Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings adalah filem baharu Marvel untuk MCU fasa keempat. Filem ini diumumkan pada dua tahun lepas, yang mana akan dibintangi oleh Simu Liu, Awkwafina dan Tony Leung di bawah arahan Destin Daniel Cretton. Selepas sekian lama menantikan informasi mengenai filem ini, Marvel akhirnya memperlihatkan poster watak dan juga video acah bagi filem ini.

Video acah filem ini memperlihatkan Simu Liu sebagai Shang-Chi yang handal dalam seni mempertahankan diri seakan Iron Fist. Kisah silam beliau diperlihatkan yang mana beliau sudah dilatih sejak kecil lagi dan kini sebagai dewasa, beliau terpaksa menghadapi kisah silam beliau semula – iaitu kumpulan The Ten Rings. Video ini memperlihatkan aksi beliau yang hebat, tangkas dan gila gempak. Menemani beliau adalah Awkwafina sebagai Katy iaitu rakan karib beliau.

Sinopsis penuh filem ini masih tidak didedahkan, tetapi jika ia melibatkan kumpulan legenda The Ten Rings – ia akan membabitkan aksi yang pasti tidak sesiapa jangka. Filem ini memfokuskan kepada tema Asia dengan ramai pelakon dari Asia, yang mana sesuatu yang baru untuk Disney (selepas filem aksi nyata Mulan) dan Marvel Studios.

Jika anda ingat akan kumpulan Ten Rings ini, mereka kali pertama muncul dalam filem pertama Iron Man dan dalam filem Iron Man 3 – watak lakonan Ben Kingsley menyamar sebagai The Mandarin iaitu ketua kumpulan ini. Ada kemungkinan informasi mengenai Iron Man atau Start Industries diselitkan juga dalam filem ini. Berbeza dengan komik yang mana Fu Manchu adalah The Mandarin, tetapi dalam filem beliau adalah bapa Shang-Chi iaitu Wenwu lakonan Tony Leung. Marvel tidak menggunakan jalan cerita asal kerana watak asal adalah rasis.

Pelakon lain dalam filem ini adalah Fala Chen sebagai Jiang Li, Meng’er Zhang sebagai Xialing adik kepada Shang-Chi, Florian Munteanu sebagai Razor Fist, Ronny Chieng sebagai Jon Jon, Michelle Yeoh sebagai Jiang Nan (tiada kaitan dengan watak Aleta Ogord dalam Guardians of the Galaxy Vol. 2) dan Dallas Liu sebagai watak misteri.

12 Februari 2021 adalah tarikh asal, tetapi disebabkan pandemik dengan proses penggambaran yang terhad dan sebagainya – filem ini ditunda. Tarikh tayangan baru filem ini adalah pada 3 September 2021. Setakat ini filem ini dikatakan hanya eksklusif di pawagam dan tiada informasi jika filem ini akan tiba secara digital di Disney+. Apa-apa pun, jika anda inginkan aksi seakan Iron Fist dan Mortal Kombat (tiada yang ngeri/ganas) – ini adalah filem untuk anda dan sama-sama kita nantikan.

Leave a Reply