Justice League adalah filem DCEU dari WarnerMedia yang menerima banyak kritikan. Ini kerana, filem ini telah diolah semula oleh Joss Whedon – yang mana asalnya sepatutnya diarahkan oleh Zack Snyder. Tetapi selepas sekian lama orang ramai membuat petisyen dan merayu untuk Zack Snyder kembali hadir dengan versi Justice League beliau – Warner Bros. setuju dan mengesahkan filem ini akan hadir sekali lagi dengan olahan dari Zack Snyder.
Filem ini akan disiarkan di HBO Max dan HBO GO, yang mana adalah dalam bentuk siri TV dengan jumlah durasi sehingga 4 jam. Tiada sebarang tarikh, bila ia akan disiarkan – tetapi ada khabar nyatakan ia adalah September 2021. Tetapi nampaknya ia lebih awal. Dalam satu siaran di Medium, TechRadar menemui komen dari Zack Snyder yang filem ini akan disiarkan pada Mac 2021.
Filem ini secara keseluruhan akan kelihatan lebih kurang sama, tetapi akan disunting semula, ada penjenayah baharu, adegan baharu dan sedikit penggambaran semula. Bulan Mac adalah sekitar empat bulan sahaja lagi. Harapnya tiada sebarang tangguhan dan kita dapat saksikan filem ini.