Army of the Dead adalah filem terbaru arahan Zack Snyder, di mana ia akan disiarkan di Netflix pada 21 Mei kelak. Filem ini merupakan filem “seram” kedua arahan beliau selepas Dawn of the Dead, yang mana juga adalah satu filem zombi. Filem ini berkisar sekumpulan perompak yang diupah untuk merompak duit di sebuah kasino terbiar di Las Vegas. Dalam filem ini. Las Vegas adalah di mana wabak zombi atau pandemik bermula dan seluruh bandar telah musnah dan dikuarantin.

Kumpulan ini diketuai oleh Dave Bautista yang memainkan watak Scott Ward. Dalam usaha merompak ini, pelbagai rahsia dirungkai dan perkara yang tidak disangkakan mula berlaku. Aku berpeluang hadir sesi telesidang bersama Zack Snyder, ini adalah antara fakta menarik yang patut anda tahu sebelum menontonnya kelak.


Asal-Usul Idea Filem

Idea filem ini bermula sejak 2004 lagi, iaitu selepas filem Dawn of the Dead. Zack mempunyai banyak idea menarik dan genre yang ingin beliau uji. Dengan idea di mana zombi-zombi sepatutnya dikurungkan atau dikuarantin dalam satu lokasi – beliau memilih Las Vegas untuk dilindungi dengan kargo agar zombi tidak dapat bebas daripada bandar tersebut.

Masih Filem Zombi Klise

Zack Snyder mengaku yang filem ini masih lagi filem zombi yang klise yang biasa anda tonton di mana-mana. Tetapi membezakan filem ini adalah, beliau mencurahkan bakat dan idea untuk menjadikan filem ini mempunyai pengalaman menonton yang berbeza. Ia seram, ia kelakar, ia penuh dengan emosi, aksi dan juga drama. Ia adalah satu filem zombi yang klise dengan olahan idea Zack sendiri.

Spesis Zombi Berbeza Yang Membina Satu Dunia Filem Baharu

Dalam filem ini, Zack menyertakan banyak spesis zombi. Zombi yang biasa anda lihat, seperti jika digigit mangsa akan dijangkiti dan berubah menjadi zombi. Ada juga zombi alfa, iaitu makhluk atau asal-usul sebelum semua manusia menjadi zombi yang berevolusi menjadi satu spesis luar biasa. Spesis alfa ini bijak, boleh berfikir, ada komuniti dan juga handal menyerang.

Selain itu, ada juga zombi robot yang dikhabarkan dihantar oleh kerajaan untuk memantau. Setiap zombi ini juga boleh mendengar arahan ketua. Zombi alfa tadi dikatakan adalah hasil eksperimen kerajaan yang gagal, yang mana semua spesis zombi ini dikatakan akan diceritakan dalam francais lain seperti siri TV, animasi dan juga filem prekuel.

Mayat, Lokasi, Kenderaan – Bukan Yang Anda Sangkakan

Siapa sahaja yang boleh agak? Mayat-mayat dalam filem ini adalah praktikal. Ia adalah prop sebenar yang pasukan visual Zack beli daripada laman Amazon. Sebanyak 2500 set tengkorak plastik dibeli dan didandan untuk kelihatan seakan zombi. Lokasi pula bukannya Las Vegas. Las Vegas yang dipertontonkan adalah 100% CGI, kerana lokasi penggambaran adalah di ABQ Studio yang terletak di New Mexico.

Lokasi kasino pula adalah di Atlantic City, di mana sebuah kasino di situ membenarkan penggambaran filem dilakukan. Mereka tidak boleh lakukan di Las Vegas kerana banda tersebut beroperasi 24 jam. Untuk itu, 500 mesin kasino, lampu, pelbagai prop dan peralatan lain menghidupkan semula kasino seakan kasino sebenar yang beroperasi. Untuk kenderaan, ada 7 kereta sebenar digunakan antaranya adalah Iroc Camaro 1985, Impala 1963 & 1965, 356B Porsche 1956, Rolls Royce Ghost 2013 dan beberapa lagi. Trak taco yang digunakan pula ada tiga versi sepanjang filem.

Duit Palsu Direka Kelihatan Begitu Realistik

Duit palsu dalam peti simpanan GÖTTERDÄMMERUNG dihasilkan oleh sebuah syarikat prop dengan kelihatan begitu realistik. Disebabkan ia kelihatan seakan duit kertas sebenar, pasukan sekuriti terpaksa memantau sepanjang adegan dirakam untuk elak ia dicuri.

Zombi Rimau Valentine

Dalam filem ini, seperti yang diperlihatkan dalam video acah – terdapat seekor zombi rimau. Pada awal, pasukan produksi ingin menggunakan harimau sebenar. Tetapi tiada maklum balas dan ada kes di mana haiwan tidak dijaga dengan baik ketika penggambaran – mereka memilih harimau di Big Cat Rescue yang terletak di Tampa, Florida.

Harimau yang sebenar dirakam dan diimbas untuk menghasilkan seekor rimau CGI yang realistik. Harimau ini adalah harimau zombi alfa, bermakna dijangkiti oleh zombi eksperimen kerajaan tadi. Ia direka dengan kelihatan kering seakan tidak makan, penuh dengan parut dan juga gerun.

Kamera Buatan Khas Digunakan Dan Zack Sendiri Adalah Juru Kamera

Percaya atau tidak, sepanjang filem ini Zack juga merupakan juru kamera. Beliau mengendalikan rakaman untuk kamera-B bersama-sama dengan John Clothier untuk kamera-A. Mereka berdua telah bekerjasama bersama sejak 2009 daripada filem Watchmen.

Kamera yang digunakan pula adalah buatan khas oleh Red Studios, di mana kamera ini terpaksa dihasilkan kerana Zack ingin menggunakan lensa Canon Dream dari era 1960-an. Seperti yang dikatakan tadi, idea filem ini adalah daripada 2004 dan sejak itu Zack menerokai laman Ebay mencari lensa-lensa ini. Untuk menggunakan lensa ini, kamera khas perlu dihasilkan.

Filem ini dirakam menggunakan dua jenis lensa Dream dengan bukaan yang dikunci pada .95 untuk sinematografi organik, kelihatan dunia apokalips, sedikit lembut dan juga majoriti penggambaran adalah dari sumber cahaya semula jadi. Sebuah kamera Red turut diletupkan dengan sengaja untuk dapatkan pemandangan letupan dari dalam kereta. Kad memori ditemui di rumput, yang mana ini adalah satu one-shot, one-try dan nasib kad tersebut selamat.


Jadi, apa kata anda mengenai filem ini? Tidak sabar untuk tonton? Memandangkan kita akan PKP bermula 12 Mei sehingga 7 Jun, anda boleh saksikan filem ini di rumah masing-masing melalui Netflix pada 21 Mei. Perlu diingatkan yang filem ini adalah 18 tahun dan ke atas, ada adegan yang tidak sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

Aku sudah tonton filem ini, apa yang aku boleh dedahkan adalah reaksi sahaja – iaitu WOW! Bayangkan filem zombi Mamat Khalid, ia mengarut, lucu, aksi gempak, klise gila tetapi dengan bajet tinggi.

Sohor Kini