Selepas Iron Man mati dalam Avengers: Endgame, pelakonnya Robert Downey Jr. dan isteri mula fokus kepada syarikat produksi sendiri untuk pelbagai projek filem dan siri TV. Antara yang berjaya dengan lebih 60 juta penonton pada empat minggu pertama, adalah adaptasi komik DC, Sweet Tooth yang disiarkan di Netflix baru-baru ini.
Siri TV ini sudah tamat untuk musim pertama dan terkini Netflix telah mengumumkan kehadiran bagi musim kedua pula. Musim kedua akan mempunyai lapan episod dengan setiap episod mempunyai durasi satu jam.
Jim Mickle akan menjadi penerbit eksekutif, penulis, pengarah dan mengendalikan projek musim kedua ini. Sementara Oanh Ly akan menyertai beliau sebagai penerbit eksekutif. Studio Team Downey akan teruskan menghasilkan siri TV ini bersama-sama dengan Netflix.
Sweet Tooth mengisahkan Gus seorang manusia hibrid rusa yang ingin mencari ibunya dan merungkai misteri di sebalik kejadian, bagaimana bayi baru lahir mempunyai DNA haiwan. Musim kedua akan teruskan pengembaraan Gus, namun butiran jelas masih tidak dikongsi lagi. Sama-sama kita nantikan.