Epic Games Mengambil Alih Mediatonic, Pembangun Fall Guys

Epic Games mengumumkan yang mereka telah mengambil-alih Tonic Games Group iaitu syarikat induk untuk Mediatonic yang merupakan pembangun untuk permainan popular tahun lepas iaitu Fall Guys: Ultimate Knockout.

Mediatonic mengatakan yang mereka tidak akan melakukan sebarang perubahan utama untuk Fall Guys buat masa ini walaupun dengan pengambil-alihan ini, ia akan terus boleh didapati di Steam dan juga PlayStation, bersama dengan tambahan platform Switch dan juga Xbox tidak lama lagi.

Namun, mereka mengatakan yang ia akan memberi peluang untuk mereka mengambil fungsi daripada dua permainan Epic Games iaitu Fortnite dan Rocket League terutama sokongan rentas platform dan juga rentas akaun. Fortnite dan Rocket League menggunakan Epic Account untuk memberi satu akaun kepada pemain yang menggunakan pelbagai platform.

Menjawab pertanyaan jika ia akan menjadi permainan percuma, mereka sekadar mengatakan yang tiada pengumuman berkenaannya buat masa ini. Dengan melihat apa yang berlaku untuk Rocket League, kami boleh katakan yang ia akan menjadi permainan percuma terutama apabila dikeluarkan untuk lebih banyak platform. Kita juga mungkin akan melihat hadirnya Battle Pass.

Sumber: Jom Gaming

Sohor Kini