Sejak berakhirnya filem Avengers: Endgame, dunia perfileman menjadi sunnyi sebentar dengan genre adiwira. Tiba-tiba semakin banyak siri TV dan filem asli untuk platform penstriman menjadi trend. Hampir setiap platform ingin tawarkan versi masing-masing untuk menarik minat orang ramai. Di Netflix pula menjadi trend kuasa luar biasa bergabung dengan penyiasatan.
Untuk HBO, baru-baru ini mereka hadir dengan siri TV The Nevers. Siri TV ini memfokuskan nilai kewanitaan, di mana watak-watak utama dan yang penting adalah wanita serta mempunyai pelbagai cabaran daripada kaum lelaki. Ia berlaku di era Victoria England, di mana semua wanita mempunyai kuasa luar biasa dan perlu menghentikan mereka yang membangkang kewujudan spesis dengan kuasa hebat ini.
Siri TV ini mempunyai dua bahagian, kerana produksi terganggu akibat pandemik Covid-19. Bahagian kedua masih belum mula lagi penggambaran menurut beberapa sumber dan hanya akan disiarkan di masa akan datang. Ulasan aku dalam artikel ini adalah sepenuhnya pada bahagian pertama, yang mempunyai enam episod. Siri TV ini ada potensi, mungkin gaya Joss Whedon (pengarah, pencipta siri TV ini) – sama seperti Josstice Leaguu siri TV ini serabut.
Garis masa siri TV ini adalah pada Ogos 1896, era Victoria di England. Selepas tiga tahun sebuah peristiwa aneh, iaitu The Touched ‘menjangkiti’ para wanita di zaman ini – mereka mula menerima kuasa luar biasa. Sebahagian ada yang menjadi gila dan sakit, ada yang menjadi penjenayah dan ada yang menjadi wirawati. Amalia dan Penance mempunyai sebuah rumah khas menjaga dan melatih semua waniota yang terkena The Touched di bawah pembiayaan Lavinia.
Siri TV ini memfokuskan kepada komuniti atau spesis The Touched ini. Ia menceritakan asal-usul, sedikit kisah sampingan dan banyak lagi.
Seperti biasa, sebagai watak yang baik – rumah jagaan Amalia dan Penance ini menjadi pasukan wirawati yang menjaga keamanan negara. Tetapi tidak semua bersetuju dengan kewujudan mereka, seperti Lord Gilbert Massen iaitu ahli kerajaan dengan jawatan tinggi yang ingin menghapuskan semua yang terkena The Touched. Sambil itu, mereka juga perlu menghentikan Maladie – seorang wanita Touched yang gila, kejam, menyeksa dan membunuh.
Sekali imbas, konsep siri TV seakan menggabungkan konsep X-Men dan juga siri TV The Flash. Ada bermain dengan masa, ada mutant, masalah politik, masalah berpecah kerana mempercayai pendapat ketua yang berlainan dan banyak lagi. Ia adalah sebuah siri TV yang agak unik dan mempunyai konsep yang menarik. Permulaan siri TV ini memberi harapan kepada satu francais wirawati yang mungkin boleh mengubah dunia perfileman yang menekankan nilai kewanitaan.
Produksi filem seperti rekaan kostum, prop, lokasi dan visual semuanya menarik dan berada di tahap yang hebat. Kemudian setiap pelakon dalam siri TV ini memberikan prestasi yang mantap membuatkan aku sukar untuk lupa siapakah watak itu. Kebanyakan watak dalam siri TV ini, yang mana ada banyak – majoriti akan memuaskan. Dengan pengenalan yang berbeza, kuasa luar biasa unik dan banyak lagi. Ya, exposition akan berlaku di mana setiap watak akan menyampaikan perjalanan cerita – tetapi ia boleh diterima.
Sayang sekali, The Nevers tidak berjaya memberikan satu impak untuk buatkan aku ingat kewujudan akan siri TV ini. Malah semasa aku selesai tonton sehingga empat episod (diberi akses awal), aku terus lupa akan siri TV ini untuk sambung tonton baki dua episod. Ia tiada adegan atau bahagian yang menarik untuk dijadikan sebagai topik perbualan. Antara masalah siri TV ini adalah susun atur yang tidak bagus dan serabut. Ia kacau bilau kejap A, kejap B dan kejap C.
Perkara ini berlaku kerana terlampau banyak watak diperkenalkan dan mereka cuba untuk beri fokus kepada setiap watak serentak – tetapi tidak berjaya. Disebabkan itu, ada watak yang gila menarik dan hebat terlepas peluang untuk masa skrin yang lama. Kemudian penyampaian aksi juga terlampau terkejar-kejar dan plot siri TV menjadi sukar untuk faham. Disebabkan ada banyak misi dan misteri, sukar untuk fokus di manakah perkara yang paling penting yang patut diberi keutamaan.
Bahagian pertama ini mempunyai enam episod daripada 12 episod. Mereka memecahkan kepada dua kerana gangguan produksi di zaman pandemik. Siri TV ini diarahkan oleh Joss Whedon, jadi mungkin disebabkan ia sama seperti Justice League atau Josstice League – serabut, kucar-kacir dan tidak ada arah tuju. Tetapi beliau sudah pun keluar dan tidak lagi terlibat dengan siri TV ini. Tidak pasti bahagian kedua kelak akan berbeza sepenuhnya ataupun tidak.
Episod akhir, iaitu yang keenam juga merupakan episod pertengahan di antara kedua-dua bahagian musim pertama The Nevers. Sayang sekali, cubaan plot twist mereka menjahanamkan terus keseluruhan siri. Jalanc erita seakan ditetapkan semula, pelbagai plot hole mula muncul dan terus mengubah persepsi aku terhadap siri TV ini.
Terdapat banyak pelakon dalam siri TV ini. Majoriti mempunyai prestasi yang menakjubkan dan membuatkan penonton jatuh cinta dengan rekaan watak. Fokus utama yang diberikan adalah kepada watak Amalia True yang dilakonkan oleh Laura Donnelly. Bersama dengan beliau adalah Penance Adair yang dilakonkan oleh Ann Skelly. Gandngan kedua-dua watak ini cukup menarik dan memuaskan. Masing-masing bijak dalam menyampaikan watak dengan penuh emosi dan realistik.
Watak penting lain adalah Lavinia Bidlow lakonan Olivia Williams, beliau dan anak lelaki Augustus “Augie” Bidlow lakonan Tom Riley. Mereka berdua adalah antara yang layak ada siri TV sampingan atau diberi fokus penuh dalam musim akan datang. Keluarga yang kaya dan boleh boleh dikatakan tahu hampir kesemuanya aktiviti setiap The Touched dan aktiviti di bandar termasuk politik.
James Norton sebagai Hugo Swann juga menarik. Beliau penuh dengan misteri dan idea, serta bijak dengan pelbagai strategi. Walaupun beliau menyokong The Touched, Hugo lebih pentingkan imej diri dan nama. Pip Torrens sebagai Lord Gilbert Massen antara watak yang mudah untuk diingati. Selain Maladie, beliau mempunyai peranan yang membuatkan penonton akan melekat pada skrin. Bercakap mengenai Maladie, beliau dilakonkan oleh Amy Manson. Prestasi yang baik, keganasan yang gila, – tetapi sedikit klise dari segi rekaan watak.
Watak lain seperti:
Inspector Frank Mundi, Annie “Bonfire” Carby, Horatio Cousens, Lucy Best, Harriet Kaur. Nimble Jack, atau juga Declan “Beggar King” Orrun masing-masing mempunyai perwatakan yang membuatkan penonton mempunyai harapan yang setiap watak ini akan diceritakan dengan baik. Tetapi tidak, kerana sekali lagi saya ulang – serabut.
The Nevers adalah siri TV yang sepatutnya dipecahkan kepada siri TV sampingan dan filem. Untuk musim pertama, ia terlampau serabut, cubaan penyampaian pantas yang gagal dan sukar untuk faham motif serta arah tujuan siri TV. Penulisan skrip agak lemah, malah seorang pelakon dalam siri TV ini turut menyatakan yang beliau sangka skrip seterusnya seakan berlakon dalam siri TV lain.
HBO tidak menggunakan konsep menarik ini dengan baik. Ia secara tidak langsung menjadi terlampau seakan siri TV Arrowverse The CW. Dengan pengenalan terlampau banyak watak, kemudian watak itu tidak digunakan dengan baik – ia seakan memberi satu harapan yang palsu. Harapan tinggi untuk melihat satu siri TV wirawti dengan konsep unik – hancur musnah begitu sahaja.
Harapnya sambungan episod tujuh atau episod pertama bahagian kedua sehinggalah akhir – akan membaiki masalah-masalah yang ada. Apa yang penting adalah struktur penyampaian itu perlu konsisten, jika ingin cuba hadir dengan sebuah siri TV yang ada potensi.