Aku adalah seorang yang gemar tengok filem di wayang. Antara filem kegemaran aku adalah filem-filem seram atau yang banyak elemen terkejut seperti jenis yang ngeri, suspen dan yang seumpama dengannya. Aku suka tonton filem begini di panggung kerana memberikan pengalaman menonton yang baik berbanding tonton di platform penstriman yang boleh langkau kalau terkejut. Di wayang, mana boleh langkau atau jeda – perlu tonto sehingga selesai. Semenjak pandemik ini, sudah lama aku tidak ke panggung untuk tonton filem-filem seram.

Baru-baru ini aku berpeluang menonton filem The Vigil, iaitu filem seram yang sedikit berbeza dengan yang biasa ditayangkan di Malaysia. The Vigil adalah filem seram Yahudi dengan menggunakan elemen-elemen kepercayaan agama ini serta konsep untuk sedar diri dari kesilapan lalu dan juga ada menggunakan bahasa Yiddish. Biasanya di pawagam, filem-filem seram dari Amerika Syarikat adalah berasaskan kitab Injil atau berasaskan kepercayaan agama Kristian. Contoh adalah filem Conjouring, Insidious, Annabelle dan banyak lagi. Jadi melalui The Vigil, ia sedikit berbeza dan disebabkan aku juga pertama kali tonton filem seram dalam kategori ini – aku puas hati.

Filem ini sebenarnya adalah filem Indie yang ditayangkan pada tahun 2019 di Toronto International Film Festival. Filem ini diarahkan dan ditulis oleh Keith Thomas yang mana adalah filem pertama beliua untuk tiba ke pawagam. Untuk tayangan lebih meluas, Blumhouse Productions membeli hak filem ini pada 2020 dan hanya pada tahun 2021 TGV Pictures mengedarkan filem ini untuk tayangan di Malaysia.

Plot

Percaya atau tidak yang jalan cerita filem ini adalah ringkas sahaja. Seorang individu yang diberi nama Yakov Ronen telah diupah untuk menjadi shomer iaitu penjaga objek atau sesuatu dalam komuniti Yahudi. Shomer haruslah berasal daripada keluarga atau jika tiada wakil yang dipercayai atau jika tiada juga ia akan diupah oleh wakil komuniti. Dalam filem ini Yakov diupah untuk menjaga mayat.

The Vigil pula bermaksud berjaga di waktu tidur untuk memerhati sesuatu atau berdoa. Mayat yang perlu dijaga ini adalah Mr. Litvak iaitu suami kepada Mrs. Litvak. Sedang beliau menjaga mayat ini, beliau telah diganggu dengan satu entiti yang dikenali sebagai Mazzik (atau Mazzikim). Mazzik adalah roh jahat yang ditemui dalam Talmud.

Best Tak? Seram Tak?

Seperti yang aku katakan tadi, filem ini adalah filem yang ringkas sahaja. Ia begitu ringkas, senarai pelakon sedikit dan semua ini berlaku di satu lokasi sahaja iaitu rumah pasangan Litvak. Pada awalnya aku mempunyai jangkaan yang filem ini mungkin hambar dan bosan. Tidak banyak filem yang menarik jika hanya ada satu lokasi dan fokus kepada satu watak. Tetapi aku perlu ubah jangkaan aku, kerana ini adalah filem indie.

Apa yang cuba disampaikan dalam filem ini tercapai dan aku mudah faham. Penggunaan lokasi yang terhad membuatkan aku rasa pengarah bijak menyusun strategi penceritaan. Biasanya dalam filem seram, jika seseorang dengan bunyi aneh atau ngeri berlaku di tingkat atas – watak yang berada di tingkat bawah dengan gopoh dan acah-acah hebat dan berani naik ke atas. Tetapi itu tidak berlaku dalam filem ini. Banyak masa diluangkan di ruang tamu dan hanya secara perlahan barulah watak utama mengembara ke dapur, tingkat bawah, ada cuba keluar ke rumah dan akhir sekali barulah pergi ke tingkat atas.

Filem seram begini sudah semestinya akan ada elemen klise. Walaupun klise, dengan penceritaan yang kreatif dan penyusunan plot – ia membuatkan filem rasa seronok untuk ditonton. Dengan durasi hanya 89 minit, penggunaan bahasa Inggeris dan Yiddish – filem ini sesuai untuk ditonton oleh semua orang.

Yakov ada trauma yang membabitkan adik beliau. Disebabkan trauma inilah beliau hilang keyakinan diri dan nasib tidak menyebelahi diri beliau. Disebabkan itu juga beliau keluar dari komuniti agama beliau untuk cuba tenangkan diri dan teruskan kehidupan. Gangguan dari Mazzik tadi pula pada asalnya tidak boleh tinggalkan rumah Litvak, tetapi dengan kehadiran YakovMazzik mengganggu beliau kerana itu adalah tugas roh jahat ini. Tugasannya adalah menghantar balasan ke manusia yang diarahkan oleh Tuhan (kepercayaan mereka).

Filem ini lebih kepada memberi kesedaran diri dan menjadi lebih tabah untuk menempuhi dunia realiti. Dengan kata lain, seseorang itu tidak boleh terus lari dari masalah dan mendiamkan diri untuk murung. Seseorang itu perlu terima kenyataan dan memberanikan diri.

Filem ini tidak seram mana pun. Ada beberapa elemen yang mengejutkan, itu pun agak klise. Tetapi dengan penyampaian yang bagus, muzik yang baik, penggunaan kamera yang bolehlah, sedikit perasaan berbebar itu akan muncul. Aku rasa kurang sedap hati dan jantung aku berdebar dalam tempoh yang agak lama selepas tonton filem ini.

Pelakon

Disebabkan ia adalah filem yang ringkas dan penceritaan yang ringkas, pelakonnya juga sedikit sahaja. Yang benar-benar main peranan adalah Dave Davis yang memainkan watak Yakov Ronen dan juga pasangan Litvak lakonan Lynn Cohen dan Ronald Cohen. Reb Shulem yang dilakonkan oleh Menashe Lustig adalah individu yang mengupah Yakov, kemudian senarai di bawah adalah doktor dan rakan-rakan kepada Yakov.

  • Malky Goldman sebagai Sarah
  • Fred Melamed sebagai Dr. Kohlberg
  • Nati Rabinowitz sebagai Lane
  • Moshe Lobel sebagai Lazer
  • Lea Kalisch sebagai Adina
  • Efraim Miller sebagai Hersch

Tidak banyak perkembangan watak ada dalam filem ini. Pembangunan watak hanya ada pada Yakov sahaja daripada seorang yang lemah, takut terus menjadi berani. Pelakon lai lebih kepada pelakon pembantu hanya untuk cukupkan syarat sahaja. Syukur Dave Davis cukup berbakat dan penuh dengan emosi. Apa yang beliau rasa, aku juga boleh rasa. Emosi yang beliau sampaikan cukup realistik dan meyakinkan.

Kesimpulan

Apa yang aku harapkan adalah, konsep filem seperti ini terus dikembangkan lagi. Blumhouse yang membeli hak filem ini harapnya akan sedar yang tidak semua filem seram perlu fokus dengan konsep yang sama dan berulang-ulang banyak kali. Kalau ulang banyak kali tetapi ada penceritaan menarik dan penyampaian yang kreatif tidak mengapa. Ini pusing-pusing sama sahaja.

Aku yakin yang ada banyak lagi konsep misteri, roh jahat, atau filem seram dalam satu lokasi boleh diterokai untuk menawarkan filem yang lebih menarik kepada penonton. Pada sesetengah orang di Amerika Syarikat, filem sebegini atau filem-filem hantu Blumhouse adalah seram gila. Tetapi pada kita orang Malaysia atau yang di Asia akan rasakan ia tidak seram tetapi sekadar bermain dengan muzik untuk elemen mengejutkan sahaja. Ini kerana, kita sudah biasa dengan konsep hantu di Asia yang lebih seram.

Tetapi, tidak semestinya filem hantu perlu seram gila sampaikan ia hanya seram tetapi tidak ada plot yang baik. Lihat sahajalah betapa banyaknya filem tempatan yang menerima maklum balas negatif. Para pencipta filem, penulis skrip, pihak produksi boleh rujuk konsep filem sebegini dan harapnya jika tiada yang terkenal ingin hadir dengan filem sebegini – para pencipta filem indie boleh bersatu untuk memberikan kejutan dalam industri perfileman.

The Vigil
Tayangan Bermula: 15 April
Sebuah filem seram ringkas dengan konsep berbeza, seperti menggunakan kepercayaan komuniti Yahudi. Penulisan skrip dan arahan Keith Thomas cukup bagus dan kreatif dipadankan pula dengan lakonan Dave Davis yang meyakinkan.
Positif
Konsep filem seram yang berlainan
Lakonan yang mantap oleh Dave Davis
Negatif
Tidak cukup seram
7

Sohor Kini