Pinnochio adalah antara filem animasi kegemaran saya sejak kecil. Ia memberi banyak pengajaran, seperti jangan menipu dan selagi boleh kita perlu sentiasa jujur. Kejujuran adalah untuk kebaikan diri kita dan juga orang sekeliling. Filem animasi ini memfokuskan kepada watak Geppetto yang mencipta sat patung boneka yang diberi nama Pinnochio. Satu hari, boneka itu hidup menjadi anak beliau.
Pinnochio mula belajar menipu dan sebagai balasan hidung beliau menjadi panjang. Disney akan hadir dengan satu filem aksi nyata Pinnochio tidak lama lagi. Tidak banyak butiran yang dikongsi selain Tom Hanks akan menjadi Geppetto. Sinopsis, mungkin akan sama sahaja. Tetapi tidak pasti lagi apakah perubahan yang akan dibawakan. Terkini, Luke Evans telah dipilih sebagai pelakon untuk The Coachman.
The Coachman adalah watak penjahat dalam filem ini, di mana beliau tamak dan ingin mengaut keuntungan dari keajaiban patung boneka yang hidup. Bagi yang tidak tahu, Luke sebelum ini telah berlakon sebagai penjahat untuk filem aksi nyata Beauty and the Beast – Gaston. Prestasi beliau agak baik, jadi tidak terkejut jika Disney memilih beliau untuk filem ini.
Filem ini akan diarahkan oleh Robert Zemeckis dan beliau turut ditemani oleh Chris Weitz. Robert juga akan menjadi pengarah dan Andrew Miano dan Chris Weitz pula akan menerbit. Ia akan disiarkan di Disney+, tetapi tiada tarikh siaran lagi.