Skip to main content

Don Cheadle masih mempunyai kontrak dengan Disney/Marvel untuk terus berlakon sebagai War Machine/James Rhodey. Kali terakhir beliau beraksi adalah dalam filem Endgame, tetapi seperti kebanyakan adiwira dan wirawati MCU yang lain – beliau akan terus memainkan peranan untuk MCU fasa keempat.

Armor Wars adalah salah satu rancangan yang akan memfokuskan watak War Machine. Ia adalah siri TV memfokuskan senjata dari Stark Industries tidak jatuh ke tangan musuh. Beliau akan terus menjadi War Machine dengan menggunakan teknologi Stark sedia ada untuk menghentikan musuh. Siri TV juga mungkin akan memperlihatkan lagi pelbagai jenis senjata dari Stark Industries. Mungkin Justin Hammer akan kembali?

Tetapi Armor Wars masih belum dalam pembangunan. Dalam podcast BroBible – Post-Credit, Don Cheadle mendedahkan yang skrip Armor Wars masih belum bermula lagi. Ia mungkin akan mula ditulis sekitar bulan Mac. Dalam filem Captain America: Civil War Rhodey hilang kemampuan berjalan apabila mengalami kecederaan parah selepas Arc Reactor sut beliau rosak ditembak Vision. Beliau menerima eksorangka dari Start untuk kembali berjalan dan turut dibantu sut War Machine.

Sepanjang perjalanan filem, Rhodey masih lagi dalam proses pemulihan. Jika anda lihat dalam filem Endgame, beliau masih sakit kaki. Armor Wars akan fokus kepada perkembangan teknologi, seperti perubahan pada sut War Machine. Mungkin elemen teknologi nano seperti pada sut Mark 85 Iron Man akan digunakan? Siri TV ini turut akan memfokuskan perkembangan watak beliau.

Sementara menantikan siri TV Armor Wars, Don Cheadle (mungkin tidak sengaja) turut mendedahkan yang beliau akan mula muncul dalam siri TV The Falcon And The Winter Soldier. Jadi siri TV ini mungkin adalah kesinambungan atau permulaan Armor Wars. The Falcon And The Winter Soldier akan mula disiarkan selepas WandaVision tamat, iaitu pada 19 Mac 2021. Armor Wars masih tiada tarikh lagi, jadi mungkin tahun ini atau tahun 2022. Sama-sama kita nantikan.

Leave a Reply