Jika anda membesar di era 90-an, dan seorang peminat anime tegar, anda pastinya sekurang-kurangnya pernah mendengari akan nama anime Cowboy Bebop, yang dikatakan salah satu daripada tajuk-tajuk anime yang meledakkan genre tersebut ke arena antarabangsa.

Netflix sebelum ini mengumumkan bahawa mereka akan membangunkan siri aksi nyata Cowboy Bebop, yang akan dibintangi John Cho, Mustafa Shakir dan Daniella Pineda yang masing-masing akan memainkan tiga watak utama dalam siri ini, iaitu Spike Spiegel, Jet Black dan Faye Valentine.

Sewaktu acara Netflix Geeked yang baru sahaja berlangsung, pihak Netflix turut membuat dua pengumuman besar mengenai siri ini, iaitu dimana penggubal runut bunyi asal siri animasi Cowboy Bebop, Yoko Kanno akan kembali untuk tugasan yang sama.

Malah Netflix Geeked melalui akaun Twitter mereka telah menunjukkan sebuah video ringkas yang memperlihatkan tiga watak utama tersebut dengan latar belakang lagu Tank!, iaitu tajuk lagu tema pembukaan siri animasi tersebut, yang mana kami harap akan dikekalkan sebagai tema pembukaan siri aksi nyata ini juga.

Netflix juga telah sedikit sebanyak mengesahkan bahawa Cowboy Bebop akan keudara di Netflix di sekitar musim luruh tahun ini, jadi kebarangkalian besar pada penghujung suku ketiga ataupun awal suku keempat tahun ini.

Sohor Kini