Hari ini, video acah baharu filem Snake Eyes – G.I. Joe Origins telah diterbitkan. Ia memperlihatkan lebih aksi daripada watak-watak G.I. Joe dan juga apakah yang sebenarnya filem ini ingin sampaikan. Kita tahu yang filem ini adalah filem asal-usul Snake Eyes dan Henry Golding adalah pelakon bagi watak ini.
Dalam video acah baharu ini, ia dilihat yang nama Snake Eyes itu diberikan sendiri oleh watak Henry Golding kerana hidup beliau sentiasa ditimpa nasib malang. Selepas membantu salah seorang ahli puak Jepun Arashikage, beliau mula mempunyai arah tuju dalam kehidupan.
Disebabkan beliau telah menyelamatkan wakil Arashikage, beliau dilatih menjadi pahlawan ninja yang selama ini memang adalah jiwa beliau. Masa silam Snake Eyes didedahkan, di mana ibu bapa beliau telah mati dibunuh dalam rumah yang terbakar dan mungkin pasukan pengganas Cobra terlibat. Jadi, selain menceritakan kisah asal-usul Snake Eyes – perjuangan beliau sepanjang filem ini adalah menghentikan pasukan pengganas ini.
Selain daripada Henry Golding yang memainkan watak Snake Eyes, Andrew Koji turut terlibat dengan memainkan watak Storm Shadow, Úrsula Corberó sebagai Baroness, Samara Weaving sebagai Scarlett, Haruka Abe sebagai Akiko, Tahehiro Hira sebagai Kenta dan Iko Uwais sebagai Hard Master.
Filem diarahkan oleh Robert Schwentke, dengan David Ellison, Dana Goldberg, Don Granger, Jeff G. Waxman dan Greg Mooradian sebagai penerbit eksekutif, Brian Goldner, Erik Howsam dan Lorenzo di Bonaventura sebagai penerbit, serta skrip oleh Evan Spiliotopoulos and Anna Waterhouse dan juga Joe Shrapnel.
Filem ini dijadualkan untuk ditayangkan pada 12 Ogos tahun ini. Sama-sama kita nantikan dan harapkan, tarikh ini panggung wayang sudah dibuka agar kita semua boleh saksikannya.