Kilang dunia ialah China dan sejak pandemik bermula, banyak syarikat mula menyedari strategi menjadikan negara tersebut satu-satunya pusat pengeluaran bukanlah langkah yang bijak. Isu pertama ialah perang perdagangan dengan Amerika Syarikat mengakibatkan tarif akan meningkat sekaligus meningkat kos barangan. Keduanya pula jika pandemik berlaku sekali lagi, mereka tidak mempunyai alternatif selain menanti sehingga kilang dibuka semula.
Ketika artikel ini ditulis Apple mula memindahkan pengeluaran peranti mereka ke Vietnam dan India. Syarikat elektronik Jepun mula memindahkan pengilangan ke Indonesia yang dilihat sebagai paling kompetitif di rantau Asia Tenggara. Tetapi yang tidak kita dengari ialah syarikat dari Amerika Syarikat berpusu-pusu mengembalikan pengilangan ke negara mereka sendiri.
Jadi mengapakah ini tidak berlaku? Alasan yang kerap kami dengari ialah kurangnya kemahiran. Tetapi American Factory, menunjukkan isu ini lebih kompleks dari kekurangan kemahiran teknologi semata-mata.
Dokumentari ini merekodkan apa yang berlaku di sebuah kilang pembuatan kaca kereta milik Fuyao Glass. Fuyao Glass yang berpangkalan di China mengambil alih sebuah milik General Motors yang ditutup kerana krisis yang melanda industri automotif Amerika Syarikat. Bagi memastikan kesilapan yang lalu tidak berulang, pengurusan baru Fuyao Glass memperkenalkan budaya kerja dari China yang dianggap canggung oleh pekerja tempatan.

Kita dibawa melihat bagaimana budaya-budaya seperti mesyuarat sambil berdiri di permulaan syif dianggap aneh oleh pekerja tempatan kerana selama ini ia dilakukan dalam bilik mesyuarat sambil menikmati makanan pagi. Pekerja yang dibawa dari China pula memberikan komen bahawa pekerja tempatan terlalu banyak berehat dan malas.
Kemudian masalah yang lebih serius timbul kerana pertembungan dua budaya kerja yang terletak di berlainan kutub. Majikan dari China merasakan pekerja perlu mengorbankan lebih banyak masa untuk menyelamatkan kilang yang baru ingin bangun semula tanpa memikirkan pampasan kewangan. Apa salahnya bekerja lebih masa kerana ia memastikan kejayaan kilang sekaligus memastikan mereka terus mempunyai punca mata pencarian.

Pekerja tempatan pula tidak mahu dijadikan kuda tunggangan kapitalis. Ya mereka memerlukan kerja di kilang tetapi ganjaran yang setimpal perlu dibayar kerana ia termaktub di dalam undan-undang buruh. Bermula dari sekepal salji yang ditolak dari puncak bukit, ia membesar menjadi isu pembentukan kesatuan kerja untuk memastikan gaji pekerja tidak terabai.
Apa yang kami rasakan menarik di sini ialah secara logiknya majikan dari sepatutnya menyokong kesatuan pekerja kerana mereka berasal dari negara sosialis China. Tetapi apabila tiba di Amerika Syarikat budaya kerja China diimport secara pukal tetapi hak sama ratas sosialis golongan pekerja dilupakan dan budaya kapitalis Amerika Syarikat pula menjadi kiblat.
Inilah yang membuatkan American Factory menarik ditonton. Banyak perkara yang dianggap remeh oleh budaya A tetapi dianggap serius oleh budaya B. Sebagai penonton di Malaysia yang turut mempunyai budaya kerjanya yang tersendiri (seperti memesan mihun jika bermesyuarat), American Factory menunjukkan kita sebenarnya sebuah negara yang meminjam budaya kerja dari barat dan timur.

Selain menyuluh masalah budaya kerja yang tidak boleh bercampur seperti minyak dan air, dokumentari turut menunjukkan tidak semuanya sempurna di Amerika Syarikat. Mereka mungkin negara terkaya dunia tetapi kebajikan golongan pekerja masih lagi terabai. Lebih-lebih lagi di kalangan pekerja migran China yang terpaksa duduk berjauhan dari keluarga untuk bertahun-tahun lamanya (dokumentari mengikuti perkembangan pekerja selama empat tahun).
Dengan wabak Covid-19 membuka pekung kegagalan kita dalam melayan pekerja asing di Malaysia, American Factory membuatkan kami terfikir bagaimana pula kehidupan pekerja migran di kilang-kilang di Malaysia. Adakah mereka turut mengalami kesunyian melampau? Adakah pengalaman di Malaysia membuatkan mereka ingin terus kekal di sini? Apakah budaya kerja di Malaysia yang mereka rasakan tidak masuk akal kerana lebih baik di negara asal?

Mungkin ada pengkarya Malaysia yang boleh menggunakan tema yang dibawakan oleh American Factory tetapi lensa ditumpukan kepada pekerja industri pembinaan dan perkilangan yang terjejas teruk sejak Covid-19 melanda.
Adakah American Factory sebuah #DokuPadu? Jika anugerah menjadi pengukur jawapannya ialah ya kerana ia memenangi Oscar untuk dokumentari terbaik untuk tahun 2020 dan juga di Sundance Festival. Secara peribadi pada hemat kami sebagai dokumentari ia bukanlah yang terbaik pernah ditonton. Tetapi ia membantu menjawab soalan mengapa Donald Trump gagal Membuatkan Amerikan Kembali Hebat sehingga janji beliau semasa menjadi presiden sekadar dicapati sahaja.

Amerika tidak mungkin dapat kembali merebut takhta kilang dunia dari China kerana ia tidak semudah memindahkan mesin dari negara tersebut ke Arizona, California, Texas, Utah, Nevada atau Ohio. Kejayaan China terletak pada tenaga kerja yang sanggup berkorban masa dan tenaga tanpa memikirkan ganjaran masa pendek serta tenaga kerja yang besar dari kalangan muda yang tidak mengeluh apabila perlu mempelajari skill baharu untuk tidak digantikan degan mesin.
Oleh sebab itulah jika Malaysia ingin bersaing dengan Indonesia dan Vietnam sebagai destinasi menggantikan China dalam masa terdekat, American Factory boleh digunakan sebagai manual untuk menghasilkan senarai apa yang jangan dilakukan.
[info] Tonton American Factory di Netflix hari ini. [/info]