Siapa sahaja yang tidak tahu mengenai francais filem The Lord of the Rings? Ia boleh dikatakan pesaing kepada francais Harry Potter, yang mana setiap francais ada kelompok peminat masing-masing dan ada juga yang minat kedua-duanya sekali. Filem-filem The Lord of the Rings diadaptasi dari novel karya J.R.R Tolkien dan mempunyai tiga filem. Francais ini turut mempunyai prekuel trilogi lain, The Hobbit. Kali terakhir francais popular J.R.R Tolkien ini tiba ke panggung adalah 2014.

Bertahun lamanya peminat menanti kesinambungan francais ini kembali, akhirnya ada khabar baik muncul. Amazon Studios akan menghasilkan siri TV prekuel The Lord of the Rings untuk siaran di Prime Video. Lebih menarik, siri TV ini dilaporkan menelan kos hampir RM2 bilion untuk satu musim ($465 juta). Ini adalah kos yang gila tinggi dan adalah produksi yang gila mahal. Malah, ia dikatakan akan menjadi siri TV “terbesar” atau termahal setakat ini.

Jika dibandingkan dengan francais Game of Thrones, siri TV ini hanya menelan kos $100 juta satu musim. Bermula dengan $6 juta satu episod pada musim pertama sehinggalah meningkat menjadi $15 juta satu episod pada musim lapan. Kenapa kos siri TV ini menjadi berita hangat? Ini kerana siri TV ini akan melakukan penggambaran di New Zealand dan Amazon dianggarkan akan menerima rebet cukai mencapai $114 juta yang mungkin mempunyai risiko fiskal – kerana kerajaan New Zealand tidak yakin dengan projek ini. Tetapi menurut laporan, dengan peminat The Lord of the Rings yang ramai – jika projek ini berjaya New Zealand boleh menjadi negara tarikan pelancong.

Amazon membeli hak The Lord of the Rings pada 2017 dan dianggarkan akan membelanjakan sekitar $1 bilion untuk francais siri TV ini.

Siri TV prekuel ini dikatakan berlaku pada zaman  Second Age of Middle-earth, iaitu beribu tahun sebelum The Lord of the Ring dan The Hobbit berlaku. Siri TV ini akan menyertakan pelbagai watak baru dan juga watak lama yang mungkin dikenali ramai. Ia akan menceritakan kisah silam bagaimana kerajaan dunia ini bangkit, tewas, bagaimana makhluk berkuasa mula muncul, pahlawan yang diuji, pengembaraan ke dunia yang lebih gelap dan/atau bertempur dengan musuh Middle-earth. Lokasi seperto Misty Mountains sehinggalah ke Lindon akan diterokai termasuklah pulau Númenor akan disampaikan dengan gaya yang tidak pernah disaksikan peminat.

Robert Aramayo (Game of Thrones), Owain Arthur (Kingdom), Nazanin Boniadi (Counterpart), Ismael Cruz Cordova (The Catch), Joseph Mawle (Game of Thrones) dan ramai lagi akan berlakon dalam francais siri TV prekuel ini. Butiran lanjut mengenainya masih belum didedahkan lagi. Sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini