Penulis skrip asal The Conjuring, iaitu Chad Hayes dan Carey Hayes ingin menghasilkan francais filem seram tersendiri. Mereka akan bekerjasama dengan Darren Lynn Bousman, iaitu pengarah kepada empat filem Saw termasuk dengan Spiral. Francais filem seram mereka ini pula akan diterbit oleh Faster Horse Pictures. Walau bagaimanapun, ke manakah filem ini akan tiba masih tidak pasti.

Idea filem seram mereka adalah berasaskan Madame LaLaurie – iaitu The LaLaurie Mansion. Apa yang menarik adalah, mereka akan melakukan penggambaran di lokasi sebenar rumah agam Lalaurie ini, di mana tempat ini mempunyai akses terhad sejak tahun 1932 lagi. Malah skrip juga dilaporkan ditulis di dalam rumah agam ini.

Perkara ini tidak menjadi mustahil kerana, pemilik baru rumah tersebut Michael Whalen memberi akses khas untuk menjayakan filem ini. Pengarah filem tersebut turut tidur di rumah ini bagi mendapatkan inspirasi, dengan menyatakan beliau rasa lebih emosional, suspen, dan turut juga ada rasa seram.

Kathy Bates dalam American Horror Story: Coven sebagai Madame LaLaurie

Bagi yang tidak tahu siapakah Madame LaLaurie, beliau adalah pembunuh bersiri terkenal dengan membunuh hamba-hamba beliau di dalam rumah tersebut pada tahun 1800-an. Pada 1834 selepas rahsia beliau terdedah kerana kebakaran, beliau telah larikan diri ke Perancis, dan dilaporkan mati di sana pada usia 62 tahun.

Francais filem ini turut akan dikembangkan kepada filem-filem lain, yang menceritakan kisah rumah-rumah atau loaksi di New Orleans yang seram. Filem pertama ini akan memulakan sesi penggambaran pada hujung tahun ini dan pelakon juga sudah dalam proses carian. The LaLaurie Mansion akan diterbitkan oleh Cindy Bond, Doug McKay dan Whalen, sementara Joshua Ryan Dietz dan Dylan Bond sebagai penerbit eksekutif dan Andrew Ward sebagai pakar sejarah untuk projek ini.

Filem ini dikatakan sudah menarik perhatian beberapa syarikat penstriman video. Jadi sama ada wayang ataupun penstriman, kita perlu nantikan pengumuman lanjut.

Sohor Kini