Seperti yang kami laporkan sebelum ini, sambungan kepada filem Venom, iaitu Venom: Let There Be Carnage akan ditayangkan di pawagam tempatan sekitar 16 September 2021 kelak.
Terkini, sebuah video acah baru mengenai filem tersebut telahpun diperlihatkan. Tom Hardy memainkan semula watak sebagai Eddie Brock dan juga Venom, manakala watak antagonisnya, Cletus Kasady akan dimainkan oleh Woody Harrelson.
Jika anda masih lagi mengingati filem Venom yang pertama, watak tersebut dilihat untuk beberapa saat terakhir filem tersebut, dan dengan video acah ini, kita dapat melihat sedikit sebanyak rekaan watak Carnage, yang kelihatan sama seperti Venom, tetapi berwarna merah dan lebih kejam.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini juga, Andy Serkis akan mengarah filem ini, mengambil-alih tampuk arahan daripada Ruben Fleischer yang mengarah filem sebelum ini.
Video acah ini memperlihatkan tarikh tayangan filem tersebut pada 24 September untuk pasaran Amerika Syarikat, tetapi seperti yang kami katakan sebelum ini, sekuel Venom: Let There Be Carnage buat masa ini tidak lagi menunjukkan sebarang penukaran tarikh di pawagam Malaysia yang akan ditayangkan di pawagam sahaja pada 16 September kelak.


