Filem seram komedi 80-an Ghostbusters, bakal hadir dengan sekuel Ghostbusters: Afterlife November tahun ini. Filem ini adalah filem keempat dalam francais dan merupakan sekuel secara terus kepada filem Ghostbuster 2 (1989). Filem olahan tahun 2016 tidak berkait dengan sekuel ini.

Filem ini mengisahkan keluarga Egon Spengler (lakonan mendiang Harold Ramis dalam filem asal) iaitu Callie (lakonan Carrie Coon), Phoebe dan Trevor lakonan (lakonan Mckenna Grace dan Finn Wolfhard). Egon telah meninggalkan harta beliau kepada keluarga beliau dan mereka telah menemui harta khazanah pasukan Ghostbuters seperti The Proton Pack dan juga Ectomobile.

Video acah baharu bagi filem ini baru sahaja diterbitkan. Kali ini, ia memperlihatkan entah bagaimana selepas 30 tahun tiada serangan hantu atau entiti luar biasa ini – ia kembali menyerang. Dengan bantuan seorang guru Mr. Grooberson lakonan Paul Rudd, Trevor, Phoebe dan rakan-rakan menyiasat kejadian serangan hantu ini dan mengembalikan pasukan Ghostbusters untuk menghentikannya.

Video acah memperlihatkan aksi menarik dengan penyampaian yang dilihat lebih serius, seram serta mengekalkan elemen komedi. Filem ini juga akan menampilkan Peter Venkman dan Dr. Raymond Stantz lakonan Bill Murray dan Dan Aykroyd. Video acah ini membuatkan saya sendiri tidak sabar untuk menantikan kehadiran filem ini.

Harapnya pada 11 November iaitu tarikh tayangan filem ini dijadualkan, pawagam Malaysia sudah kembali beroperasi.

Sohor Kini