Sudah tiga tahun kita tidak ada filem Transformers baharu, degan filem keenam adalah filem sampingan Bumblebee pada tahun 2018. Kini, filem ketujuh dalam francais filem aksi nyata Transformers telah diumumkan. Ia adalah filem prekuel yang berlaku di masa silam – Transformers: Rise Of The Beasts. Dengar sahaja nama Beasts saya sudah gembira dan teruja, kerana mengingatkan kembali animasi klasik Beast Wars yang saya gemar tonton suatu ketika dahulu.

Filem ini akan memfokuskan kepada konsep setiap robot makhluk asing ini berubah bentuk menjadi haiwan dan bukannya kenderaan seperti filem-filem lepas. Maximals, Predacons, Terracons dan Optimus Prime akan kembali dan peminat juga pasti akan teruja kerana Optimus Prime akan direka dengan rekaan G1. Bersama-sama dengan setiap robot ini adalah watak manusia Noah lakonan Anthony Ramon dan Elena lakonan Dominique Fishback. Garis masa filem ini adalah pada tahun 90-an dan berlaku di Brooklyn, New York, Peru dan banyak lagi.

Filem ini diarahkan oleh pengarah filem Creed II, Steven Caple Jr. yang dikatakan membesar dengan siri animasi Beast Wars. Menurut beliau, Transformers ada banyak bentuk dan sebelum kenderaan ia adalah haiwan dan buat pertama kalinya konsep Beast Wars diadaptasi menjadi aksi nyata. Filem ini dihasilkan oleh Paramount Pictures dan Skydance bersama-sama dengan Hasbro dan juga New Republic Pictures melalui terbitan Don Murphy/Tom DeSanto Production, di Bonaventura Pictures Production dan Bay Films Production.

Steven Spielberg juga dilaporkan terlibat dengan produk filem ini. Filem ini dijadualkan untuk ditayangkan pada 23 Jun 2022 tahun hadapan. Sama-sama kita nantikan pengumuman lanjut mengenai filem ini.

Sohor Kini