalah filem baharu 20th Century Studio yanh turut terkesan dengan pandemik Covid-19, kerana sehingga hari ini masih belum ditayangkan lagi.
Filem ini akan ditayangkan di Amerika Syarikat pada 13 Ogos akan datang dan akan disiarkan di Disney+ selepas tempoh tayangan tamat. Terkini video acah baharu memperlihatkan antagonis dalam dunia permainan ini – Dude.
Guy adalah watak tidak boleh dimainkan (NPC) dalam permainan video dunia terbuka Free City. Beliau adalah pegawai bank lakonan Ryan Reynolds dan telah mempunyai kesedaran untuk menjadi watak utama dalam permainan video ini.

Pembangunnya Antoine lakonan Taika Waitit, menyedari pepijat ini lalu menghantar watak antagonis baharu – Dude juga lakonan Ryan Reynolds. Dude adalah versi Ryan Reynolds yang gila sado dan turut membuat jenaka beliau tidak lagi muat memakai kostum Deadpool kerana badannya bersaiz gergasi.

Millie dan Keys adalah rakan kepada Guy, lakonan Jodie Comer dan Joe Keery membantu beliau agar boleh menjadi watak utama dan membebaskan diri agar Antoine tidak mematikan permainan video ini. Lil Rel Howery sebagai Buddy juga akan membantu Guy dalam pengembaraan ini.
Tarikh tayangan di Malaysia masih tidak diketahui. Mungkin kita hanya boleh tonton versi digital, jika ditawarkan untuk sewaan atau belian akan datang. Sama-sama kita nantikan.


