Netflix turut terkenal sebagai platform penstriman video yang banyak menawarkan kandungan asli. Tidak kiralah daripada filem, animasi, siri TV, dokumentari dan lain-lain lagi. Setiap segmen ada pelbagai kandungan menarik, dan bagi peminat filem animasi bertemakan magis, kuasa luar biasa, sains fiksyen – francais Tales of Arcadia pasti akan memikat hati anda.

Terkini, francais ini telah menerima filem penuh – Trollhunters: Rise of the Titans. Filem ini menggabungkan watak-watak daripada semua tiga siri yang ada dalam francais Tales of Arcadia, seperti Trollhunters, 3Below dan Wizards.

Filem ini merupakan penutup kepada francais sains fantasi ini. Kesemua watak dari setiap siri akan bergabung dalam filem ini, bagi mempertahankan dunia masing-masing daripada ditakluki oleh musuh. Bersama-sama mereka akan bertempur dengan Arcane Order untuk melindungi setiap magis masing-masing.

Bagi yang tidak tahu, Guillermo Del Toro adalah pencipta francais ini. Animasi pula dihasilkan oleh studio DreamWorks Animation dan Double Dare You Productions. Filem ini diarahkan oleh Johane Matte, Francisco Ruiz Velasco, dan Andrew L. Schmidt. Kesemua pengarah ini adalah pengarah yang sama untuk kesemua francais siri animasi ini. Selain daripada Guillermo Del Toro, Marc Guggenheim, Dan Hageman, dan Kevin Hageman menulis skrip untuk filem ini.

Trollhunters sudah mempunyai tiga musim dengan jumlah 52 episod, 3Below pula hanya dua musim dengan 13 episod setiap satu dan akhir sekali Wizards adalah yang terbaru dengan satu musim yang mempunyai 10 episod.

Filem ini akan disiarkan di Netflix pada 21 Julai. Sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini