Aku adalah individu yang gemar gila tonton filem. Tidak kira apa jua genre, aku boleh sahaja tonton semua jenis filem. Tahap kaki filem aku ini, filem Cats yang ditayangkan dua tahun lepas aku boleh hadap dalam wayang sampai habis. Kali ini aku ingin ulaskan satu filem baharu daripada Steven Soderbergh. Antara filem beliau yang aku layan dahulu adalah trilogi filem jenayah rompakan dengan plot twist Ocean (11,12 dan 13), Contagion yang seram dan komedi tidak masuk akal Logan Lucky.

Tetapi semasa aku tonton kesemua filem ini, aku tidak pernah hiraukan konsep filem, siapa yang mengarah dan lain-lain. Aku tonton sekadar ingin tahu kenapa filem ini dibual orang ramai. Filem terbaru beliau adalah No Sudden Move yang kini disiarkan di HBO Max (1 Julai) dan akan disiarkan di HBO Go Asia tidak lama lagi. Selepas tanya kepada yang lebih pakar mengenai siapakah Steven Soderbergh, editor aku beritahu beliau adalah seorang yang terkenal dengan filem Indie.

Bayangkan satu filem beliau, iaitu Unsane dirakam dengan iPhone. Kemudian kepakaran beliau adalah dengan perwatakan, seperti bagaimana watak-watak filem beliau ditulis dan bermain dengan plot watak tersendiri di samping plot keseluruhan filem. Boleh dikatakan, filem No Sudden Move adalah filem Ocean 11 dengan tema Noir dan mempunyai penceritaan yang lebih mendalam, penyampaian gila perlahan (slow burn) – tetapi masih syok untuk ditonton.


Sinopsis & Latar Belakang Filem

Seperti yang aku katakan tadi, Steven Soderbergh pakar dengan membangunkan watak-watak dalam filem beliau. Filem beliau kerap mempunyai struktur naratif multilinear, kompleks, banyak plot twist, perkembangan watak yang lebih mendalam dan kita sebagai penonton sukar untuk teka apa sebenarnya arah filem ini. Judul asal filem ini adalah Kill Switch, tetapi selepas pandemik Covid-19 melanda penggambaran tunda – beliau ubah judul kepada No Sudden Move.

Beliau juga adalah seorang pengarah yang gemar terbit, sunting dan juga terlibat dengan rakaman sendiri. Bayangkan daripada 28 September sehingga 12 November sahaja penggambaran filem ii berlangsung.

Filem ini berlaku di tahun 1955 di bandar Detroit, memfokuskan kepada sekumpulan penjenayah kecil yang diupah untuk mencuri satu dokumen daripada seorang pekerja syarikat automotif. Tetapi, rancangan rompakan yang diusahakan tidak berjaya – sehinggalah berlaku pertelingkahan, pembunuhan dan perancangan semula. Ia juga mempertontonkan kehidupan zaman di mana individu berkulit putih rasis terhadap mereka yang berkulit gelap, penglibatan syarikat konglomerat yang korup, pihak berkuasa yang tidak amanah dan kumpulan-kumpulan penyangak.

Penyampaian Cerita

Watak penting filem ini adalah Don Cheadle yang memainkan watak Curt Goynes dan juga Benicio del Toro sebagai Ronald Russo. Curt dan Ronald direkrut oleh Jones lakonan Brendan Fraser dengan penampilan yang aku tidak cam. Seorang lagi ahli dalam kumpulan perompak adalah Charley lakonan Kieran Culkin. Jones mengarahkan Curt dan Ronald menjaga isteri dan anak-anak kepada Matt lakonan David Harbour (Ya, Red Guardian dalam Black Widow yang akan ditayangkan tidak lama lagi). Charley pula ditugaskan untuk menemani Matt mencuri dokumen milik majikan beliau.

Tetapi menimbulkan persoalan, satu dokumen dalam sampul – kenapa perlukan sampai tiga orang? Kenapa seorang mengupah antara satu sama lain, menjadikan satu rangkaian misteri – siapakah dalang sebenar. Rancangan ini menjadi kucar-kacir sehingga Curt dan Ronald mengingkari perintah dan hadir dengan rancangan sendiri. Dari sini, mulalah penglibatan dengan pelbagai watak seperti ketua penyangak Frank Capelli lakonan Ray Liotta, isteri beliau lakonan Julia Fox, polis korup lakonan Jon Hamm, ketua penyangak wakil warga Afrika Amerika lakonan Bill Duke dan juga Mr. Big lakonan Matt Damon.

Pada awal filem, plotnya kelihatan ringkas dan mudah dibaca. Ia kelihatan klise, sehinggalah watak-watak lain ini mula muncul. Bermula dari sini, kreativiti penulisan skrip Ed Solomon dan bentuk penceritaan Steven Sodernbergh mula menyerlah.

Filem ini jelas sekali mempunyai elemen mengejutkan, di mana kita ingat misi Curt dan Ronald serta pertelingkahan dengan penyangak-penyangak lain serta Mr. Big selesai. Tetapi ada lagi rahsia dan misteri yang membuatkan kita persoalkan, betul ke apa yang kita sangkakan? Watak Mr. Big ini juga mudah disyaki yang ada sesuatu yang disembunyikan, tetapi selepas berlakunya pertelingkahan antara watak Bill Duke tadi dengan Curt dan Ronald yang tidak berhenti menganiaya semua orang – plot lain mula timbul.

Filem ini sangat perlahan, malah jika tidak bertenaga – filem ini boleh dikatakan bosan. Tetapi makin lama, ia membuatkan kita duduk diam dan ingin tonton sehingga tamat.

Bentuk Rakaman Yang Aneh

Aku tidak pasti sama ada ini masalah aku sendiri kerana tonton awal, melalui akses khas diberi oleh WarnerMedia – atau memang ini adalah gaya rakaman filem. Filem ini dirakam dengan lensa sudut ultra lebar, yang mempunyai kesan herotan menjengkelkan sepanjang filem. Apabila ada pergerakan di kiri dan kanan bingkai, herotan mula berlaku menjadikan pergerakan seakan jeli.

Tetapi warna, tona, gaya filem ini cukup menarik. Ia tiada yang pelik atau rasa tidak lengkap. Aku rasa macam tiada CGI, semuanya praktikal – kerana masa penggambaran dan produksi yang singkat. Steven pasukan beliau berjaya membawakan satu filem klasik jenayah Noir ala Ocean 11 untuk disampaikan di dunia moden. Memang boleh nampak ke1950-an filem ini dengan kostum, lokasi, kenderaan serta prestasi lakonan.

Prestasi Lakonan Cukup Hebat

Pada awalnya, Josh Brolin, Don Cheadle, Sebastian Stan dan John Cena adalah antara pelakon yang dipilih untuk filem ini. Tetapi selepas penggambaran ditunda, hanya Don Cheadle yang kekal dan lain digantikan seperti yang disebut di atas. Bila tonton filem ini, kita boleh agak siapakah watak yang sesuai bagi setiap pelakon asal.

Senarai pelakon dalam filem ini adalah;

  • Don Cheadle – Curt Goynes
  • Benicio del Toro – Ronald Russo
  • David Harbour – Matt Wertz
  • Amy Seimetz – Mary Wertz
  • Jon Hamm – Detective Joe Finney
  • Ray Liotta – Frank Capelli
  • Kieran Culkin – Charley
  • Noah Jupe – Matthew Wertz
  • Brendan Fraser – Jones
  • Bill Duke – Aldrick Watkins
  • Julia Fox – Vanessa Capelli
  • Frankie Shaw – Paula
  • Matt Damon – Mr. Big
  • Craig Grant – Jimmy (filem terakhir beliau sebelum beliau meninggal dunia)

Prestasi setiap pelakon adalah menakjubkan. Aku amat berpuas hati dengan setiap pelakon dan apa yang mereka sampaikan. Don Cheadle berjaya membawakan watak Curt dengan baik sekali berserta loghat orang lama beliau, Benicio del Toro juga cukup hebat dengan perwatakan yang buat anda boleh rasa menyampah, David Harbour walaupun ringkas sahaja watak beliau – masih boleh sampaikan prestasi yang aku tidak sangka seperti menjadi ganas sambil memita maaf ke atas perbuatan keji dilakukan.

Jon Hamm dengan watak Detektif Joe Finney adalah paling klise dan mudah dijangka pada awal, tetapi penghujung filem memberikan kejutan. Frank Capelli lakonan Ray Liotta juga cukup menarik dengan watak isteri beliau Vanessa Capelli lakonan Julia Fox juga penuh dengan elemen – Eh, laaaa… dia ke yang plan part tu dan part ni?

Untuk dapatkan apa yang filem ini cuba sampaikan berserta persembahan memuaskan daripada pelakon hebat yang terlibat, kita perlu hadap filem 1 jam 56 minit yang rasa seakan 2-3 jam. Ia perlahan, tetapi penantian itu memuaskan. Sabar kan separuh daripada iman. Kita boleh bersabar dengan situasi semasa yang berpanjangan selama satu tahun, mungkin sampai dua tahun – takkanlah kurang dua jam tak boleh tahan?

Kesimpulan

Filem ini bukan untuk semua orang. Itu apa yang aku boleh katakan. Tetapi, jika anda kenali pengarah filem ini dan tahu gaya beliau – filem ini patut ditonton. Ia membuatkan aku teringat dengan filem Ocean 11, tetapi bertempatkan di masa silam dengan tema Noir dan adalah filem slow burn.

Mereka yang tidak bersabar, aku yakin akan tonton sekejap dan terus matikan dan langkau ke filem lain. Atau berniat tonton separuh sekarang, tonton filem lain terlebih dahulu – kemudian akan terus lupa filem ini belum habis ditonton. Aku amat bersyukur filem ini boleh ditonton di rumah, di atas katil dengan makanan dan minuman yang boleh aku terus ambil dalam peti sejuk.

Kalau dalam panggung, aku sendiri rasa akan terlelap. Tetapi untuk diri aku yang sudah lama tidak menonton filem sebegini, aku rasa berpuas hati secara keseluruhan dan berikan pujian baik kepada semua yang terlibat dengan filem ini. Filem ini sudah disiarkan di HBO Max pada 1 Julai – jika anda ada akses VPN dan langganan boleh terus siar. Jika tidak, nantikan kehadiran filem ini di HBO Go Asia tidak lama lagi. Patutnya disiarkan pada tarikh sama, tetapi ditunda tanpa sebab.

Ulasan: No Sudden Move
Akan Disiarkan Di HBO GO Asia Julai Ini
Kisah jenayah rompakan daripada sekumpulan penjenayah kecil. Curt, Ronald dan Charley. Mereka diupah untuk curi satu dokumen, tetapi rancangan gagal. Curt dapat rasakan Charley menyembunyikan sesuatu, lalu hadir dengan rancangan baharu bersama Ronald. Mencari dalang sebenar. Filem ini adalah seakan Ocean 11 dengan tema Noir yang disampaikan dengan banyak plot twist dan bermain dengan watak secara lebih mendalam.
Positif
Konsep jalan cerita yang menarik
Prestasi lakonan yang gila hebat
Sinematografi ringkas, tetapi menjadi tema Noir tahun 1950-an
Negatif
Filem adalah jenis slow-burn
Sukar untuk kekal tonton untuk 30-40 minit pertama
Ada beberapa watak klise yang mudah dijangka
8

Sohor Kini