Angelina Jolie adalah seorang pelakon yang berbakat. Sejak aku sekolah sehinggalah ke kolej, aku ikut perkembangan beliau dan filem-filem yang beliau berlakon. Tetapi masa berubah, minat aku pun sama. Antara filem yang aku tonton yang beliau adalah pelakon utama dulu; Lara Croft: Tomb Raider, Mr. & Mrs. Smith, Wanted dan Maleficent.
Selepas filem Disney, beliau kini kembali memainkan watak dalam sebuah filem drama aksi – Those Who Wish Me Dead Eternals. Terima kasih kepada Warner Bros. Malaysia, aku diberi peluang tonton filem ini sedikit lebih awal. Dalam artikel ulasan aku ini, akan aku sampaikan apa yang menarik mengenai filem ini dan adakah ia berbaloi untuk ditonton.
Plot filem ini adalah sangat ringkas. Filem ini juga adalah sebuah filem yang ringkas dan secara terus, jadi ia mudah untuk diikuti dan tidak memeningkan atau mengelirukan. Ia mengisahkan Connor lakonan Finn yang trauma kerana menyaksikan bapa beliau dibunuh depan-depan. Lari untuk selamatkan diri dan bertemu dengan Hannah lakonan Angelia Jolie, iaitu seorang Bomba yang juga trauma kerana gagal menyelamatkan tiga orang kanak-kanak baya Connor.
Dua penjahat utama adalah adik-beradik Blackwell, di mana mereka adalah pembunuh upahan yang dihantar kerajaan untuk membunuh bapa Connor. Bapa Connor lakonan Jake Weber adalah seorang penganalisa akauntan, menemui sesuatu yang tidak kena, jadi untuk tutup rahsia – beliau dibunuh.
Filem ini memfokuskan bagaimana Connor boleh selamatkan diri, Hannah pula bagaimana beliau boleh lupakan trauma.
Macam aku katakan tadi, filem ini ringkas. Tetapi disebabkan ia terlampau ringkas, filem ini dipanjangkan dan menjadi sedikit meleret. Walaupun begitu, ia masih seronok untuk ditonton jika anda bertenaga. Kalau mengantuk sedikit, filem ini akan buatkan anda rasa terlampau lama dan panjang. Filem ini bermula pada 1030 pagi, dan pada 1111 pagi, aku sangkakan sudah separuh jalan – tetapi sebenarnya belum klimaks lagi pun.
Apa yang aku suka dengan filem ini adalah, bagaimana kita boleh lihat Connor secara perlahan cuba untuk mempercayai Hannah. Selepas kematian bapa beliau dengan kata-kata akhir, hanya cari orang yang benar-benar beliau percaya sahaja – beliau mula menjadi seorang kanak-kanak yang lemah dan takut. Tapi, standardlahkan budak takut.
Hannah pula masih dalam dilema sama ada ingin teruskan untuk hidup ataupun tidak. Selepas bertemu dengan Connor, Connor memandang beliau seakan ikon Ibu. Secara tidak langsung membina semangat Hannah untuk terus hidup. Dengan skil yang beliau ada sebagai bomba, beliau gunakannya untuk selamatkan Connor.
Dua pembunuh tadi juga, walaupun ringkas sahaja watak mereka. Tetapi, penyampaian watak sangat menjadi dan memberikan satu faktor yang sedikit mengejutkan.
Tambahan pelakon lain seperti Ethan, Alison dan lain-lain pada hemat aku tiada pun tidak mengapa. Tetapi adegan mereka yang sedikit ini membantu menjayakan filem ini. Kita boleh lihat bagaimana seorang polis dan juga isteri beliau yang memiliki sekolah mendidik bagaimana untuk hidup dalam hutan, memanfaatkan kebolehan masing-masing.
Disebabkan filem ini adalah drama dan aksi, ia membawakan kepada faktor negatif. Apa yang aku tidak suka dengan filem ini adalah, penggunaan watak yang tidak mencukupi. Ya, sedikit pun dah baik. Tetapi daripada memasukkan adegan yang menjadikan filem ini meleret, apa salahnya gunakan setiap watak sebaik mungkin?
Kemudian pengakhiran filem ini seakan tamat begitu sahaja dan tiada penamat yang memuaskan. Ia tidak memberi impak sebagaimana pertengahan filem disampaikan. Filem ini tamat dalam keadaan yang hambar. Contohnya, bapa Connor mati sebab apa? Ya, dibunuh. Takkanlah mati sia-sia? Rahsia apa yang besar sangat? Rahsia itu tidak didedahkan. Penjahat pula habis begitu sahaja.
Selain daripada Angelina Jolie, turut menyertai beliau adalah pelbagai pelakon hebat. Kalau korang tonton filem ii, pasti akan cam – “Eh, dia ni yang berlakon dalam cerita tu…”
Prestasi lakonan setiap pelakon bagi aku sudah cukup memuaskan. Aku akan mulakan dengan Angelina Jolie. Beliau memainkan watak Hannah cukup baik. Biasanya filem aksi yang melibatkan diri beliau akan menggunakan pistol, atau kuasa magis. Tetapi filem ini hanya skil pertahan diri asas, skil seorang bomba dan satu kapak. Perkembangan watak beliau terlampau ringkas, yang mana pada aku mencukupi untuk filem seperti ini.
Finn Little adalah seorang pelakon kanak-kanak yang ada potensi untuk berjaya di masa hadapan. Lakonan beliau adalah sangat hebat dan menjadi. Emosi yang beliau sampaikan, perasaan takut, sifar seorang kanak-kanak yang cuba merahsiakan sesuatu semuanya ada.
Jon Bernthal pula dalam filem ini kelihatan seakan Leon S. Kennedy dalam Resident Evil. Rekaan watak beliaulah. Juga ringkas, dan aku suka cara beliau sampaikan watak dalam filem ini. Aku suka beliau dalam siri TV The Punisher di Netflix. Aku rasakan beliau memang sesuai untuk mainkan watak yang seakan polis, adiwira, atau mana-mana bertemakan aksi.
Median Senghore, aku tak pernah lagi tonton mana-mana cerita yang beliau ada. Kalau ada pun aku tak ingat dan watak itu tidak menyerlah. Tetapi, beliau yang memainkan watak ibu mengandung dalam filem ini gila ganas. Jangan main-main dengan perasaan wanita orang kata. Inikan pula ibu yang mengandung enam bulan. Tetapi aksi beliau buatkan aku rasa sedikit melampau, seperti menunggang kuda, boleh panjat menara atau tembak menembak yang aku rasa akan ada tekanan tinggi yang boleh membahayakan diri.
Akhir sekali aku nak ceritakan watak Nicholas Hoult dan Aidan Gillen. Gandingan bah mereka berdua memang WOW. Ada chemistry orang kata. Skrip ringkas, tapi aksi menjadi. Less Talk More Action. Watak mereka berdua cukup gerun dan penuh dengan aksi. Memang menjadilah watak mereka berdua ini.
Memandangkan filem ini adalah filem drama aksi yang ringkas, aku suka akan filem ini. Sudah lama aku tidak tonton filem yang mempunyai jalan cerita seperti ini. Sinematografi juga baik-baik sahaja. Visual yang baik, konsep yang menarik dan secara keseluruhan buatkan aku rasa lega dapat tonton filem seperti ini selepas sekian lama tonton filem seram, ngeri, hero, romantik.
Filem ini sesuai kepada siapa yang ingin tonton aksi Angelina Jolie, Nicholas Hoult dan penampilan khas Jon Bernthal. Walaupun sedikit meleret, ia masih memberikan satu kepuasan yang menarik.
Kekurangan filem ini adalah pada susunan penyampaian yang tidak konsisten. Seperti 10 minit pertama yang mendebarkan, terus memberikan perasaan yang perlahan, kemudian kembali menarik, jatuh balik, kembali mendebarkan dan ditamatkan dengan cara yang agak hambar.
Filem ini sudah pun boleh ditonton di pawagam. Tetapi dengan PKP, PKPB, dan sebagainya, aku tak sarankan korang tonton di pawagam. Sebaliknya tonton nanti. Atau harapkan filem ini akan tiba di HBO Go, kerana di Amerika Syarikat filem ini akan disiarkan di HBO Max.