Kali terakhir kita lihat filem animasi pendek daripada Disney yang ditayangkan di pawagam adalah – Inner Workings. Ia ditayangkan pada tahun 2016 bersama-sama dengan filem Moana. Akhirnya, selepas lima tahun – Disney kembali dengan satu filem animasi pendek yang akan ditayangkan di pawagam bersama-sama dengan filem Raya and the last Dragon.
Filem animasi pendek ini adalah Us Again, yang mana mengisahkan seorang lelaki berusia sekitar 60 tahun dengan nama Art dengan isteri beliau yang berjiwa muda. Mereka berdua menghangatkan lagi kisah cinta mereka melalui tarian yang menakjubkan di satu malam yang indah. Keseluruhan filem animasi pendek ini tiada dialog dan diceritakan melalui muzik funk dan soul.
Us Again ditulis dan diarahkan oleh Zack Parrish iaitu ketua animasi Big Hero 6 dan muzik dikompos oleh Pinar Toprak iaitu komposer filem Captain Marvel. Pinar dikatakan bekerjasama dengan Keone dan Mari Madrid iaitu pasangan penari yang terlibat dengan persembahan World of Dance, Justin Bieber, dan Billie Eilish. Filem animasi pendek ini turut diambil inspirasi dari kisah hidup Zack sendiri dan disampaikan dalam satu visual animasi menarik yang turut memberi beliau sendiri kesedaran.
Raya and the Last Dragon akan tiba di pawagam pada 5 Mac 2021 dan juga Disney+ Premier Access pada harga $29.99 (~RM120.80). Ia juga akan ditawarkan secara penstriman percuma pada bulan Jun kelak.