Kemaskini, 26 Mei 2021: CNN telah melaporkan yang MGM telah bersetuju dengan tawaran oleh Amazon untuk pengambil-alihan dengan nilai $8.45 bilion. Proses pengambil-alihan ini masih memerlukan kebenaran oleh pihak kerajaan sebelum ia diselesaikan.
Jika anda pernah menonton siri filem dan televisyen seperti James Bond, Handmaid’s Tale, Rocky dan sebagainya, anda pastinya sekurang-kurangnya pernah melihat logo singa MGM, ataupun Metro Goldwyn Meyer sebelum ini.
Menurut beberapa laporan daripada laman-laman berita seperti Variety, Amazon, syarikat teknologi yang mempunyai perkhidmatan penstriman video Amazon Prime Videos mereka sendiri telah melaporkan bahawa mereka sedang berunding dengan syarikat pembuat kandungan terkemuka tersebut untuk $9 bilion.
Perbincangan pengambilalihan ini dikatakan telahpun bermula tidak lama dahulu, dan sedang dikepalai oleh Mike Hopkins di Amazon Studios dan pengerusi MGM Studios, Kevin Ulrich, dua daripada nama-nama besar didalam industri perfileman dan penstriman atas-talian.
Ini bukanlah sesuatu yang baru juga, kerana sebelum ini MGM telahpun mengumumkan bahawa mereka sedang mencari pembeli untuk syarikat tersebut, bersama-sama dengan perlesenan untuk francais filem dan siri televisyen mereka.
Ia cukup menarik jika Amazon benar-benar mengambil-alih MGM Studios, khususnya kerana ia akan memberikan suntikan kandungan yang cukup besar sekali untuk Amazon Prime Videos dan juga Amazon Studios.