The Conjuring Universe adalah dunia filem-filem seram yang bermula dengan filem The Conjuring. Sehingga hari ini sudah ada lapan filem dalam dunia ini, yang mana fokus utama adalah francais The Conjuring itu sendiri yang berasaskan kisah benar – Ed dan Lorraine Warren. Filem kelapan atau filem ketiga Conjuring adalah The Conjuring: The Devil Made Me Do It akan ditayangkan tidak lama lagi.
Filem Conjuring 3 adalah berdasarkan kes Arne Cheyenne Johnson, yang mana merupakan kes pertama yang dikenalpasti berlaku di Amerika Syarikat yang mendakwa suspek pembunuhan tidak bersalah kerana telah dirasuk oleh setan. Mengembangkan lagi The Conjuring Universe, Warner Bros. kini menyertakan francais ini di dalam siri komik DC Horror – The Conjuring: The Lover.

Akan terdapat lima komik yang berlaku sebelum filem ketiga, di mana dari siri episod satu sehingga episod lima secara perlahan akan membawa pembaca ke filem akan datang. Komik ini akan fokus kepada bilik artifak-artifak berpuaka, seram, ngeri yang disimpan oleh pasangan Warren. Watak utama adalah Jessica yang merupakan seorang pelajar yang tidak tenang, murung dan mempunyai masalah kerana keputusan semester yang teruk, menyesal dengan kekasih dan sedang diperhatikan.
Penulis skrip filem The Conjuring 2 dan 3 David Leslie Johnson-McGoldrick bekerjasama dengan penulis terkenal Rex Ogle menulis komik ini. Pencipta komik Dark Nights: Death Metal dan penulis komik Bitch Planet: Triple Feature Scott Snyder dan Che Grayson turut akan serta. Seni pada komik ini akan dihasilkan oleh Garry Brown, Bill Sienkiewicz, Ryan Brown, Denys Cowan dan Juan Ferreyra.


