Sejak kecil aku diberikan diet lengkap filem Superstar Rajnikanth di RTM menerusi slot Panggung Sabtu. Dalam filem-filem bintang legenda ini, beliau sentiasa bergocoh dengan watak antagonis yang sangatlah jahat sehingga ramai mengatakan ia seakan karikatur. Badan berminyak, mata merah saga, gemuk, tak hensem dan menggunakan gerombolan ahli kongsi gelap untuk membelasah Rajnikanth. Walaupun pada awalnya kalah, seperti Hulk Hogan watak Rajni akan akhirnya dapat membalas dengan dan keadilan akhirnya dicapai. Rajni kahwin heroin, orang jahat masuk penjara (atau mati) dan tak ada orang perlu menunggu jawapan di padang mahsyar.

Ini ialah plot klise 90% filem Rajni sejak berdekad lamanya. Kerana ia klise ramai mungkin merasakan ia sekadar fiksyen yang menghiburkan untuk tontonan Panggung Sabtu sambil makan pisang goreng panas bersama keluarga. Tetapi dokumentari Bad Boy Billioaires India membuktikan sebenarnya life imitates art dan cuma bezanya watak antagonis badan berminyak, mata merah saga, gemuk, tak hensem dan menggunakan gerombolan ahli kongsi gelap digantikan dengan hartawan India yang mempunyai duit menggunung.

Siri dokumentari Netflix ini diterbitkan tahun lalu selepas beberapa kali ditangguh selepas mendapat perintah mahkamah daripada insan-insan yang dipaparkan. Dari empat episod yang dihasilkan, hanya tiga boleh ditonton bagi mengelakkan Netflix disaman. Episod yang boleh ditonton memaparkan Vijay Mallya (Kingfisher Airlines), Subrata Roy (Sahara India) dan Nirav Modi (Gitanjali Group) manakala episod yang diharamkan memaparkan Ramalinga Raju (Satyam Computers).

Dari segi format ia banyak berkongsi dengan siri Dirty Money yang juga diterbitkan oleh Netflix. Perbezaan hanyalah kanta pembesar digunakan untuk mendedahkan korupsi golongan-golongan elit di India. Kerana format yang sama ini siri terasa seperti sedikit formulaic. Mulakan dengan pengenalan watak utama episod diikuti oleh latar belakang sebelum pergi ke kejahatan yang dilakukan kemudian diakhiri dengan kejatuhan. Sungguhpun begitu siri masih mampu menghasilkan kejutan kerana skala penipuan dan nilai penipuan yang berjaya dilakukan oleh hartawan-hartawan ini boleh membuatkan Jho Low turun berguru bagi mendapatkan ilmu baharu.

Contoh terbaik ialah episod 3 yang membabitkan skandal Sahara India. Sahara ialah jenama yang kerap kali kami lihat di kereta Formula 1 dan rancangan kriket antarabangsa. Skrim Ponzi yang diuruskan oleh Subrata Roy berjaya membohongi jutaan mangsa di India yang rata-ratanya dari golongan berpendapatan rendah. Oleh sebab itu kami terkejut bagaimana kes seperti ini hanya kami ketahui selepas menonton dokumentari kerana 1000 kali ganda lebih keji dari skandal Barings Bank tahun 1995 dan Bernie Madoff.

Tiada spoiler akan kami tulis mengenai apakah yang terjadi pada ketiga-tiga kes penipuan besar ini. Apa yang boleh kami katakan ialah kalau anda inginkan happy ending, tonton filem Rajni kerana di dunia sebenar ia tidak wujud. Dari episod ke episod kejahatan yang dilakukan oleh setiap Individu meningkat. Ini membuatkan kami terfikir apakah pula yang dilakukan oleh Ramalinga Raju sehingga injunksi mahkamah diambil?

Ketiga-tiga episod adalah cukup menarik dan di akhir siri akan membuatkan ramai di kalangan anda melakukan carian Google bagaimana cara terbaik membina gilotin. Dengan skandal korupsi yang besar ini, kami kecewa mengapa tiada ada satupun difilemkan oleh industri filem India yang meghasilkan ratusan filem setiap tahun?

Skandal Barings Bank menghasilkan filem Rogue Trader (1999) lakonan Ewan McGreggor dan krisis kewangan 2008 menghasilkan filem The Big Short (2015). Jawapannya mungkin berkaitan dengan penafian di setiap filem dari India seperti yang anda boleh lihat di bawah.

Ini juga mungkin sebab mengapa setiap filem India mesti ada happy ending kerana filem ialah escapism dari dunia sebenar yang penuh dusta, penipuan, korupsi dan si jahat kekal bebas kerana Inspektor Sahab awal-awal lagi sudah ditembak mati. Bila tak percaya dengan merangkak di padang mahsyar, merangkak di layar perak adalah memadai.

Bad Boy Billioaires India boleh distrim menerus Netflix sekarang

Sohor Kini