Dikemaskini: Senarai platform yang anda boleh akses Disney+ Hotstar di Malaysia kami sertakan di bawah, buat masa ini kami tidak dapat mengesahkan jika ia menyokong TV pintar seperti LG WebOS dan Samsung.


Disney+ adalah platform penstriman video tersendiri Disney bagi bersaing dengan Netflix, Apple TV+, Prime Video dan banyak lagi. Keunikan platform ini adalah, hampir kesemua kandungan milik Disney termasuk semua harta intelek yang dipegang Disney seperti Fox disertakan dalam platform ini. Ia juga adalah di mana peminat MCU boleh tonton hampir kesemua filem, termasuk dengan siri TV asli baharu yang berlaku dalam dunia MCU.

Ia dilancarkan pada tahun 2019 dan selepas sekian lama menanti, akhirnya platform ini dilancarkan di Malaysia. Tiada lagi VPN, tiada lagi kaedah melecehkan dan hanya semudah muat turun aplikasi/layar web dan langgan sahaja. Tetapi, di Malaysia Disney+ hadir melalui platform Hotstar. Hari ini Disney mengumumkan Disney+ Hotstar dengan harga langganan RM54.90 untuk tiga bulan. Bermakna, hanya RM18.30 sebulan untuk akses kepada kandungan HD, sokongan audio Dolby, tanpa iklan, muat turun luar talian, akses kepada berbilang peranti dan banyak lagi.

Berbanding dengan Netflix yang ditawarkan pada harga serendah RM17 untuk satu peranti dan resolusi SD, tambahan sekitar RM1.30 untuk akses kandungan lebih berkualiti dan premium adalah sangat berbaloi. Ia boleh dilanggan bermula 1 Jun kelak. Secara alternatif, pengguna Astro turut boleh akses platform ini.

Apa itu Hotstar? Hotstar adalah platform penstriman dimiliki oleh Star India untuk pengguna di India dan pasaran tertentu memfokuskan kandungan khusus untuk pengguna India. Ini termasuklah kandungan sukan, filem Bollywood dan pelbagai lagi. Star India dimiliki oleh Fox dan Fox telah dibeli oleh Disney. Menggunakan platform sedia ada, Disney terus mengintegrasikan kandungan Disney+ di dalam platform ini.

Sayang sekali, kandungan 4K masih lagi terhad dan eksklusif untuk platform Disney+ biasa. Untuk Disney+ Hotstar, hanya kandungan terpilih sahaja mempunyai sokongan 4K. Jika tidak, ia terhad kepada 1080p atau boleh jatuh kepada 720p.

Antara kandungan yang anda boleh akses adalah siri TV Star Wars seperti The Mandalorian, siri animasi Bad Batch, siri TV MCU WandaVision, The Falcon and the Winter Soldier, filem-filem MCU, siri TV The Mighty Ducks versi baru, High School Musical: The Musical: The Series dan banyak lagi.

Beberapa kandungan asli tempatan turut akan disertakan seperti sekuel kepada J Revolusi, J2: J Retribusi atau juga Zombitopia.

Disney+ Hotstar boleh diakses melalui;

  • Akses melalui pelayar web
  • Semua platform Android – telefon pintar, tablet, kotak set Android TV, televisyen Android TV, dll
  • Semua platform Apple seperti iOS, iPadOS, macOS, Apple TV
  • Sokongan cast melalui Chromecast

Sohor Kini