Loki adalah siri TV baharu Marvel Studios yang dihasilkan khusus untuk Disney+. Siri TV ini berada dalam dunia MCU dan garis masa Loki adalah di Endgame, selepas adegan beliau ambil Tesseract dan larikan diri. Disebabkan Loki adalah antara watak MCU kegemaran aku, aku letakkan harapan tinggi pada siri TV ini.

Di Aksiz, kami berteori di mana penulisan skrip dan jalan cerita daripada WandaVision, The Falcon and the Winter Soldier dan sampailah ke Loki akan menjadi semakin baik. Tetapi sayang sekali, Disney dan Marvel banyak sia-siakan peluang pada siri TV dan mereka menjadi diri mereka, memancing peminat dan penonton untuk terus setia dengan MCU.

Dengan Loki yang sudah tamat disiarkan untuk musim pertama pada 14 Julai lalu dengan enam episod, kini tiba giliran aku untuk aku kongsi pendapat mengenai keseluruhan siri ini. Apa yang boleh aku katakan adalah, filem Loki sebenarnya elok sahaja dijadikan filem dan bukannya siri TV yang terus meleret. Tapi, nasib aku boleh menerima dan aku juga menjadi diri aku terkena pancingan mereka – sebab aku pun sudah tidak sabar ingin tahu apa seterusnya.


Loki Bukan Dah Mati Ke?

Sebelum aku teruskan ulasan aku, aku kongsi sedikit sebanyak sejarah siri TV ini. Ya, dalam Avengers: Infinity War Loki telah mati dibunuh Thanos. Seperti aku katakan pada awal artikel, filem ini adalah kesinambungan daripada Endgame – adegan Loki larikan diri. Disebabkan tindakan beliau, apa yang patut berlaku ke garis masa telah lenyap dan Loki telah mencipta garis masa baharu.

Disebabkan wujudnya Time Variance Authority atau TVA, mereka tangkap Loki untuk pulihkan garis masa. Itu adalah asas kepada apakah cerita siri TV Loki ini. Kate Herron selaku pengarah siri TV ini juga banyak menyumbang kepada perubahan watak Loki dan perkembangan dunia MCU. Siri TV ini dihasilkan oleh Michael Waldron.

TVA bukanlah apa yang Loki sangka. Selepas melihat keseluruhan hidup beliau yang ditayangkan oleh Mobius, beliau mula bekerja di TVA. Lama kelamaan makin banyak rahsia terdedah, seperti beliau baru tahu akan kewujudan Multiverse atau pelbagai dunia atau alam. Setiap dunia ada diri kita yang berbeza, sama ada perwatakan, wajah, spesis dan lain-lain. Dalam kes Loki, pelbagai Variant Loki telah memporak-perandakan masa.

Variant ini adalah Sylvie atau dikenali sebagai Lady Loki. Dalam komik dua watak ini adalah individu berbeza, tetapi pelakon Sylvie telah memberitahu yang watak beliau adalah hibrid di antara kedua. Variant ini adalah jenis Loki yang ingin musnahkan TVA. Jadi sepanjang enam episod ini, ia adalah mengenai Loki dan Sylvie merentas masa dengan adanya variasi Loki lain berserta Owen Wilson.


Best Ke Tak?

Episod satu pada awalnya kelihatan baik sahaja. Tetapi selepas bandingkan dengan dua lagi siri TV MCU, pembukaan Loki bukanlah yang terbaik. Nasib baik Disney terus siarkan dua episod, tetapi itu pun masih tidak memuaskan. Episod tiga adalah episod paling mengecewakan dan boleh dikatakan sia-sia sahaja, ia lebih kepada Fan Service menyembunyikan banyak petunjuk daripada komik dan filem.

Antara episod empat menjadi semakin baik, tetapi episod lima terus menjadi seakan episod tiga. Loki hanya mengembara ke satu lokasi ke lokasi dan hanya banyak bercakap sambil sekali lagi cuba menggembirakan hati peminat dengan lebih banyak variasi Loki yang seakan tidak ada fungsi kerana adegan mereka hanya sekali lalu sahaja. Sampailah ke episod akhir, ada sedikit perubahan tetapi seperti biasa – Marvel pancing untuk kita tunggu filem baharu yang akan diteruskan melaluinya dan juga siri TV musim kedua akan datang.

Sepanjang enam episod juga, hanya ada satu sahaja yang ada adegan di kredit akhir. Konsep siri TV ini dan ideanya adalah cukup baik sekali. Ia memperkenalkan dengan lebih jelas konsep Multiverse ini kepada semua orang dan memberi idea bagaimana bagaimana filem Spider-Man: No Way Home serta Dr. Strange in the Multiverse of Madness akan datang boleh berlaku.

Disney dan Marvel dilihat mensia-siakan peluang baik dalam siri TV ini. Bromance atau hubungan erat antara Loki dan Mobius adalah antara yang terbaik. Gandingan mereka berdua buatkan aku teringat pada filem Starsky & Hutch iaitu Owen Wilson dan Ben Stiller. Disebabkan Loki tersangkut di TVA dan beliau tidak boleh masuk ke garis masa asal, aku yakin Mobius dan Loki kelak akan berganding bahu menjadi abang-adik baharu pengganti kepada Loki-Thor.

Aku juga terfikir, macam manalah Owen Wilson langsung tidak sebut Oh, Wow bila nampak tindakan Loki, terkejut atau gembira tangkap Loki atau tidak gerun ke lihat raksasa di episod enam? Bagus Disney, menyembunyikan identiti Owen Wilson. Oh ya, bagi yang tidak tahu Owen Wilson juga adalah Lightning McQueen dalam filem animasi Cars. Mobius dalam siri TV ini juga cukup menarik. Walaupun tiada Oh Wow, tetapi perwatakan Owen Wilson, cara beliau bawakan watak ini, emosi dan segalanya cukup baik.

Baiklah, gandingan antara Loki dan Sylvie pula adalah antara yang aku tidak sangka. Boleh pula siri TV yang serius untuk menghentikan pencipta TVA boleh beralih kepada drama cinta. Loki dan Sylvie saling mencintai dalam siri TV ini, walaupun Sylvie itu adalah diri beliau yang berubah menjadi wanita. Baiklah tolak perkara ini ke tepi dan aku akan fokus pada watak Sylvie.

Sylvie adalah watak baharu seperti John Walker yang jadi US Agent. Perwatakan beliau dan prestasi juga cukup baik dan menarik. Cara beliau bawakan watak Loki versi wanita sangat menjadi, tetapi elemen komedi atau lucu yang ada pada Tom Hiddleston sebagai Loki tiada pada Sylvie lakonan Sophia Di Martino. Sylvie lebih ganas, matang dan kuat berbanding Loki yang lebih suka bergurau. Apa yang aku ingin saksikan kelak adalah gandingan Sylvie dan Mobius pula.

Baiklah, watak lain lebih kepada watak sampingan sahaja. Ada yang main peranan ada yang seakan tidak dan ada juga yang sekadar pancing sahaja. Gugu Mbatha-Raw ang melakonkan watak Ravonna Renslayer dilihat cukup baik menjadi watak yang orang ramai benci. Dalam komik beliau adalah kekasih Kang The Conqueror, tetapi dalam siri cara Disney bawakan watak ini adalah seakan Karl Mordo dalam Dr. Strange 2016. Dia baik, tapi mungkin jahat, tapi nanti pasti akan kembali jadi baik. Ia juga adalah bagaimana watak Wanda dikembangkan, daripada antagonis kepada protagonis dan kembali kepada protagonis.

Prestasi Gugu tidak banyak yang aku boleh katakan, sebab lakonan beliau biasa sahaja. Hunter B-15 dilihat ada masa depan cerah, mungkin akan terlibat dalam filem akan datang atau memainkan peranan dalam musim kedua. Watak beliau ini cukup tabah, kuat dan bersemangat. Watak Miss Minute lakonan Tara Strong juga dilihat cukup memuaskan. Walaupun hanya animasi, tetapi beliau adalah AI yang dicipta oleh He Who Remains – di mana episod akhir watak ini seakan membawa penonton ke filem seram ngeri.

Motif siri TV Loki ini sebenarnya adalah Marvel dan Disney hanya ingin memperkenalkan Multiverse dalam MCU. Itu sahaja. Tetapi dalam Ant-Man, dan Endgame, kita sudah tahu perkara ini tidak mustahil. Komik juga sudah lama ada konsep ini. DC juga sudah memperkenalkannya dalam siri TV The CW mereka melalui Arrowverse.

Loki baru lagi siri TV ketiga Marvel Studios. Banyak lagi mereka harus dengar kata peminat, rujuk konsep drama lain atau juga ambil contoh daripada DC – tetapi Marvelkannya. Loki sebuah siri TV yang menarik, tetapi daripada enam episod hanya tiga sahaja yang baik dan tiga lagi kurang menarik.

Dulu perkara ringkas seperti ini kalau Marvel ingin dedahkan adalah melalui filem pendek Marvel: One Shot. Kini hanya ingin beritahu kewujudan TVA dan Multiverse wujud pada enam episod dengan bajet tinggi seakan filem – aku rasa Disney dan Marvel Studios boleh tawarkan lebih baik.


Prestasi Lakonan “Oh, Wow” (Gaya Owen Wilson) Tak?

Macam biasa, Marvel gemari memilih pelakon dan pengarah yang tidak begitu dikenali ramai. Walaupun begitu, walaupun ada yang pertama kali terlibat dengan MCU, prestasi lakonan daripada semua pelakon layak diterima pujian. Dengan arahan daripada Kate Herron, didikan Loki melalui sesi Loki Lecture, dan banyak lagi. Berikut adalah senarai pelakon yang ada dalam siri TV ini;

  • Tom Hiddleston sebagai Loki
  • Gugu Mbatha-Raw sebagai Ravonna Renslayer/Hunter A-23
  • Wunmi Mosaku Sebagai Hunter B-15
  • Eugene Cordero sebagai Casey
  • Tara Strong pelakon suara Miss Minutes
  • Owen Wilson sebagai Mobius M. Mobius
  • Sophia Di Martino sebagai Sylvie
  • Sasha Lane sebagai Hunter C-20
  • DeObia Oparei sebagai Boastful Loki
  • Richard E. Grant sebagai Classic Loki
  • Jonathan Majors sebagai “He Who Remains”

Tahukah anda yang Chris Hemsworth turut mempunyai penampilan khas dalam siri TV ini? Beliau meminjamkan suara untuk Throg iaitu variasi Thor dalam bentuk katak dalam komik Marvel. Ada yang katakan Marvel hanya sunting audio Thor menjadi garau seakan kata, kerana mengitar semula fail audio sama pada filem lama.


Kesimpulan

Loki adalah siri TV yang biasa sahaja. Bukan yang terbaik, tetapi untuk cubaan ketiga – bolehlah. Dari segi rasa berdebar The Falcon and the Winter Soldier adalah jauh lebih baik. Dari segi tenang, WandaVision lebih bagus. Loki sedikit serabut, mungkin pengarah baru pada musim kedua nanti akan membawakan satu penyampaian yang berbeza.

Loki dikhabarkan adalah titik permulaan kepada apa yang berlaku dalam filem Spider-Man: No Way Home dan juga Dr. Strange in the Multiverse of Madness. Kita mungkin akan lihat Loki, Sylvie dan Mobius muncul dalam projek akan datang mereka. Loki patutnya ditawarkan dalam bentuk filem solo atau filem sampingan yang bersambung dalam siri TV.

Kita perlu tunggu sehingga 10 Ogos untuk siri animasi What If…? pula. Ia adalah siri animasi dengan pelakon suara sama, tetapi ada yang akan memainkan watak berbeza atau watak sama variasi berbeza. Ada kata What If adalah di mana semua peristiwa/tragedi/agenda berlaku selepas Multiverse menjadi kucar-kacir dalam episod akhir Loki.

Sama-sama kita nantikan.

Loki Musim Pertama
Semasa Endgame, di peristiwa "Pertempuran Di New York" - Loki yang dalam tahanan berjaya mencuri Tesseract dan melarikan diri. Selepas itu beliau ditangkap oleh TVA, sebuah organisasi menjaga garis masa. Di TVA beliau mengenali Mobius, Sylvie dan mendapati TVA bukanlah satu organisasi yang semua sangkakan.
Positif
Seakan Black Widow, mendedahkan sedikit sebanyak latar belakang Loki
Memberi harapan untuk watak baharu di projek Disney di masa hadapan
Mempunyai konsep dan penceritaan menarik
Negatif
Watak yang dibangunkan sudah baik, tetapi penggunaan untuk siri TV 6 episod terlalu ringkas
Jalan cerita ringkas, tetapi meleret dengan perkara yang tidak patut
Walaupun cerita menarik, penyampaian kurang memuaskan
7.5

Sohor Kini