How I Met Your Mother (HIMYM) adalah sitkom komedi popular yang disiarkan dari 2005 sehingga 2014 dengan sembilan musim. Memfokuskan kepada watak Ted Mosby lakonan Josh Radnor yang menceritakan kisah silam beliau pada tahun 2030 kepada Luke dan Penny, dua orang anak beliau. Ia lebih kepada bagaiamana Ted bertemu dengan Tracy (Cristin Milioti) dan juga kisah persahabatan antara pasangan Marshall dan Lily (Jason Segel dan Alyson Hannigan), Robin (Cobie Smulders) dan Barney (Neil Patrick Harris).

Siri TV ini adalah pesaing/pengganti kepada sitkom F.R.I.E.N.D.S yang mana juga kisah persahabatan dan seorang watak menjadi fokus mencari cinta. Kedua-dua sitkom ada peminat masing-masing dan ada juga yang meminati kedua-duanya sekali. Selepas HIMYM tamat, pencipta sitkom ini Carter Bays and Craig Thomas hadir dengan episod pilot How I Met Your Father (HIMYF), tetapi ditolak.

Kini selepas 7 tahun, Hulu mengambil alih projek How I Met Your Father dan mengesahkan ia akan menjadi sitkom sampingan secara terus kepada HIMYM. Isaac Aptaker dan Elizabeth Berger adalah pencipta sitkom sampingan ini dan ia akan memfokuskan kepada watak Sophie lakonan Hilary Duff.

Bagi yang tidak tahu sekitar 2016, Isaac dan Elizabeth cuba mengetuai projek ini tetapi disebabkan perlu mengendalikan siri TV This Is Us, HIMYF dibatalkan. Kemudian sekitar 2017-2018, 20th Television cuba membangkitkan semula projek ini – tetapi turut tidak diteruskan.

Seperti HIMYM, HIMYF akan fokus kepada Sophie di masa hadapan menceritakan kisah bagaimana beliau bertemu dengan bapa kepada anak-anak beliau. Konsep penceritaan asal akan dikekalkan sebagai tanda hormat, termasuk dengan sinematografi. Tetapi penyampaian adalah lebih segar dengan mungkin sesuai dengan zaman sekarang. Contohnya, Sophie akan menggunakan aplikasi mencari jodoh untuk cuba mencari kekasih dan rakan-rakan beliau juga dengan beliau turut cuba mencari jalan kehidupan seperti pekerjaan dan masa hadapan masing-masing.

Pencipta HIMYM Carter dan Craig akan menjadi penerbit eksekutif, manakala Adam Londy akan menjadi penerbit eksekutif bersama dan sitkom ini akan dihasilkan oleh 20th Television. Siaran adalah eksklusif untuk Hulu. Hillary Duff menyatakan yang beliau adalah peminat HIMYM dan berbesar hati dapat berlakon sitkom sampingan dan menjadi watak utama.

Butiran lain seperti pelakon-pelakon, apakah kaitan Team Sophie dengan Team Mosby, serta tarikh siaran masih belum didedahkan lagi. Sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini