Anda perasan atau tidak yang Netflix turut memfokuskan banyak kandungan antarabangsa dengan bahasan asing. Tidak kira filem atau siri TV ada banyak yang menarik. Kebiasaannya ia adalah kandungan dari negara-negara Eropah. Apa yang menarik adalah, di antara filem dan siri TV bahasa asing ini – banyak juga yang Netflix Originals.

Malah, kami ada senaraikan sebelum ini 10 filem asing yang patut anda tonton. Antaranya adalah filem The Platform, Mute, dan The Occupant. Pustaka kandungan seperti ini membuatkan orang ramai melanggani Netflix dan setia pada platform ini. Tetapi, perkara ini akan berubah tidak lama lagi disebabkan oleh Disney+.

Semasa hari pelabur Disney, mereka mengumumkan yang menjelang 2024 akan terdapat 50 kandungan asli antarabangsa. Baru-baru ini mereka telah mengumumkan 10 kandungan asli dari negara-negara Eropah seperti Perancis, Itali, Jerman dan Belanda. Menurut Deadline, kandungan dari UK akan diperkenalkan dalam masa terdekat. Disney dikatakan memperuntukkan $16 bilion untuk digunakan selama tiga tahun dalam menghasilkan kandungan asli asing ini.

Selain disiarkan di Disney+, kandungan-kandungan ini turut akan disiarkan di Star iaitu seakan Hulu tetapi untuk pengguna global. Disney Star akan dilancarkan pada 23 Februari ini dan akan mempunyai kandungan daripada ABC, FX, Freeform, Searchlight, dan 20th Century Studios. Jadi kelak kita boleh tonton siri antologi seram sampingan American Horror Story (popular di Netflix) – American Horror Stories yang akan ada 16 episod dengan 1 jam setiap episod.

Berikut adalah senarai kandungan asli Eropah yang akan tiba di Disney+ dan Star;

Perancis

  • Parallels, adalah siri TV pengembaraan fantasi Disney+ mengisahkan empat orang remaja yang kehidupan mereka menjadi kucar-kacir apabila menemui dimensi lain.
  • Oussekine pula akan disiarkan di Star. Ia adalah kisah benar mengenai Malik Oussekine, seorang pelajar Algeria di Perancis yang mati di tangan polis. Beliau ditangkap selepas terlibat dengan protes Undang-undang Devaquet tahun 1986-1987. Selepas kematian beliau, undang-udang ini terus dibatalkan. Siri TV ini diceritakan dalam empat bahagian.
  • Weekend Family pula akan disiarkan di Disney+. Ia adalah siri TV komedi kekeluargaan mengenai satu keluarga angkat. Bapa dalam keluarga ini bertemu dengan kekasih baharu, disebabkan ini – hari munggu menjadi janggal.
  • Soprano: Sing or Die adalah dokumentari untuk platform Star. Ia mengisahkan perjalanan ahli rap, penyanyi, penulis lirik – Soprano menuju ke konsert lawatan 2022. Ia turut akan menceritakan kisah beliau di Marseilles.

Itali

  • The Good Mothers adalah siri TV untuk Star yang mempunyai enam episod. Ia akan menceritakan tiga orang wanita, iaitu isteri kepada ahli mafia Calabrian ‘Ndrangheta yang bekerjasama dengan Alessandra Cerreti untuk menjatuhkan empayar jenayah ini.
  • The Ignorant Angels juga akan disiarkan di Star. Ia adalah siri TV yang diadaptasi dari filem Box Office 2001 Le Fate Ignoranti. Ia mengisahkan Antonia yang baru sahaja pelajari bahawa suami beliau yang baru sahaja mati kemalangan curang dengan Michele.
  • Boris adalah siri TV popular sejak zaman Fox lagi. Ketika itu dipegang oleh Fox Network Group, yang mana mempunyai tiga musim dan satu filem. Ia adalah siri TV dalam siri TV, yang mana mengisahkan kru-kru drama bajet rendah yang ingin menyiarkan hasil mereka di platform penstriman global.

Jerman

  • Sam – A Saxon adalah siri TV dengan lapan bahagian mengisahkan Samuel Meffire. Beliau nadalah seorang anggota polis berkulit gelap di Timur Jerman yang menjadi sensasi media dan juga simbol masyarakat moden di pasca-penyatuan semula 90-an. Tetapi beberapa tahun selepas itu, beliau dimasukkan ke dalam penjara. Ia akan disiarkan di Star
  • Juga akan disiarkan di Star adalah, Sultan City. Ia adalah komedi gelap dan ngeri mengenai seorang ibu yang secara tidak sengaja menjadi ketua penjenayah. Tanpa beliau sedari, beliau yang merupakan seorang Jerman-Turki dan anak perempuannya mempunyai bakat dalam perusahaan.

Belanda

  • Feyenoord Rotterdam juga akan disiarkan di Star. Ia adalah dokumentari mengenai pemain bolak sepak bagi kelab Belanda. Ia mempunyai lapan episod dan menceritakan di sebalik tabir pemain bola ini dan kelab beliau.

Sohor Kini