Tiga tahun lepas iaitu 2018, filem Halloween telah kembali. Ia bukan olahan semula, tetapi adalah satu sekuel dengan iterasi baharu yang lebih sesuai dengan zaman moden. Sudah semestinya, Laurie Strode kembali dengan lakonan sama oleh Jamie Lee Curtis dan juga pembunuh bersiri Michael Myers turut kembali. Walaupun sudah berpuluh tahun, beliau masih tidak mati-mati lagi.

Terkini, video acah Halloween Kills telah diterbitkan. Ia adalah filem sekuel secara terus kepada filem Halloween 2018. Pasukan yang sama daripada filem 2018 kembali dengan sekuel, selepas berjaya mengutip $250 juta – iaitu kutipan tertinggi di dalam sejarah filem Halloween.

Video ini memperlihatkan terus daripada pengakhiran filem lepas, selepas Laurie, anak beliau Karen (lakonan Judy Geer) dan cucu Allyson (lakonan Andi Matichak) bertempur dengan Michael. Dalam perjalanan ke hospital, bomba telah cuba menghentikan kebakaran rumah mereka dan seperti yang dijangka – Michael masih hidup. Kali ini, Laurie berjaya meyakinkan keseluruhan penduduk Haddonfield untuk bantu menghentikan pembunuh bersiri gila ini.

Menariknya, anak beranak Strode ini berganding bahu dengan mangsa-mangsa Michael yang selamat daripada peristiwa sebelum untuk memastikan Michael mati dan menghentikan pembunuhan maraton ini. Filem ini turut menampilkan Will Patton sebagai Officer Frank Hawkins, Thomas Mann dan juga Anthony Michael Hall.

Halloween Kills diarahkan oleh David Gordon Green, skrip ditulis oleh Scott Teems, Danny McBride dan David Gordon Green. Penerbit filem adalah Malek Akkad, Jason Blum dan Bill Block, manakala penerbit eksekutif adalah John Carpenter, Jamie Lee Curtis, Danny McBride, David Gordon Green dan juga Ryan Freimann. Filem ini dihasilkan, diterbit dan diedarkan oleh Universal Pictures, Miramax, Blumhouse Productions and Trancas International Films.

Halloween Kills akan kembali mengganas di pawagam Oktober ini, iaitu bulan di mana hari Halloween disambut. Sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini