Setelah Bungie memindahkan Destiny 2 dari Battle.Net ke Steam, mereka juga membuka permainan asal secara percuma untuk orang ramai, dimana permainan tambahan boleh dibeli untuk mengakses kandungan-kandungan terkini.
Walaupun begitu, oleh kerana jumlah pemain semakin besar, Bungie menghadapi masalah dimana terdapat pemain-pemain ini yang menggunakan perisian menipu.
Bungie hari ini telah mewajibkan penggunaan sistem pengesahan melalui SMS untuk pemain-pemain percuma yang ingin bermain mod PVP seperti Trials of Osiris, Competitive Crucible dan Iron Banner.
Pengesahan ini sayangnya tiada penyelesaian yang elegan. Apabila anda masuk ke mod PVP, ia akan menghantar anda ke laman web pengesahan Destiny 2 dimana anda akan diminta untuk melog masuk kedalam akaun Bungie dan memasukkan nombor telefon anda. Kemudian, anda perlu memasukkan kod yang diberi untuk membolehkan anda mula memainkan sesi permainan tersebut.
Ciri ini sudahpun diaktifkan oleh Bungie, dan anda nampaknya perlu meluangkan sedikit masa untuk langkah tambahan ini untuk bermain mod PVP dengan orang ramai dan untuk mengesahkan anda bukan seorang bot.