Netflix baru sahaja menerbit video acah bagi filem The Harder They Fall. Ia adalah filem dengan tema koboi memfokuskan watak-watak berkulit gelap. Protagonis dalam filem ini adalah Nat Love lakonan Jonathan Majors dan watak antagonis pula adalah Rufus Buck lakonanan Idris Elba.

Ahli pasukan Rufus membebaskan beliau daripada tahanan, dan sebagai hero Nat mengumpulkan ahli-ahli pasukan beliau untuk memburu dan membalas dendam kepada Rufus. Di pihak Rufus adalah “Treacherous” Trudy Smith lakonan Regina King dan Cherokee Bill lakonan LaKeith Stanfield iaitu pasukan yang tidak tahu apa itu erti kalah. Manakala di pihak Nat pula adalah bekas kekasih beliau Stagecoach Mary lakonan Zazie Beetz, si panas baran Bill Pickett lakonan Edi Gathegi dan si tangkas mengendali pistol Jim Beckwourth lakonan R.J. Cyler yang sebelum ini adalah lawan yang kini menjadi kawan.

Dalam video acah ia memperlihatkan pelbagai aksi ganas yang penuh dengan darah, komedi yang gila dan juga dilihat mungkin membawakan satu penceritaan yang menarik. Filem ini diarahkan oleh Jeymes Samuel, skrip oleh Samuel dan Boaz Yakin, diterbit oleh Shawn Carter, James Lassiter, Lawrence Bender dan Jeymes Samuel.

The Harder They Fall akan disiarkan secara eksklusif di Netflix tahun ini. Tarikh siaran akan diumumkan akan datang.

Sohor Kini