Skip to main content

Sing adalah filem animasi muzikal yang lain daripada yang lain. Setiap muzik yang dinyanyikan dalam filem ini menarik, penyampaian cerita juga penuh dengan drama dan mempunyai perkembangan watak yang menarik. Bagi yang tidak tahu, filem Sing adalah animasi yang menggunakan suara-suara pelakon hebat sebagai watak haiwan dan menyertai satu pertandingan nyanyian tempatan.

Terkini, filem sekuel yang dikatakan adalah Sing 2 akan ditayangkan pada 22 Disember 2021. Variety baru-baru ini telah melaporkan senarai pelakon yang terlibat dan serba sedikit kisah mengenai filem kedua ini. Sing 2 dikatakan akan memfokuskan perjalanan setiap haiwan ini cuba menyertai pertandingan nyanyian peringkat dunia pula.

Bono, Letitia Wright, Bobby Cannavale dan Pharrell Williams adalah pelakon-pelakon suara baru yang akan menyertai Matthew McConaughey, Reese Witherspoon, Scarlett Johansson, Taron Egerton dan Nick Krol yang kembali sebagai watak lama masing-masing.

Bono akan memainkan watak Clay Calloway, iaitu seekor singa yang merupakan bekas penyanyi rock yang hebat. Kemudian Jimmy Crystal adalah seekor serigala lakonan Bobby Canavale yang akan menjadi pengurus pentas besar untuk persembahan. Alfonso (lakonan Pharell Williams) pula adalah seekor gajah yang bekerja sebagai penjual aiskrim dari trak yang mencintai Meena juga seekor gajah lakonan Tori Kelly. Halsey pula memainkan watak Porsche iaitu anak kepada Jimmy.

Letitia Wright pula adalah seekor kucing yang pandai menari dan akan membantu Johnny lakonan Taron Egerton iaitu seekor gajah. Kemudian Eric Andre akan memainkan seekor yak yang pentingkan diri dan Chelsea Peretti akan memainkan watak anjing yang nakal, iaitu pembantu kepada Jimmy.

Filem pertama sangat menarik, bagaimana pula dengan filem kedua? Harapnya kita akan ketahui lebih lanjut tidak lama lagi. Sama-sama kita nantikan.

Leave a Reply