Tamagotchi adalah permainan yang amat popular pada suatu ketika dahulu. Ia hadir dalam bentuk seakan telur dan pemilik permainan ini perlu menjaga makhluk digital di dalamnya seperti memberi makan, membuang najis dan sebagainya.

Terkini, bagi mereka yang cemburu dengan Luke Skywalker yang sering ditemani oleh R2-D2 ketika pengembaraan beliau dari Tatooine sehinggalah ke Death Star – anda kini boleh memiliki ‘R2-D2’ anda sendiri kerana ia hadir dalam bentuk Tamagotchi.

Lebih menarik sekali, variasi ini hadir dalam rekabentuk ikonik seakan telur dengan tema berasaskan R2-D2 sama ada warna putih yang digelar Classic atau warna biru lutsinar yang digelar Hologram. Kerjasama antara Star Wars dan Bandai ini menawarkan animasi yang comel serta membolehkan pemiliknya kelak melatih R2-D2 19 skil berbeza.

Pemilik perlu memastikan R2 dicas (secara digital), membersihkannya, bermain permainan Dejarik, dan boleh menyahkunci pelbagai lagi permainan mini, Pemilik perlu memastikan Artoo sentiasa gembira jika tidak ingin ditangkap oleh Jawas.

Tamagotchi Star Wars: R2-D2 akan dijual melalui Amazon bermula 11 November akan datang dengan pra-tempahan bermula hari ini. Harga jualan adalah sekitar RM100.

Sohor Kini