Filem Zack Snyder’s Justice League adalah filem Justice League yang jauh lebih baik berbanding versi Joss Whedon. Filem ini mempunyai penceritaan dan perkembangan watak yang lebih baik, lagi-lagi pada Cyborg. Tetapi, watak The Flash lakonan Ezra Miller turut mempunyai sedikit perkembangan yang mana menurut beberapa laporan akan diteruskan kepada filem solo beliau kelak.

Dalam filem ini, buat pertama kalinya kita melihat Barry Allen berbual dengan bapa beliau Hemry Allen yang berada di penjara atas tuduhan membunuh isteri beliau – ibu Barry. Ia adalah kisah silam yang sama kita lihat pada komik dan juga siri TV The Flash. Henry Allen dalam filem ini dilakonkan oleh Billy Crudup, tetapi untuk filem solo nanti beliau telah digantikan dengan Ron Livingston.

Ini adalah perkara yang tidak dapat dielakkan kerana Billy Crudup terlibat dengan siri TV Apple TV+ The Morning Show dan tidak boleh menyertai penggambaran filem The Flash yang tunda. Dalam siri TV John Wesley Shipp memainkan watak Henry Allen, yang mana beliau juga adalah pelakon asal siri TV The Flash 90-an.

Filem The Flash ini dilaporkan akan bermain dengan masa, rentas-masa, rentas-dunia dan banyak lagi. Filem ini juga akan memasukkan Michael Keaton sebagai Bruce Wayne/Batman baru. Ian Loh dipilih sebagai pelakon Barry Allen versi muda, kemudian Saoirse-Monica Jackson dan Rudy Mancuso dipilih sebagai pelakon untuk watak misteri.

Filem The Flash akan menjadi filem solo terbaru DCEU selepas Man of Steel dan dua filem Wonder Woman. Sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini