WandaVision adalah siri TV pertama Disney/Marvel yang berlaku dalam dunia MCU yang sama dengan filem. Ia disiarkan secara eksklusif di Disney+ dan mempunyai sembilan episod. Ketika artikel ini ditulis, siri TV ini sudah pun menyiarkan lima episod. Dalam artikel ini, kita akan lihat kenapa siri TV WandaVision ini penting untuk masa hadapan MCU? Siri TV ini adalah pemula untuk fasa yang lebih besar dan berada di luar jangkaan.
Artikel Ini Mungkin Mengandungi Beberan Dari Siri TV WandaVision Episod 1-5

Pertama mari kita faham serba sedikit apa itu WandaVision. Apakah beza ketara antara komik dan siri TV? WandaVison adalah kisah Wanda dan Vision, yang mana diambil inspirasi dari komik House of M, The Vision and the Scarlett Witch dan komik Vision. Garis masa siri TV ini adalah sekitar tiga minggu selepas Endgame. Wanda dilihat mencuri mayat Vision, yang mana sudah lima tahun (mungkin) di bawah jagaan S.W.O.R.D. Disebabkan filem Captain America: Civil War dan siri TV Agents of S.H.I.E.L.D, S.H.I.E.L.D sudah digantikan dengan S.W.O.R.D.
S.W.O.R.D MCU dan komik adalah sedikit berbeza, komik lebih fokus kepada dunia di angkasa dan makhluk asing, tetapi dalam MCU S.W.O.R.D dilihat lebih fokus kepada senjata asing dan makhluk asing.

Selepas Wanda mencuri mayat Vision, beliau pergi ke WestView dan telah memulakan satu realiti baharu – iaitu dunia Sitkom. Dalam WestView yang telah dikawal oleh Wanda ini, beliau bahagian hidup bersama Vision seperti dalam Sitkom. Beliau turut membina rumah tangga bersama dan mempunyai dua orang anak.
Untuk dunia Sitkom ini, WandaVision menggabungkan beberapa elemen sitkom popular. Contohnya adalah Family Ties, Full House, Growing Pains, Just the Ten of Us dan Family Matters. Sitkom ini adalah sitkom tahun 1980-an sehingga 1990-an. Masalah besar dalam realiti Sitkom ini adalah, ramai sangkakan Wanda yang kawal segalanya – tetapi dalam episod lima Wanda mendedahkan yang beliau sendiri tidak tahu bagaimana perkara ini bermula, siapakah punca dan beliau tidak mengawal segalanya 100%.

Ini adalah petanda penting. Sebab agenda House of M adalah agenda yang sangat bahaya. Dalam komik disebabkan agenda ini, Wanda telah melenyapkan semua Mutant X-Men. Kemudian dalam komik, agenda ini berkait rapat dengan Magneto, Professor X dan Agatha Harkness. Dalam siri TV, perkara ini masih sedikit keliru. Akan saya ceritakan serba sedikit dalam perenggan berikutnya.
Untuk WandaVision, saya dapat jangkakan yang Disney dan Marvel akan membuat kejutan dan mengubah jalan ceritanya. Dalam komik agenda ini berkaitan dengan Magneto, ini kerana dalam komik Magneto adalah bapa kepada Wanda. Dalam MCU. Wanda dikatakan memang seorang Mutant, tetapi disebabkan isu pelesenan antara Fox, filem Avengers Age of Ultron menggelarkan Wanda sebagai Enhanced. Ini kerana menurut teori, kuasa Wanda telah dinaiktaraf dengan menggunakan Scepter Loki yang mempunyai Tesseract dan Mind Stone.
Dalam siri TV WandaVison, telah didedahkan yang ibu bapa Wanda adalah Irina dan Oleg Maximoff. kedua-dua nama ini langsung tiada kaitan dengan Magneto. Jadi latar belakang Wanda mungkin telah diubah dan kita mungkin tidak akan dapat lihat Magneto sebagai bapa Wanda.

Tetapi ini tidak bermakna siri TV ini langsung tiada kaitan dengan X-Men. Kalau dalam komik Wanda melenyapkan kesemua X-Men, menurut teori – WandaVision mungkin akan membawa masuk X-Men dalam dunia MCU. Pertama sudah semestinya Pietro Maximoff a.k.a Quicksilver. Dalam MCU, Pietro dilakonkan oleh Aaron Taylor-Johnson. beliau mati dalam Age of Ultron ketika dalam proses ingin menyelamatkan Hawkeye. Dalam X-Men, Quicksilver dilakonkan oleh Evan Peters dan menggunakan nama Peter Maximoff.
Tetapi pernah sekali dalam iklan promosi X-Men, Quicksilver turut digelar sebagai Pietro Maximoff. Dalam WandaVision, Evan Peters membuat kejutan sebagai watak penampilan khas – Pietro. Adakah ini bermakna X-Men sudah memasuki dunia MCU? Pietro kelihatan seperti mengenali Wanda itu siapa, tetapi Wanda seakan buntu dan pelik – ‘Siapakah dia ini?” “Dia Pietro?” “Kenapa Lain”?

Kenapa Wanda berasa pelik melihat Pietro? Mungkin kerana kemunculan Pietro adalah bukan di bawah kawalan Wanda. Sebab itu Wanda sendiri keliru. Ramai katakan yang Evan Peters dalam WandaVision memainkan watak Pietro/Quicksilver yang berlainan dengan X-Men. Pertama adalah perwatakan yang berbeza, kemudian gaya rambut yang sedikit lain. Tetapi jika anda hidupkan fungsi Audio Description dalam Disney+ – ayat yang menjelaskan watak ini adalah Pietro/Quicksilver dari dunia X-Men.
Kalau benar Pietro ini adalah yang sama dari dunia X-Men, adakah watak ini watak ciptaan dalam realiti atau hanya ilusi? Apa akan berlaku jika watak ini dicampak keluar dari Westview? WandaVision disahkan oleh Kevin Feigi akan berkait rapat dengan filem Spider-Man 3 dan Dr. Strangte and the Multiverse of Madness. Dua filem ini akan bermain dengan konsep rentas-dunia (Multiverse), jadi adakah Wanda atau orang lain membuka dunia lain agar Pietro boleh merentas ke dunia MCU? Tetapi kalau dunia berlainan, kenapa Pietro X-Men kenal wajah Wanda? Adakah Wanda versi Elizabeth Olsen orang yang sama dalam dunia X-Men?

Quicksilver X-Men kali terakhir beraksi dalam filem Dark Phoenix yang berlaku di zaman 90-an selepas X-Men: Apocalypse yang berlaku di 80-an. Jadi masuk akal jika Pietro versi ini diperkenalkan dalam MCU di dalam dunia Sitkom Wanda yang kini berada di sekitar 80-an dan 90-an. Cuma sekali lagi saya persoalkan – adakah Pietro ini hanya boleh hidup di dalam dunia sitkom atau boleh keluar? Dr. Darcey Lewis dari filem Thor turut memainkan peranan penting dalam siri TV ini. Di mana beliau katakan Wanda menggantikan sendiri Pietro?

Kalau Disney tidak membawa masuk watak Magneto, mereka mungkin akan fokus kepada watak Agatha Harkness. Ramai simpulkan watak Agness adalah Agatha Harkness dan beliau dan Mephisto bertanggungjawab merosakkan Wanda? Apakah perjanjian antara Wanda dan Agatha? Atau apakah perjanjian Wanda dan Mephisto?
Terdapat juga teori mengenai dua orang anak kembar Wanda dalam WandaVision. Tommy dan Billy atau nama lain Thomas Maximoff dan William Maximoff adalah yang bertanggungjawab membawa masuk Pietro. Kedua-dua anak Wanda ini adalah Mutant dalam komik iaitu Wiccan dengan kuasa seakan Wanda dan Speed kuasa seakan Quicksilver.

Dalam komik, kedua-dua watak ini adalah serpihan jiwa dari Mephisto yang mana Mephisto boleh menyerap masuk kembali dua orang anak Wanda ini ke dalam diri beliau. Jika benar Wanda ada buat perjanjian dengan Mephisto. Wanda mungkin akan menjadi gila selepas anak beliau mati atau lenyap dari realiti?
Dalam realiti sitkom WestView ini, setakat yang kita faham – Wanda tidak boleh mencipta sesuatu. Sebaliknya Wanda hanya boleh memanipulasi sesuatu dari satu objek diubah menjadi objek lain. Contohnya, Monica Rambeau lakonan Teyonah Parris menghantar dron ke dalam WestView. Tetapi Wanda menemui mainan Helikopter dengan tema warna yang sama dengan dron tadi. Ini kerana dalam dunia sitkom Wanda, dron seperti itu tidak wujud lagi. Jadi ia berubah menjadi perkara yang terdekat bersesuaian dengan zaman Sitkom.

Kemudian semasa Monica termasuk dalam dunia WestView, beliau menjadi watak Geraldine. menurut Monica, perasaannya adalah sakit dan sengsara seakan lemas – kerana itu adalah perasaan yang Wanda sedang alami. Wanda mengawal semua manusia di dalam WestView dan masing-masing berkongsi perasaan. Selain itu, sebelum Monica masuk ke dalam WestView beliau memakai pakaian moden dengan baju kalis peluru. Selepas dicampak keluar, pakaian beliau masih lagi pakaian klasik mengikut tema Sitkom – tetapi apabila diuji rupa-rupanya pakaian itu adalah pakaian yang sama tetapi telah diubah realitinya menjadi pakaian klasik.
Dalam komik, agenda House of M adalah sangat dahsyat sehingga ada kesinambungan kepada World of M yang mana realiti dunia telah ditulis semula. Disebabkan House of M juga Wanda telah berubah menjadi penjahat. Ramai mengeluarkan teori yang dalam filem Dr. Strange 2 nanti Wanda adalah penjahat utama yang menyebabkan realiti musnah dan berlakunya rentas-dunia.

Dalam komik. Dr. Strange berjaya menghentikan House of M dengan meletakkan Wanda dalam koma. Paul Bettany iaitu pelakon Vision menyatakan yang akan ada seorang watak Avengers yang hebat dan beliau tidak pernah lagi bekerjasama bersama-sama akan memainkan peranan penting dan orang ramai akan terkejut. Dalam MCU, Vision belum pernah lagi bersemuka dengan Dr. Syrange – jadi mungkin Dr. Strange akan membuat penampilan khas.
Mungkin Dr. Strange akan menghentikan Wanda dan disebabkan itu Wanda menjadi penjahat?



Bercakap mengenai Vision. Kita tahu yang Vision sudah mati disebabkan Thanos mencabut Mind Stone dari kepala beliau. Vision juga merayu kepada Wanda yang beliau lebih rela mati daripada dijadikan senjata oleh orang lain. Tetapi Wanda degil, tetap menghidupkan kembali Vision. Ada video tertiris mempertontonkan Vision berjaya keluar dari realiti WestView dan merayu untuk diselamatkan. Jadi adalah bermakna Vision boleh hidup selepas mayat beliau dimanipulasi oleh Wanda?
Kejutan lain dalam WandaVision adalah, ini mungkin siri TV pertama MCU yang akan memperkenalkan Fantasic Four. Kevin Feigi telah mengesahkan yang keluarga Fantastic Four akan memasuki dunia MCU. Tetapi senarai pelakon masih tidak didedahkan lagi. Tetapi pengarah Spider-Man 3 akan bertanggungjawab untuk filem ini – Jon Watts. Memandangkan Spider-Man 3 juga akan berkait dengan WandaVision, jadi tidak terkejut jika Fantastic Four diperkenalkan dalam siri TV ini.

Dalam WandaVision pelindung yang melindungi WesstView untuk realiti ciptaan Wanda adalah tenaga CMBR (cosmic microwave background radiation). CMBR adalah tenaga yang memberi kuasa kepada setiap ahli Fantastic Four. Tetapi penulis WandaVision katakan itu hanya kebetulan. Mana-mana letupan berkaitan tenaga dalam MCU yang berkaitan dengan Infinity Stone akan mengeluarkan tenaga CMBR. Tetapi Monica ada sebut mengenai rakan beliau yang bekerja sebagai Jurutera Aeroangkasa boleh membantu mencipta kenderaan untuk memasuki dunia realiti WestView. Mungkin ini adalah ahli Fantastic Four?

Setakat ini WandaVision sungguh mengejutkan. Kali terakhir saya rasa seronok seperti ini adalah semasa Avengers: Endgame. Walaupun saya katakan MCU Fasa-4 akan mengecewakan orang ramai, peminat mungkin akan bersyukur dengan siri TV WandaVision yang penuh dengan kejutan hebat. Harapnya dalam filem-filem akan datang, Marvel dan Disney boleh menulis skrip yang akan memudahkan orang yang tidak menonton siri TV faham jalan cerita.
Apakah harapan anda dalam WandaVision? Apa lagi kejutan yang anda inginkan dan adakah anda gemari siri TV ini?

Menjawab persoalan, kenapa siri TV WandaVision ini penting untuk MCU fasa keemnpat? Ini kerana ia adalah pemula fasa dan akan memperkenalkan lebih banyak filem dan mengembangkan lagi dunia adiwira MCU. WandaVision adalah antara kaedah Disney dan Marvel memuaskan hati peminat dan akan menjadikan filem-filem MCU lebih hebat.
WandaVision hanya disiarkan di Disney+. Buat masa ini Disney+ masih tidak boleh diakses di Malaysia, yang mana artikel ini adalah berdasarkan pengalaman saya menonton WandaVision menggunakan akaun USA dan VPN USA. Di Malaysia, Disney+ mungkin akan diperkenalkan melalui Hotstar, yang mana mungkin akan tiba tidak lama lagi.