Tidak semua pengarah atau pencipta filem setuju dengan filem mereka disiarkan di platform penstriman video. Ini kerana hasil usaha mereka, kreativiti mereka dan penyampaian cerita mereka ingin disampaikan di skrin besar untuk pengalaman yang lebih memuaskan. Terdapat khabar angin beberapa tahun lepas, Steven Spielberg adalah antara individu tersebut. Tetapi beliau menafikannya, kerana menurut beliau platform mana filem disiarkan atau ditayangkan tidak penting. Apa yang penting adalah cerita yang bagus dan akses mudah untuk semua orang.

Terkini Amblin Partners, iaitu syarikat produksi Steven Spielberg telah menandatangani perjanjian dengan Netflix untuk menghasilkan filem di platform penstriman video popular ini. Menurut Variety, Amblin mungkin akan hasilkan sekurang-kurangnya dua filem setahun daripada pelbagai genre dan Steven Spielberg sendiri mungkin turut akan mengarah salah satu daripadanya. Filem-filem ini juga mungkin turut akan ditayangkan di pawagam, sepertimana filem The Irishman dan Marriage Story sebelum ini agar layak dicalonkan dalam anugerah Oscar.

Ini mungkin satu strategi yang baik oleh Netflix, kerana kita tahu pengarah ini adalah pengarah legenda yang cukup terkenal. Dengan platform pesaing seperti HBO Max, Disney+ dan lain-lain semakin hebat dan menerima sambutan, Netflix harus hadir dengan satu tawaran eksklusif untuk memastikan pelanggan kekal setia dan turut boleh menarik lagi pelanggan baru.

Sohor Kini